Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 29,000 flat HDB lebih berusia akan jalani peningkatan

494,000 flat jalani Program Peningkatan Rumah (HIP) sejak 2007; sekitar $4b dibelanjakan sehingga 31 Mac 2024
Feb 16, 2025 | 5:58 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan 317 blok HDB akan melalui kerja-kerja peningkatan di bawah pusingan terkini Program Peningkatan Rumah (HIP).
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan 317 blok HDB akan melalui kerja-kerja peningkatan di bawah pusingan terkini Program Peningkatan Rumah (HIP). - Foto ZAOBAO

Lebih 29,000 flat HDB yang dibina pada 1997 atau lebih awal, akan melalui kerja-kerja peningkatan di bawah Program Peningkatan Rumah (HIP).

Sebanyak 317 blok yang terlibat dalam peningkatan kali ini terletak di Choa Chu Kang, Pasir Ris, Tampines dan Jurong West.

Antara lain, isi rumah yang terlibat boleh menjangka kerja-kerja naik taraf pada bilik air, pintu masuk dan pembaikan konkrit retak.

Mereka juga boleh memilih memasang kemudahan mesra warga emas seperti palang penyokong dan tempat duduk lipat dalam ruang mandi.

Pemerintah telah mengetepikan lebih $407 juta bagi pusingan HIP kali ini.

Dalam kenyataannya pada 16 Februari, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berkata sekitar $4 bilion telah dibelanjakan bagi HIP sehingga 31 Mac 2024, sejak program itu dilancarkan pada 2007.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (gambar sisipan) berkata 494,000 flat atau sembilan daripada 10 flat yang layak telah dipilih untuk program tersebut, termasuk yang diumumkan pada 16 Februari.

Hampir 381,000 daripada flat itu telah dinaik taraf pada masa ini, ujar beliau lagi.

Encik Lee, berkata demikian semasa menghadiri acara Tahun Baru Cina di Kelab Masyarakat Frontier pada 16 Februari.

Beliau beritahu lebih 200 penduduk yang hadir bahawa 10 blok HDB di kawasan tersebut - meliputi Blok 687 hingga Blok 696 di Jurong West Central 1 - telah dipilih untuk menjalani HIP.

Blok-blok tersebut berusia lebih 25 tahun.

Ini bermakna lebih 1,200 isi rumah terlibat dalam pusingan HIP kali ini, kata Encik Lee.

HIP terbahagi kepada dua bahagian – Peningkatan Asas, yang dibiayai pemerintah sepenuhnya dan Peningkatan Ikut Pilihan, yang sebahagian besar kosnya ditanggung pemerintah.

HIP biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun dari tarikh pengumuman untuk diselesaikan.

Dalam kenyataannya, HDB berkata isi rumah yang dipilih untuk HIP boleh memilih kemudahan atau ciri mesra warga emas di bawah program Peningkatan Bagi Warga Emas Aktif (Ease).

Ini termasuk palang penyokong di pintu masuk rumah yang bertangga, jubin lantai tandas cegah gelincir dan suiz elektrik lebih mudah ditekan.

Diperkenalkan pada 2012, sekitar 340,000 isi rumah telah memanfaatkan Ease dan lebih $150 juta dibelanjakan untuk meningkatkan rumah sehingga 31 Mac 2024.

Ease merupakan sebahagian program nasional Sihat Menua SG yang bertujuan menyokong warga senja menua dengan baik di dalam rumah dan masyarakat.

Program tersebut dipertingkat kepada Ease 2.0 pada 2024, dengan lebih banyak ciri mesra warga emas di kawasan perumahan awam – seperti peranti penggera kebakaran rumah dan tempat duduk berlipat di ruang mandi.

Isi rumah warga Singapura yang layak untuk memasang kemudahan mesra warga emas melalui Ease 2.0 boleh mendapatkan subsidi sehingga 95 peratus daripada kos, bergantung pada jenis flat.

Menyentuh berkenaan kadar penyertaan Ease 2.0, Encik Lee berkata respons isi rumah sangat memberangsangkan, dengan sekitar 29,000 isi rumah telah memohon bagi Ease 2.0.

HDB menyatakan daripada 29,000 isi rumah yang telah membuat permohonan, 14,000 isi rumah telah memilih Ease 2.0 bersama-sama HIP.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen (AP) SMC Pioneer Encik Patrick Tay, yang turut hadir di acara itu berkata penglibatan Pioneer dalam HIP buat julung-julung kali memang dialu-alukan.

Bercakap dengan media di luar acara itu, Encik Tak berkata sebarang maklum balas daripada penduduk berkaitan HIP dan pilihan penambahbaikan yang tersedia bagi mereka juga dialu-alukan.

Penduduk blok 689 - yang terlibat dalam HIP kali ini - Encik Mohamed Shaikh Ali Bamadhaj, 71 tahun berkata beliau memang telah lama menunggu blok itu dipertingkat.

“Saya diberitahu tandas rumah akan dipertingkat, begitu juga lif. Ini baik demi keselesaan penduduk,” ujar Encik Shaikh Ali, ayah tiga anak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg