LEBIH 1.45 juta penumpang menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA) dan syarikat tambang murah Scoot bulan lepas - peningkatan 62.7 peratus dari Mac, dan lebih 10 kali ganda bilangan penumpang yang dibawa oleh kedua-dua syarikat penerbangan itu dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ini berikutan pelonggaran besar sekatan sempadan di Singapura dan tempat lain di seluruh dunia, yang turut menyebabkan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Changi meningkat dua kali ganda dan mencapai hampir 40 peratus tahap pra-Covid-19 pada akhir April.
Kumpulan SIA, yang mengendalikan syarikat penerbangan nasional, SIA, dan Scoot, berkata permintaan untuk perjalanan udara meningkat dengan ketara selepas Singapura membuka semula sempadannya sepenuhnya kepada pelancong yang telah divaksin terhadap Covid-19 pada 1 April, dan menggugurkan keperluan untuk ujian praberlepas pada 26 April.
Banyak pasaran utama turut melonggarkan lagi langkah sempadan mereka, kata SIA Group, yang menyebabkan syarikat itu mencatatkan faktor muatan penumpang tertinggi sejak wabak Covid-19 bermula lebih dua tahun lalu.
Pada April, 72.7 peratus daripada kapasiti tempat duduk yang tersedia untuk penerbangan SIA dan Scoot telah diisi - peningkatan 18.2 mata peratusan dari bulan sebelumnya dan peningkatan 59 mata peratusan tahun ke tahun.
Faktor muatan penumpang bertambah baik merentas semua wilayah laluan untuk kedua-dua syarikat penerbangan, tambah SIA Group.
Kapasiti penumpang kumpulan itu bulan lepas juga meningkat sebanyak enam mata peratusan mencecah 57 peratus daripada tahap pra-Covid-19, kata firma itu.
Bulan lalu, SIA menyambung semula operasi ke Davao dan Cebu di Filipina, manakala Scoot menyambung semula perkhidmatan ke Hat Yai di Thailand dan Kota Kinabalu di Malaysia.
Sehingga akhir April, rangkaian penumpang Kumpulan SIA meliputi 95 destinasi, termasuk Singapura, dengan perkhidmatan SIA ke 71 destinasi dan perkhidmatan Scoot ke 45 destinasi.
Penyambungan semula penerbangan penumpang juga membawa kepada peningkatan 35.1 peratus dalam kapasiti kargo untuk SIA bulan lepas, tetapi kawalan pandemik di China menjejaskan permintaan dan lebih banyak ruang diperuntukkan untuk membawa bagasi penumpang, menyebabkan muatan kargo menurun sebanyak 2.1 peratus berbanding dengan Mac, kata Kumpulan SIA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg