Mereka yang berminat menanam tumbuh-tumbuhan kini boleh menempah tapak untuk berkebun, menyusuli pembukaan lebih 170 tempat di serata negara untuk disewa.

Permohonan dalam talian dibuka dari 10 pagi pada 8 Oktober hingga 11.59 malam 21 Oktober, kata Lembaga Taman Negara (NParks) pada 8 Oktober.

Sejumlah 171 tapak berkebun itu terletak di 13 kebun peruntukan sedia ada, dengan 59 tapak di Kawasan B dan D Taman East Coast; 55 tapak di Taman Bukit Gombak; 18 tapak di Taman One-North; 16 tapak di Taman Tiong Bahru; dan 11 tapak lain di Taman Kallang Riverside. 

Baki 12 tapak terletak di Taman Aljunied, Taman Bedok Reservoir, Taman Choa Chu Kang, Taman Pasir Ris, Taman Sengkang Riverside, Taman Sun Plaza dan Taman Yishun.

Tapak untuk ditempah ini termasuk ruang dengan tempoh pajakannya yang akan berakhir tidak lama lagi, dan pajakan semula yang telah tamat.

Ia juga termasuk tapak yang telah dikosongkan sebelum tamat tempoh pajakan.

Semua tapak yang ditawarkan mengandungi batas penanam bertingkat, berukuran 2.5 meter kali 1 meter, tanah, dan kawasan kecil untuk menyimpan peralatan.

Setiap tapak akan dipajak sehingga tiga tahun, pada harga $57 setahun.

Setiap isi rumah dibenarkan memohon satu tapak di mana-mana satu lokasi pada satu masa.

Mereka yang berminat boleh memohon dan mengundi bagi tapak tersebut melalui laman web AXS, aplikasi AXS bagi telefon bimbit, atau mesin AXS.

Pemohon akan dimaklumkan tentang keputusan permohonan mereka melalui e-mel dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tutup permohonan.

Skim Peruntukan Tapak untuk Berkebun dilancarkan pada 2016, bagi mewujudkan ruang bagi mereka yang berminat menanam hasil tanaman yang boleh dimakan.

Lebih 2,400 tapak berkebun bagi peruntukan telah dilancarkan di 28 taman dan kebun di Singapura sehingga kini.

Di samping itu, 900 tapak lain di 29 lokasi diuruskan oleh jawatankuasa penduduk (RC) dan rangkaian penduduk (RN).

Dalam satu catatan Facebook, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, menonjolkan kisah seorang pesara yang menemui minat untuk berkebun selepas berjaya mendapatkan tapak berkebun pada peruntukan 2021.

“Sejak beberapa tahun ini, beliau menanam pelbagai jenis tanaman seperti kangkung, bok choy, pudina, rosemary dan tomato untuk dinikmati keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Skim Peruntukan Tapak untuk Berkebun sangat popular sejak ia dilancarkan.

Oleh itu, NParks telah bekerjasama dengan majlis bandaran dan pertubuhan akar umbi untuk menambah lebih banyak tapak di pelbagai estet perumahan bagi memenuhi permintaan tinggi.