Hampir sejuta isi rumah yang warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat untuk bil utiliti dan caj penyelenggaraan pada Julai, sebagai sebahagian daripada skim pemerintah untuk membantu mereka menghadapi kos sara hidup.
Mengikut jenis flat HDB mereka, isi rumah yang layak akan menerima sehingga $190 dalam rebat U-Save untuk bil utiliti, serta maksimum sebulan rebat untuk Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC), kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada 30 Jun, lapor The Straits Times (ST).
Contohnya, penduduk di flat empat bilik akan menerima $150 untuk U-Save dan setengah bulan rebat S&CC, manakala penduduk di flat satu dan dua bilik akan menerima $190 untuk U-Save dan sebulan rebat S&CC.
Rebat utiliti dan S&CC ini akan dikreditkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak dengan pengendali grid SP Services dan majlis bandaran masing-masing.
Rebat itu adalah sebahagian daripada skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) tetap dan Pakej Jaminan yang dipertingkatkan untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana mengatasi kenaikan kos sara hidup dan GST.
Rebat itu dibayar setiap tiga bulan – pada April, Julai, Oktober, dan Januari – setiap tahun.
Isi rumah HDB yang layak dijangka menerima rebat U-Save sehingga $760 dan rebat S&CC sehingga tiga setengah bulan pada tahun kewangan 2025.
Untuk layak menerima rebat U-Save, sekurang-kurangnya seorang pemilik atau penghuni warga Singapura mesti berada dalam isi rumah jika flat tersebut disewa sebahagian atau tidak disewa.
Jika keseluruhan flat HDB disewa, sekurang-kurangnya seorang penyewa warga Singapura mesti tinggal di situ.
Isi rumah berikut tidak layak untuk rebat S&CC:
Untuk memeriksa kelayakan mereka bagi rebat S&CC, orang awam boleh log masuk ke My HDBPage menggunakan Singpass mereka.
Kementerian turut mengingatkan orang ramai bahawa pegawai pemerintah tidak akan meminta mereka memindahkan wang atau mendedahkan butiran perbankan melalui panggilan telefon.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg