Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsi rumah perlu bantuan kewangan pemerintah susut ke paras terendah 5 tahun
Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2026: 54% isi rumah berdikari kembali perlukan bantuan ComCare dalam tempoh 3 tahun setelah keluar daripada skim
Isi rumah perlu bantuan kewangan pemerintah susut ke paras terendah 5 tahun
Jumlah isi rumah berpendapatan lebih rendah yang menerima bantuan kewangan dan sokongan sosial daripada pemerintah merosot ke paras terendah dalam tempoh lima tahun pada 2025.
Namun, pada masa yang sama, lebih banyak isi rumah yang disifatkan lebih berdikari kembali memerlukan bantuan dalam tempoh tiga tahun mereka dikeluarkan daripada skim bantuan ComCare tersebut, mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Secara keseluruhan, sebanyak 22,470 isi rumah menerima bantuan ComCare pada 2025, berbanding 24,065 pada 2024.
Bantuan ComCare boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama – Bantuan Interim, bagi keluarga yang memerlukan bantuan kewangan serta-merta buat tempoh sederhana; Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana (SMTA), bagi keluarga yang gagal mendapat kerja atau bergaji rendah; dan Bantuan Jangka Panjang (LTA), bagi golongan yang tidak dapat bekerja kerana usia lanjut, penyakit atau kurang upaya.
Subsidi penjagaan pelajar dan prasekolah, termasuk Bantuan Kewangan Penjagaan Pelajar (SCFA) turut disediakan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menampung yuran penjagaan dan pendidikan.
Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2026 yang dikeluarkan MSF pada 16 November menunjukkan jumlah penerima SMTA berkurangan daripada 20,825 isi rumah pada 2024 kepada 19,473 isi rumah pada 2025.
Trend serupa turut dilihat bagi Bantuan Jangka Panjang (LTA), dengan jumlah penerima menyusut daripada 3,240 kepada 2,997 isi rumah, sedang agihan bantuan meningkat daripada sekitar $21 juta kepada $22 juta.
Namun, laporan yang sama juga menyatakan sesetengah keluarga masih menghadapi kesukaran untuk kekal berdikari selepas keluar daripada skim bantuan ComCare.
Dalam kalangan isi rumah yang berhenti menerima SMTA pada 2022, sebanyak 54 peratus kembali mendapatkan bantuan dalam tempoh 36 bulan, meningkat daripada 49 peratus bagi kumpulan yang keluar pada 2021.
Sebahagian besar keluarga tersebut kembali memohon bantuan dalam tempoh 12 bulan pertama selepas keluar daripada skim berkenaan.
MSF dalam kenyataannya berkata trend ini menunjukkan tahun pertama selepas bantuan dihentikan amat penting bagi memastikan keadaan kewangan keluarga kekal stabil.
Kegagalan memelihara pekerjaan stabil antara faktor utama yang menyebabkan keluarga kembali mendapatkan bantuan ComCare.
Sebanyak 35 peratus isi rumah yang kembali mendapatkan bantuan ComCare mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota yang mempunyai pekerjaan stabil pada 2023.
Median tempoh bekerja bagi kumpulan ini, iaitu separuh daripada mereka, ialah 11 bulan
Sebaliknya, 46 peratus isi rumah yang tidak kembali mendapatkan bantuan ComCare mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota keluarga dengan pekerjaan stabil, dengan median tempoh bekerja selama tiga tahun.
Namun, MSF menarik perhatian bahawa sesetengah keluarga mungkin perlu mengatasi cabaran lain terlebih dahulu sebelum dapat bekerja secara stabil.
Antaranya termasuk tanggungjawab menjaga anak kecil serta masalah kesihatan yang boleh mengehadkan peluang dan keupayaan mereka untuk bekerja secara tetap.
Dalam kalangan isi rumah yang kembali memohon SMTA, 23 peratus mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun dan ke bawah, berbanding 16 peratus bagi keluarga yang tidak mempunyai anak dalam lingkungan usia tersebut.
Selain itu, 18 peratus pemohon utama dalam kalangan isi rumah yang kembali mendapatkan bantuan ComCare disifatkan sebagai tidak sihat dari segi perubatan untuk bekerja, berbanding 13 peratus bagi keluarga yang tidak kembali.
Dalam pada itu, jumlah bantuan yang diagihkan MSF menerusi ComCare meningkat daripada sekitar $94 juta kepada $96 juta antara 2021 dengan 2025.
Menurut MSF, jumlah agihan itu meningkat kerana kadar bantuan telah ditambah, menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2025, yang bertujuan membantu keluarga berpendapatan lebih rendah menampung keperluan asas di tengah-tengah tekanan kos sara hidup.
Isi rumah dengan seorang anggota yang menerima LTA mendapat $760 sebulan, meningkat daripada kadar sebelumnya iaitu $640 sebulan.
Sementara itu, isi rumah dengan empat anggota menerima $2,230 sebulan, berbanding $1,930 sebelum ini.
Bagi menangani cabaran tersebut, Pejabat Khidmat Sosial (SSO) bekerjasama dengan agensi pekerjaan, Pusat Khidmat Keluarga (FSC) dan rakan masyarakat untuk menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh kepada keluarga memerlukan.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi inisiatif ComLink+, yang diumumkan pada 2023 dan mula dilaksana dari Ogos 2024.
Sehingga Disember 2025, 11,006 keluarga kini menerima sokongan menerusi ComLink+, berbanding 10,219 keluarga pada Disember 2024.
Antara lain, keluarga yang menyertai skim ComLink+ menerima bimbingan terperinci dalam hal mendapatkan pekerjaan, memastikan anak menyertai prasekolah dan melunaskan hutang.
Bagaimanapun, sekitar separuh daripada keluarga ComLink+, atau 5,496 keluarga, masih belum stabil dalam enam aspek kehidupan yang dinilai untuk mengukur kemajuan masing-masing.
Ini merangkumi keselamatan pendapatan, perkembangan dan pendidikan anak-anak, kestabilan perumahan, perlindungan daripada bahaya, keperluan kesihatan serta daya tahan kewangan.
Dalam kalangan keluarga yang dianggap belum stabil, 54 peratus mempunyai tanggungjawab menjaga sekurang-kurangnya seorang anak kecil, manakala 40 peratus merupakan keluarga ibu atau bapa tunggal.
Sebanyak 18 peratus pula mempunyai anggota keluarga yang pernah dipenjarakan dalam tempoh lima tahun lalu.
MSF berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi pemerintah lain dan rakan masyarakat bagi menangani cabaran yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah, sekali gus membantu mereka mencapai kestabilan kewangan dan berdikari dalam jangka panjang.