Lebih 11,000 kanak-kanak raih manfaat program KidSTART sejak 2016
Lebih 11,000 kanak-kanak raih manfaat program KidSTART sejak 2016
Seramai 11,000 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah telah meraih manfaat menerusi program KidSTART sejak ia diperkenalkan sebagai projek rintis pada 2016.
Data baru juga menunjukkan intervensi awal menerusi program itu membuahkan hasil perkembangan yang positif terhadap perkembangan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan pada 24 Januari, KidSTART mendedahkan bahawa 83.5 peratus kanak-kanak di bawah program itu yang menerima sekurang-kurangnya dua tahun intervensi telah mencapai penanda aras perkembangan yang sesuai dengan usia mereka.
Selain itu, 92.1 peratus ibu bapa dalam program tersebut menunjukkan pemahaman mengenai pentingnya pembelajaran anak mereka.
Program tersebut, yang menyediakan sokongan awal bagi kanak-kanak dari tempoh kehamilan hingga berusia enam tahun, menyasarkan untuk menjangkau 80 peratus kanak-kanak yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah, bermula dengan mereka yang lahir pada tahun 2023.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, telah merasmikan majlis tamat pengajian pertama KidSTART yang diadakan di Gardens by the Bay pada 24 Januari.
Majlis tersebut – yang juga diadakan sempena ulang tahun KidSTART yang ke-10 – meraikan pencapaian 800 lebih kanak-kanak yang berjaya menamatkan program tersebut.
Seramai 55 kanak-kanak yang mewakili kohort graduan KidSTART serta wakil agensi sosial, rakan korporat, sukarelawan, agensi pemerintah dan anggota masyarakat menghadiri acara tersebut.
Encik Masagos menyatakan bahawa kejayaan KidSTART terletak pada pendekatannya yang berasaskan bukti dan usaha kolektif masyarakat.
“Tiada satu pun pertubuhan, walau betapa gigih sekalipun, boleh menangani cabaran rumit mobiliti sosial secara bersendirian.
“Kita semua – agensi pemerintah, rakan kongsi masyarakat, penyedia penjagaan kesihatan, pendidik dan keluarga – mesti berganding bahu untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai asas yang diperlukan untuk berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Program KidSTART menumpukan kepada tahun-tahun awal, menawarkan sokongan di rumah, bimbingan mengenai penjagaan, serta pemantauan kesejahteraan ibu dan anak.
Kehadiran ke prasekolah secara teratur dari usia tiga tahun turut ditekankan bagi mengurangkan keperluan untuk sokongan pembelajaran tambahan di sekolah rendah kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif KidSTART Singapore, Encik Joel Tan, berkata majlis itu mencerminkan pencapaian kanak-kanak itu dan komitmen penjaga mereka.
Katanya: “Majlis tamat pengajian hari ini meraikan setiap langkah yang telah dilalui oleh kanak-kanak dan keluarga, serta ‘kampung’ sokongan yang sentiasa bersama mereka.
“Pencapaian ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa sokongan awal membawa perbezaan yang berkekalan.”

