Lebih sejuta isi rumah yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bakal menerima rebat bagi bil utiliti serta bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) pada Julai, sebagai sebahagian skim pemerintah untuk meringankan beban kos sara hidup.

Dalam satu kenyataan pada 30 Jun, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa isi rumah yang layak akan menerima rebat U-Save sehingga $190 bagi bil utiliti mereka. 

Menurut MOF, jumlah ini adalah dua kali ganda berbanding rebat U-Save biasa.

Selain itu, mereka juga akan menerima rebat sehingga satu bulan bagi caj S&CC.

Jumlah rebat U-Save dan S&CC yang diterima berbeza mengikut jenis flat. 

Contohnya, penduduk yang tinggal di flat HDB empat bilik akan menerima rebat U-Save sebanyak $150 dan rebat S&CC selama 0.5 bulan pada Julai.

Sementara itu, mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik masing-masing akan menerima rebat U-Save sebanyak $190 dan rebat S&CC selama sebulan.

Secara keseluruhan, dari April 2026 hingga Januari 2027, setiap isi rumah yang layak akan menerima rebat U-Save sehingga $570, dan rebat S&CC sehingga 3.5 bulan.

Rebat utiliti dan S&CC akan dimasukkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak di bawah pengendali grid SP Services dan majlis bandaran masing-masing.

Rebat ini adalah sebahagian daripada skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) tetap yang bertujuan membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menangani peningkatan kos sara hidup serta kenaikan GST.

Bagi flat yang tidak disewakan atau disewakan sebahagiannya, isi rumah layak menerima rebat U-Save jika sekurang-kurangnya seorang pemilik atau penghuninya merupakan warga Singapura.

Bagi flat yang disewakan sepenuhnya, isi rumah layak menerima rebat berkenaan jika sekurang-kurangnya seorang penyewa merupakan warga Singapura.

Kementerian itu menyatakan bahawa isi rumah dengan penghuni yang memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak menerima rebat U-Save.

Antara isi rumah yang tidak layak menerima rebat S&CC, termasuk isi rumah tanpa pemilik atau penghuni yang merupakan warga Singapura, isi rumah yang pemilik atau penghuni utamanya memiliki atau mempunyai kepentingan dalam hartanah privet, dan isi rumah yang menyewakan keseluruhan flat.

Rebat tambahan U-Save tersebut telah diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2026 beliau pada 12 Februari, dengan sebahagian daripada isi rumah yang layak telah menerima agihan fasa pertama pada April lalu.

Untuk menyemak kelayakan bagi rebat S&CC, orang ramai boleh log masuk ke Halaman MyHDB menggunakan Singpass.

MOF turut menambah bahawa pegawai pemerintah tidak akan meminta orang awam untuk memindahkan wang atau mendedahkan butiran perbankan menerusi panggilan telefon, dan jika tidak pasti, mereka dinasihatkan supaya menghubungi talian bantuan ScamShield di talian 1799.

Rebat U-Save dan S&CC diagihkan setiap tiga bulan sekali, iaitu pada April, Julai, Oktober dan Januari.