Jumlah keluarga berpendapatan rendah yang menerima sokongan menyeluruh menerusi ComLink+ telah meningkat kepada 11,006 pada 2025, berbanding 10,219 pada tahun sebelumnya (2024).

Peningkatan sekitar 7 peratus itu menyusuli peluasan inisiatif pemerintah tersebut bagi merangkumi lebih banyak keluarga berpendapatan rendah yang tidak menetap di flat sewa awam, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Ini termasuk kanak-kanak yang berisiko tidak hadir ke sekolah bagi tempoh berpanjangan, serta mereka yang layak menyertai KidSTART – program yang menyokong perkembangan awal kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Demikian antara dapatan Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2026.

Berbeza daripada bantuan kewangan asas, inisiatif ComLink+ menyediakan sokongan jangka panjang menerusi jurulatih keluarga dan pekerja sosial Pusat Khidmat Keluarga (FSC), yang membantu keluarga mengenal pasti keperluan mereka serta merangka pelan tindakan berdasarkan keadaan masing-masing.

Ini agar lebih ramai keluarga berpendapatan rendah mencapai kestabilan dan meningkatkan taraf kehidupan mereka, kata MSF.

Keluarga turut boleh menerima insentif kewangan menerusi Pakej Kemajuan ComLink+ bagi mencapai matlamat seperti mendapatkan pekerjaan, memastikan anak-anak mengikuti pendidikan prasekolah, melunaskan hutang dan memiliki rumah.

Namun, masih terdapat keluarga yang layak tetapi belum menyertai inisiatif tersebut, tambah MSF.

Menjelaskan lanjut kepada Berita Harian (BH), jurucakap MSF berkata sekitar 30 peratus keluarga layak dan dihubungi MSF tidak menyertai ComLink+.

Ini kerana sebahagian daripada mereka berasa mereka masih mampu menguruskan kehidupan sendiri dan tidak memerlukan sokongan tambahan.

Ada juga yang belum bersedia menerima bantuan ketika dihubungi, manakala sebahagian lagi tidak dapat dihubungi, tambah kementerian itu.

MSF berkata pihaknya akan terus mendekati dan menggalakkan golongan ini dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, keluarga di bawah inisiatif ComLink+ mencatat kemajuan dalam meraih pendapatan stabil, memastikan anak-anak mengikuti pendidikan prasekolah serta meningkatkan taraf hidup mereka.

Perkembangan ini dapat dilihat melalui peningkatan peratusan keluarga yang mencapai mobiliti sosial, daripada 28 peratus pada 2024 kepada 36 peratus pada 2025.

Golongan tersebut merujuk kepada keluarga yang mempunyai pekerjaan stabil, tidak lagi bergantung pada bantuan kewangan besar serta mencatat peningkatan pendapatan sebenar dari semasa ke semasa.

Kemajuan turut dicatat dalam pendidikan prasekolah – yang merujuk kepada keluarga yang memastikan semua anak mereka di peringkat prasekolah telah menerima vaksinasi wajib, didaftarkan di prasekolah dan hadir secara tetap – meningkat daripada 28 peratus pada 2024 kepada 31 peratus pada 2025.

Kemajuan positif turut dicatat dalam kalangan kumpulan pertama keluarga yang menyertai ComLink+ sejak ia dimulakan pada 2023.

Peratusan keluarga dalam kumpulan tersebut yang mencapai tahap kestabilan menyeluruh meningkat daripada 43 peratus pada 2024 kepada 50 peratus pada 2025.

Peratusan keluarga dalam kumpulan itu yang mencapai tahap mobiliti sosial dalam aspek pendapatan turut meningkat daripada 22 peratus pada 2023 kepada 34 peratus pada 2025.

Dalam pendidikan prasekolah pula, peratusan keluarga yang mencapai tahap berdikari meningkat seganda, daripada 15 peratus kepada 30 peratus dalam tempoh yang sama.

Namun, laporan itu mendedahkan separuh daripada keluarga ComLink+, atau 5,496 keluarga, masih belum mencapai tahap kestabilan menyeluruh dalam enam bidang kehidupan – keselamatan pendapatan, perkembangan dan pendidikan anak-anak, perumahan, hubungan kekeluargaan, kesihatan serta daya tahan kewangan.

MSF berkata terdapat beberapa keadaan yang dihadapi keluarga yang masih belum mencapai tahap kestabilan menyeluruh.

Daripada 5,496 keluarga tersebut, sebanyak 54 peratus mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun ke bawah, manakala 40 peratus merupakan keluarga ibu atau bapa tunggal.

Selain itu, 18 peratus mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota keluarga yang pernah dipenjarakan dalam tempoh lima tahun lalu.

Lebih satu perempat, atau 28 peratus, pula mempunyai lebih daripada satu ciri tersebut.

Menurut MSF, tanggungjawab menjaga anak kecil antaranya boleh menjejas keupayaan ibu bapa untuk mencari atau mengekalkan pekerjaan, selain menyukarkan usaha memastikan anak-anak mengikuti pendidikan prasekolah secara tetap.

Mengulas dapatan laporan itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, mengalu-alukan usaha dan kemajuan yang dicapai keluarga ComLink+, khususnya dalam pendidikan prasekolah.

“Kemajuan memerlukan masa dan ia berbeza bagi setiap keluarga. Apa yang menggalakkan ialah usaha berterusan ibu bapa, hari demi hari, untuk memberikan anak-anak mereka permulaan hidup yang baik,” katanya.

Encik Chua menambah, MSF akan terus mendapatkan maklum balas keluarga bagi mengenal pasti bentuk sokongan yang berkesan dan aspek yang boleh diperbaiki.

“Bersama rakan masyarakat dan korporat, kami akan membantu keluarga membina kehidupan yang lebih stabil dan berdikari.

“Apabila kehidupan menjadi lebih stabil, ibu bapa mempunyai lebih ruang untuk merancang masa depan dan menyediakan lebih banyak pilihan untuk anak-anak mereka apabila dewasa kelak,” katanya.

“

“Kemajuan memerlukan masa dan ia berbeza bagi setiap keluarga. Apa yang menggalakkan ialah usaha berterusan ibu bapa, hari demi hari, untuk memberikan anak-anak mereka permulaan hidup yang baik... Bersama rakan masyarakat dan korporat, kami akan membantu keluarga membina kehidupan yang lebih stabil dan berdikari. Apabila kehidupan menjadi lebih stabil, ibu bapa mempunyai lebih ruang untuk merancang masa depan dan menyediakan lebih banyak pilihan untuk anak-anak mereka apabila dewasa kelak.”
Encik Eric Chua, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang).