Lebih ramai pekerja diperlukan dalam sektor penerbangan sedang jumlah penumpang dijangka meningkat seganda dalam dua dekad akan datang.
Oleh itu, tidak dinafikan Changi Air Hub akan perlu meningkatkan usaha menarik lebih ramai pekerja ke dalam sektor tersebut untuk memenuhi permintaan penerbangan yang bertambah.
Antara langkah yang telah diambil termasuk melalui Hab Kerjaya OneAviation (OACH) – inisiatif yang melibatkan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Sejak Oktober 2022, lebih 1,400 pencari pekerjaan telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan melalui OACH.
OACH juga telah membantu 3,800 warga setempat dalam keperluan kerjaya dan latihan mereka.
Mengulas tentang trend tersebut, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata:
“Jumlah penumpang global dijangka naik seganda dalam dua dekad akan datang. Ini akan mencipta peluang pekerjaan yang baik bagi pekerja kita.
“NTUC sedang bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak kami termasuk CAAS, Changi Airport Group dan syarikat-syarikat dalam sektor penerbangan untuk menarik lebih ramai pekerja menyertai sektor tersebut.
“Kami akan menyokong pekerja kami dalam latihan dan peningkatan kemahiran mereka agar mereka dapat mendapatkan pekerjaan baik dalam sektor itu di tengah-tengah perkembangan besar ini.”
Sementara itu, NTUC LearningHub juga terlibat dalam menyokong pekerja sedia ada membangunkan kemahiran baru untuk memenuhi keperluan kerja masa hadapan.
Sejauh ini, NTUC LearningHub telah menyediakan lebih 38,000 tempat latihan kepada 56,000 pekerja dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan.
Encik Ng berada di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 28 Januari 2025 bersama beberapa pemimpin gerakan buruh lain, termasuk Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi, untuk menyertai Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertemu pekerja di sana.
Lawatan sehari sebelum Tahun Baru Cina itu bertujuan melahirkan penghargaan kepada para pekerja lapangan terbang atas sumbangan mereka sepanjang tahun dan lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
Encik Wong turut disertai Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Dr Amy Khor; rakan kongsi tiga pihak termasuk pemimpin kesatuan dan persatuan daripada kelompok aeroangkasa dan penerbangan NTUC, Persatuan Teksi Nasional (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) serta wakil daripada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG).
Semasa lawatannya, Encik Wong berinteraksi dengan 150 pekerja daripada pelbagai bidang termasuk kakitangan khidmat pelanggan, pegawai keselamatan dan pemandu teksi.
Beliau turut memberikan beg mengandungi oren, hongbao daripada NTUC serta hadiah kantung sumbangan dirinya sendiri.
Cik Rita Ahmad Sanawe, pegawai perkhidmatan pelanggan dengan Sats, yang berpeluang berinteraksi dengan Encik Wong, berkongsi beliau gembira dapat bertemu PM.
“Saya pernah berjumpa PM Wong semasa NDP (Perbarisan Hari Kebangsaan) tahun lalu, tapi itu dari jauh. Tetapi tadi bila kami berinteraksi, saya dapat benar-benar melihat bahawa beliau seorang yang sangat baik,” kata Cik Rita.
Meskipun Cik Rita ‘terlepas’ daripada perlu bekerja semasa cuti Tahun Baru Cina (CNY) nanti, beliau berkongsi bahawa suaminya, Encik Llewelyn Teng, yang juga bekerja di Lapangan Terbang Changi sebagai ejen perkhidmatan pelanggan, bakal bekerja pada hari kedua cuti umum itu.
Encik Teng memberitahu Berita Harian ini bukan kali pertama beliau perlu bekerja semasa CNY.
“Saya sudah 33 tahun bekerja dalam syarikat ini, jadi dah terbiasa. CNY tak banyak beza berbanding hari-hari lain kecuali ia lebih sibuk kerana ada lebih ramai penumpang.
“Semestinya bila habis bertugas saya akan rasa sangat penat tetapi saya suka apa yang saya lakukan dan saya penuh bertenaga,” kata beliau.
Pasangan tersebut berkongsi bahawa mereka mengadakan acara makan malam bersama atau ‘reunion dinner’ bersama kedua-dua anak mereka serta dengan ibu Encik Teng pada malam CNY.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg