Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki mengaku hasilkan vape guna racun etomidate

Aug 13, 2025 | 4:52 PM
Sabitan pertama kes Kpod, etomidate, dari mahkamah
Mohammed Akil Abdul Rahim, 41 tahun, ditangkap di flatnya di Yishun pada Disember 2024, dengan sejumlah etomidate dalam bentuk serbuk putih yang cukup untuk menghasilkan lebih 70 Kpod. - Foto HSA

Seorang lelaki berusia 41 tahun mengaku bersalah menghasilkan sejenis vape yang dicampur racun etomidate, untuk dijual kepada pengguna.

Kes ini merupakan sabitan pertama berkaitan Kpod di mahkamah.

Mohammed Akil Abdul Rahim, ditangkap di flatnya di Yishun pada Disember 2024 dengan 26.4 gram serbuk putih etomidate, yang cukup untuk menghasilkan lebih 70 Kpod.

Lelaki warga Singapura yang kini ditahan reman itu mengaku bersalah pada 13 Ogos terhadap pelbagai pertuduhan, kebanyakannya melibatkan produk vape.

Akil memberitahu penyiasat bahawa sebelum kesalahan itu dilakukan, dia telah pergi ke sebuah pusat beli-belah di Johor pada Oktober 2024 dan bertemu seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Joe’.

Joe menawarkan Akil untuk menyediakan pod vape yang dicampur etomidate bagi pelanggan di Singapura.

Pendakwa Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Encik Yang Ziliang, berkata Joe akan mengatur penghantaran barangan seperti botol ‘e-cecair’, bingkai pod kosong, penutup pod dan serbuk etomidate ke rumah Akil melalui khidmat kiriman pantas.

Akil perlu mencampurkan ‘e-cecair’ dengan serbuk tersebut, dan kemudian mengisinya ke dalam bingkai pod kosong.

Pod yang siap diisi disimpan di flat Akil bagi pesanan akan datang.

Pelanggan yang mendapat nombor Akil daripada Joe akan menghubunginya untuk membuat pesanan.

Bagi setiap pod yang disediakan dan diserahkan kepada pelanggan, Akil dibayar $10.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Akil bersetuju terlibat dalam rancangan itu walaupun dia sedar produk vape diharamkan di Singapura.

Pada awal pagi 11 Disember 2024, Akil menerima mesej daripada seseorang yang dikenali sebagai ‘Beast’ yang ingin memesan pod.

Akil setuju untuk membekalkan 100 pod kepada Beast, lalu memintanya menghantar seseorang untuk mengambil produk tersebut.

Sebelum 12.40 pagi pada hari tersebut, seorang penghantar mengambil beg berisi Kpod itu untuk menghantarnya ke Sin Ming Drive, berhampiran Bishan Street 22.

Apabila penghantar itu mendapati beg tersebut mengandungi barangan berkaitan vape, beliau menuju ke Pusat Polis Kejiranan Yishun North untuk membuat laporan.

Sekitar 5.30 pagi, pegawai HSA menyerbu rumah Akil dan menemui 569 bingkai pod kosong, 534 komponen pod, serta 1,485 penutup pod.

Mereka turut menemui sebuah beg berisi serbuk etomidate, picagari (syringe) dan mesin penimbang.

Pada 13 Ogos, Encik Yang menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga setahun tiga bulan bagi Akil, sambil menekankan bahawa golongan muda telah ditangkap menggunakan vape yang dicampur etomidate.

Akil akan dijatuhkan hukuman pada 26 Ogos.

Etomidate diklasifikasikan sebagai racun dan dikawal di bawah Akta Racun.

Ia mempunyai penggunaan klinikal sebagai agen anestetik dan hanya dibenarkan dalam tetapan klinikal dan tertakluk pada syarat yang ketat.

Pada 30 Julai, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, mengumumkan bahawa pegawai Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan dihantar sementara kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan etomidate.

MHA dijangka akan menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dalam beberapa minggu akan datang sebagai langkah sementara.

Langkah itu diambil sementara Kementerian Kesihatan (MOH) terus meneliti tindakan perundangan lanjut terhadap pengguna Kpod.

Jika etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C, penyalah guna dadah tersebut boleh dikenakan pengawasan serta diwajibkan mengikuti program pemulihan atau ditempatkan di pusat pemulihan dadah, sama seperti yang dijalani penagih dadah.

Mereka yang mengulangi kesalahan atau melakukan kesalahan serius lain juga boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya setahun.

Untuk melaporkan kesalahan berkaitan ‘vape’, hubungi talian HSA di 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, termasuk cuti umum. 

Orang ramai juga boleh membuat laporan secara dalam talian di pautan, www.go.gov.sg/reportvape.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg