Lebih daripada 1,300 sukarelawan mengedarkan ‘beg berkat’ kepada warga emas dan keluarga mereka merentasi 21 kawasan undi di seluruh Singapura sempena acara Fú Dài Dana Masyarakat pada 27 Januari ini.
Diadakan jelang Tahun Baru Cina, acara tersebut turut dihadiri tetamu terhormat, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pula diundang sebagai hos acara itu di samping mengagihkan beg barangan tersebut kepada penduduk kawasannya di Tampines West sendiri.
Kumpulan sukarelawan ‘The Heartwarmers’ mengaturkan lebih daripada 40 pertubuhan dan individu untuk menyumbangkan masa dalam menyediakan serta mengedarkan sebanyak 8,000 pakej penjagaan kepada warga emas dan keluarga yang memerlukan.
Setiap penerima menerima beg “Fú Dài” – atau beg ‘berkat’ ini berisi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan juga makanan perayaan seperti biskut dan tin buah-buahan.
Penerima beg kekayaan itu termasuk pengguna perkhidmatan daripada agensi perkhidmatan sosial yang disokong Dana Masyarakat seperti Dementia Singapore, Pusat Kebajikan dan Pendidikan Pertapis, Pusat Kebajikan dan Khidmat Masyarakat Fei Yue.
“Selama lebih sedekad, Fú Dài Dana Masyarakat menjadi wadah untuk ribuan sukarelawan menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan. Sebahagian daripada Forward SG, ia memberi peluang untuk sama-sama memberi perhatian terhadap orang yang lain dalam masyarakat kita.”
Kami mengalu-alukan sumbangan dari lebih banyak syarikat korporat untuk bekerjasama bersama kami demi memperkasakan kehidupan rakyat Singapura dan mengukuhkan lagi kompak sosial kita,” kata Pengerusi Dana Masyarakat, Encik Chew Sutat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg