Topic followed successfully
Go to BHkuSee Leng: Pastikan tiada pekerja terpinggir, impak AI terhadap pekerjaan dipantau
See Leng: Pastikan tiada pekerja terpinggir, impak AI terhadap pekerjaan dipantau
Parlimen lulus usul ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’ sebulat suara
See Leng: Pastikan tiada pekerja terpinggir, impak AI terhadap pekerjaan dipantau
Pemerintah sedang memantau rapi kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap tenaga kerja, dan sedang memperbaharui sokongan kemahiran dan meningkatkan kecelikan dalam teknologi tersebut bagi membantu pekerja dan syarikat dalam peralihan Singapura ke arah ekonomi didayakan AI, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Penggunaan AI mestilah adil, inklusif dan mengelakkan pekerja daripada ketinggalan di belakang, tegas Dr Tan, sambil berkata AI harus menjadi alat yang membantu pekerja melakukan tugas dengan lebih baik dan lebih bermakna, dan bukannya menggantikan mereka.
Ini di samping memastikan manfaat AI dikongsi antara perniagaan dengan pekerja.
“Kami tidak akan membiarkan masa depan pekerjaan dan mata pencarian rakyat Singapura kepada nasib semata-mata. Kami akan membentuk satu transformasi yang inklusif, berpandangan jauh, dan berpaksikan tindakan yang nyata,” kata beliau.
“Dan kami akan melakukannya dengan cara Singapura, di mana pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja bekerjasama supaya perubahan ini diterjemahkan kepada pekerjaan yang baik serta laluan yang jelas bagi setiap rakyat Singapura untuk maju ke arah masa depan lebih baik,” tambahnya.
Dr Tan berkata demikian semasa hari kedua perbahasan usul bertajuk ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’ di Parlimen pada 6 Mei.
Seramai 24 Anggota Parlimen (AP), AP Dilantik (NMP), AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan pemegang jawatan politik telah tampil melahirkan pandangan serta keprihatinan mereka tentang kesan penggunaan AI terhadap syarikat dan pekerja semasa perbahasan usul tersebut – dibentangkan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (SMC Jalan Kayu), pada 5 Mei.
Dr Tan berkata pemerintah mengiktiraf keprihatinan yang diutarakan para AP mengenai impak AI ke atas pekerjaan dan keperluan memastikan pertumbuhan yang inklusif bagi semua.
Meski AI mengubah pekerjaan dan cara kerja dilakukan, ia juga mewujudkan peluang baru bagi perniagaan dan pekerja, seperti mana yang telah dilalui sebelum ini dalam setiap gelombang teknologi dan penyusunan semula ekonomi, kata beliau.
Bahkan, tinjauan sulung Kementerian Tenaga Manusia (MOM) terhadap syarikat menunjukkan bahawa AI memperkasakan tenaga kerja dan bukannya menggantikan pekerja secara besar-besaran.
Tinjauan itu mendapati hanya sekitar 6 peratus firma yang menggunakan AI melaporkan pengurangan pekerja, manakala majoriti lebih fokus kepada reka bentuk semula tugasan dan penciptaan peranan baru.
Namun begitu, Dr Tan berkata Singapura perlu bersedia kerana sedang penggunaan AI semakin meluas, kesannya terhadap pekerjaan mungkin akan menjadi lebih besar.
Dr Tan membentangkan beberapa langkah yang diambil pemerintah untuk mempersiapkan individu dan perniagaan bagi peralihan AI.
Ini termasuk memperbaharui sistem sokongan tenaga kerja dan kemahiran, antaranya dengan pembentukan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) baharu untuk menyelaras urusan pekerjaan dan kemahiran bagi rakyat Singapura dengan lebih cekap di bawah satu bumbung.
Dalam meningkatkan kecelikan AI rakyat Singapura, SWDA akan memperkenalkan alat diagnostik bagi individu menilai tahap persediaan AI semasa mereka dan mencari kursus yang memenuhi keperluan mereka dan menyampaikan hasil latihan yang sejajar dengan permintaan majikan.
Antara lain, mulai separuh kedua 2026, rakyat yang berdaftar dalam kursus AI SkillsFuture yang terpilih akan mendapat akses percuma selama enam bulan kepada alat AI premium – membolehkan mereka mengamalkan apa yang dipelajari dalam kerja dan kehidupan harian.
Dalam usaha membantu perniagaan dalam perjalanan AI mereka, pemerintah memperuntukkan lebih $400 juta bagi Pakej Transformasi Tenaga Kerja Perusahaan (EWTP), di mana majikan boleh mendapatkan pembiayaan untuk melaksanakan rekaan semula pekerjaan dan latihan tenaga kerja.
Dr Tan menambah bahawa pemerintah juga menyokong usaha gerakan pekerja untuk menjalankan transformasi perniagaan dan pekerja, dengan tambahan $200 juta disediakan bagi Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC pada 2025 dan tempoh geran itu dilanjutkan sehingga 2028.
Pemerintah juga telah memperkukuh sokongan peralihan bagi pekerja yang diberhentikan, termasuk melalui Skim Bantuan Pencari Kerja (JSS) yang menyokong mereka yang hilang pekerjaan, kata Dr Tan.
Parlimen meluluskan usul itu sebulat suara selepas hampir lapan jam perbahasan selama dua hari.
Menggulung perbahasan usul itu, Encik Ng mengucapkan terima kasih kepada para AP atas sokongan dan saranan yang diberi, sambil melahirkan rasa gembira pemerintah menegaskan bahawa ia tidak akan membiarkan hasil masa depan kepada nasib semata-mata, dan sebaliknya akan mencorak hala tuju pertumbuhan AI secara sengaja dan terancang.
“Ia memberi isyarat yang jelas kepada setiap pekerja, sama ada kolar biru mahupun kolar putih, bahawa Dewan ini berdiri teguh di belakang anda.
