Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 200,000 dijangka tonton sambutan NDP di Marina Bay, Padang sempena SG60

May 26, 2025 | 3:55 PM
Selain daripada Padang, kawasan sekitar Marina Bay turut akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api sempena sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025.
Selain daripada Padang, kawasan sekitar Marina Bay turut akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api sempena sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025. - Foto ST

Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60, atau SG60, sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 akan diraikan dengan lebih meriah, dengan lebih 200,000 penonton dijangka hadir meliputi kawasan Padang dan sekitar Marina Bay.

Dengan pertunjukan diperluas itu, pasukan payung terjun Red Lions akan mendarat di Padang, manakala penyelam daripada Angkatan Laut Republik Singapura akan terjun ke perairan Marina Bay dalam satu pertunjukan udara yang diselaraskan buat pertama kalinya, iaitu Jump of Unity.

Demikian antara inisiatif yang diumumkan Jawatankuasa Eksekutif NDP (Exco) di Galeri Nasional Singapura pada 26 Mei.

Berkongsi kepada media semasa sesi bertemu media, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP, Kolonel Chong Shi Hao, berkata pertunjukan yang diperluas itu direka untuk mewujudkan pengalaman yang mendalam, bersepadu untuk penonton di kedua-dua Padang dan sekitar Marina Bay.

“Di Marina Bay, misalnya, akan terdapat pentas terapung mudah alih baru di mana persembahan akan diadakan.

“Pada masa yang sama, bangunan di sekitarnya juga akan disepadukan dengan pancaran cahaya khas yang dipertingkatkan dengan pertunjukan bunga api, supaya orang ramai di Padang dan di Marina Bay dapat menikmati persembahan yang bersepadu.

“Jadi, apa yang berlaku di Marina Bay juga diselaraskan dengan apa yang berlaku di Padang, supaya semua orang boleh menikmati tontonan visual penuh dan pengalaman mengasyikkan di mana sahaja mereka berada,” kongsi beliau, yang juga Komander Divisyen Singapura Ketiga.

Menurut Exco dalam satu kenyataan media pada 26 Mei, NDP 2025 yang bertemakan ‘Majulah Singapura’ akan menghargai perjalanan 60 tahun pembinaan negara serta menyeru rakyat Singapura supaya meraikan masa lalu dan membina masa depan bersama.

Menyentuh tentang tema NDP 2025, Kolonel Chong berkata ia berperanan sebagai seruan untuk menyatukan rakyat Singapura dalam usaha membina masa depan yang lebih gemilang bersama.

“Kami sedar bahawa dunia hari ini telah berubah. Kami berada dalam keadaan yang tidak pernah kami alami, kami sedang menghadapi ketidaktentuan sebagai sebuah negara disebabkan keadaan geopolitik semasa.

“Oleh itu, kami merasakan bahawa tema ‘Majulah Singapura’ amat bertepatan dengan situasi sekarang, untuk mengiktiraf bahawa kami semua, sebagai rakyat Singapura sedang menghadapinya bersama-sama,” ujar beliau.

Sementara itu, segmen Kontinjen Kenderaan akan tampil semula di Padang sejak 2019 dan menampilkan aset udara, darat dan maritim dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Home Team dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).

Buat julung-julung kalinya, segmen itu akan digabungkan dengan acara terbang lalu jet pejuang melintasi Padang dan persembahan maritim di Marina Bay.

Pada 9 Ogos, kawasan Marina Bay akan menyaksikan reruai interaktif dan permainan karnival.

Semasa NDP, skrin-skrin LED besar dan pembesar suara akan menyiarkan persembahan secara langsung di seluruh kawasan Marina Bay.

Menerusi kerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persatuan Askar Kerahan (Safra), Gardens by the Bay, agensi air negara PUB, dan Pengurusan Sukan Kallang Alive, Exco akan memperluaskan sambutan ke lima lokasi tambahan di sekitar kawasan Marina Bay menjelang dan pada 9 Ogos.

Butiran lanjut mengenai sambutan di Marina Bay itu akan diumumkan kelak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg