Bagi menyokong pembelajaran di rumah, kanak-kanak dan ibu bapa di Singapura kini boleh memanfaatkan alat kecerdasan buatan (AI) baru yang menawarkan maklum balas, penjelasan, dan analisis dengan jelas dan segera.
Digelar Vision Workbooks, alat tersebut merupakan aplikasi mudah alih berasaskan AI yang bertujuan menjadikan proses ulang kaji di rumah lebih produktif di samping mengurangkan tekanan.
Pengguna hanya perlu mengambil gambar buku kerja yang telah disiapkan, dan teknologi AI itu akan mengenal pasti tulisan tangan untuk memberi markah kepada jawapan secara serta-merta, sambil memberikan penilaian serta penjelasan yang jelas dan berwawasan.
Aplikasi tersebut, yang dilancarkan pada 4 Disember, merupakan hasil kerjasama antara syarikat penerbitan Marshall Cavendish Education (MCE), syarikat penerbitan Educational Publishing House (EPH), dengan syarikat teknologi Scribo Learning.
Buat masa ini, Vision Workbooks, hanya serasi dengan lebih 30 judul buku kerja terpilih bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains terbitan MCE dan EPH dan hanya merangkumi buku kerja bagi tahap sekolah rendah atas dan sekolah menengah.
Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Popular Singapore, Cik Emily Yiu, muka aplikasi yang intuitif serta penjelasan yang disesuaikan membolehkan kanak-kanak belajar Scribo Learning dengan lebih berdikari.
“Pada masa yang sama, ia memberi kejelasan yang diperlukan oleh ibu bapa untuk membantu anak mereka tanpa rasa ragu,” ujarnya.
Ketua Pendidikan MCE, Encik Lim Soon Jinn, menyatakan harapan agar Vision Workbooks dapat menyediakan struktur pembelajaran di rumah yang jelas dan selari dengan bimbingan yang diberikan oleh guru di sekolah.
Menurutnya, buku kerja yang dipilih berdasarkan sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan (MOE).
Encik Lim menambah, Vision Workbooks, mempunyai langkah perlindungan bagi mengelakkan pelajar menggunakan aplikasi tersebut sebagai jalan pintas.
“Pelajar masih dikehendaki memberikan jawapan bagi soalan yang mereka telah cuba jawab.
“Aplikasi ini akan mengenal pasti sekiranya pelajar tidak memberi jawapan, dan tidak akan menyediakan penyelesaian betul bagi soalan yang tidak diusahakan,” terangnya.
Teknologi AI digunakan Vision Workbooks dikuasakan Scribo Learning dan mampu mengenal pasti mutu tulisan tangan yang berbeza, serta mengendalikan pelbagai jenis soalan, termasuk jawapan teks pendek dan panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Scribo Learning, Encik Mark Stanley, berkata AI berkenaan diprogramkan untuk membezakan antara jawapan yang betul sepenuhnya dengan jawapan yang hanya sebahagiannya tepat.
Menurutnya, Vision Workbooks membandingkan jawapan pelajar dengan jawapan contoh yang disediakan oleh penerbit buku kerja, dan kemudian memaklumkan kepada pelajar sekiranya mereka memahami sebahagian konsep tetapi terlepas aspek lain.
“Ini membantu pelajar memahami dengan jelas aspek yang perlu diperbaiki tanpa berasa patah semangat,” kata Encik Stanley.
Bagi pelajar atau ibu bapa yang mempunyai lebih banyak soalan, mereka boleh ‘bersembang’ dengan Claro, ciri AI Vision Workbooks, yang membolehkan mereka menyelami topik dengan lebih mendalam.
Menjawab kebimbangan mengenai privasi, Encik Stanley mengesahkan bahawa data pelajar tidak digunakan untuk melatih model AI dan tiada maklumat peribadi dihantar ke mana-mana perkhidmatan AI.
Ibu bapa tambah beliau, boleh mencipta akaun anak menggunakan nama samaran, dan semua data disulitkan.
Meskipun buku kerja terbitan MCE dan EPH berbahasa Melayu tidak serasi dengan Vision Workbooks buat masa ini, Encik Lim berkata semua pihak yang terlibat dalam kerjasama tersebut sedang meneliti dengan rapat keperluan semasa pelajar di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg