Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 130 pekerja dalam kes gaji tidak dibayar dapat pekerjaan baru
Lebih 130 pekerja dalam kes gaji tidak dibayar dapat pekerjaan baru
Lebih 130 pekerja dalam kes gaji tidak dibayar dapat pekerjaan baru
Lebih 130 pekerja yang tidak mendapat gaji telah mendapat pekerjaan dengan majikan baru, dengan pihak berkuasa akan terus memudahkan pertukaran majikan bagi baki pekerja terbabit sekiranya mereka ingin terus bekerja di sini.
Dua daripada tiga syarikat yang terlibat dalam kes tidak mendapat gaji itu, iaitu KPA Engineering dan VVR Plant Engineering, masing-masing tidak dapat mengambil pekerja asing baru sejak April dan awal Jun, apabila keistimewaan pas kerja mereka disekat oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berikutan kegagalan membayar levi.
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, memberikan kemas kini itu dalam satu jawapan parlimen bertulis pada 7 Julai, menjawab soalan daripada Encik Yip Hon Weng (SMC Yio Chu Kang) dan Cik Choo Pei Ling (GRC Chua Chu Kang) mengenai kes pekerja yang tidak menerima gaji, khususnya dalam kes berskala besar yang melibatkan beberapa entiti.
Syarikat ketiga yang terlibat, SK Industries, juga pernah gagal membayar levinya sebelum ini, tetapi keistimewaan pas kerjanya telah dipulihkan selepas levi yang tertunggak dijelaskan, kata Dr Tan.
Semua pekerja terjejas yang memerlukan penginapan alternatif telah ditempatkan semula, dan pekerja telah diberikan Pas Khas untuk membolehkan mereka kekal di Singapura semasa mencari pekerjaan baru.
The Straits Times (ST) kali pertama melaporkan pada 22 Jun bahawa lebih 100 pekerja migran datang ke pejabat MOM pada hari itu berikutan dakwaan gaji tidak dibayar oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan penghawa dingin.
Bilangan pekerja terjejas kemudian meningkat kepada kira-kira 400 orang merangkumi tiga firma.
Sebanyak 407 tuntutan gaji telah difailkan terhadap ketiga-tiga syarikat itu, kata Dr Tan. Firma tersebut berkongsi pengarah sama, seorang warga India, Encik Ramu Palani Velu, yang sedang membantu siasatan.
Dr Tan berkata lima pekerja daripada KPA Engineering telah secara individu menghubungi Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) mengenai gaji tidak dibayar pada waktu berlainan sepanjang 2025.
Semua kes itu diselesaikan dalam tempoh seminggu, dengan pekerja menerima bayaran daripada majikan, katanya.
Tuntutan turut difailkan pada Mei dan sebelum 22 Jun oleh empat lagi pekerja daripada KPA Engineering. Tuntutan itu sedang diproses buat masa ini, tambah Dr Tan.
Kementerian itu menyatakan ia telah mengambil langkah untuk menghubungi pengarah syarikat sebelum kumpulan pekerja itu menghubungi MOM pada 22 Jun.
Kementerian itu dimaklumkan pada 8 Jun mengenai notis pengusiran asrama yang menjejas ramai pekerja KPA Engineering. Ia bertindak membantu pekerja terjejas.
MOM turut berbincang dengan pekerja dan mendapati ramai menghadapi kelewatan gaji. Ia kemudian mengambil langkah untuk menghubungi pengarah syarikat, kata Dr Tan.
Dr Tan berkata majoriti tuntutan pekerja terjejas telah diproses oleh TADM, dan telah dirujuk kepada Pusat Pekerja Migran (MWC) untuk bantuan kewangan.
Cabang amal MWC — Tabung Bantuan Pekerja Migran — akan memberikan bantuan, dan bergantung pada keadaan setiap kes, ini akan menampung sebahagian besar daripada gaji tertunggak mereka, katanya.
TADM dan MOM telah bertindak membantu pekerja pada 22 Jun, ketika 196 pekerja menghubungi MOM dengan tuntutan gaji tidak dibayar.
Mereka menerima bantuan untuk memfailkan tuntutan gaji dan diberikan pemeriksaan kesejahteraan, serta keperluan makanan dan penginapan mereka turut ditangani.
