Pameran kesukaan ramai, edisi ketujuh ‘Malaysia Fest 2024’, berlangsung dari 25 Julai hingga hari ini di Singapore Expo.
Dianjurkan oleh MegaXpress International Pte Ltd, lebih 300 reruai dari dalam dan luar negara akan mempamerkan produk masing-masing.
Pameran kali ini memberikan tumpuan khas pada aspek pelancongan serta wisata dan kepelbagaian makanan dari Malaysia, umumnya dari Johor, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Perlis dengan sokongan dari Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan FAMA Malaysia.
Untuk pameran kali ini, penganjur telah bekerjasama dengan PayNet untuk menggalak dan mempromosikan penggunaan tanpa wang tunai, atau ‘cashless’.
Selain makanan dan memperkenalkan buah-buahan eksotik, pameran Malaysia Fest 2024 ini juga menjual barangan kecantikan, fesyen, keperluan rumah, cabutan bertuah, tunjuk cara memasak, pertandingan, hiburan, ceramah interaktif serta forum perdana.
Acara gah ini juga diserikan dengan persembahan dan penampilan khas selebriti terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Chacha Maembong, Fahrin Ahmad, Nabila Huda, Elly Mazlein, Jasmin Hamid, Sufi Rashid, Hady Mirza dan ramai lagi.
Penceramah terkenal, Ustazah Asma Harun, turut menjual barangannya di reruai, seperti tudung,buku agama serta minyak kasturi dan telah ke Singapore Expo pada 25 dan 26 Julai lalu.
Menurut Pengurus Komunikasi daripada MegaXpress International, Cik Reny Delfina Hamzah, pameran sebegini telah berlangsung lebih dua dekad dan tetap mendapat sokongan ramai hingga hari ini.
“Malaysia Fest 2024 kali ini menawarkan lebih banyak reruai dan gerai, dan juga artis jemputan terkemuka seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ustazah Asma Harun yang tampil untuk menjual produk mereka serta artis tempatan terkenal Hady Mirza dan pempengaruh mapan, Sujimy Mohamad.
“Selain itu, kami juga akan mempamerkan lebih ramai lagi usahawan dari Malaysia dengan lebih banyak produk terbaru dan rencam.
“Untuk pameran kali ini, kami bekerjasama dengan PayNet untuk mengenalkan Program ‘Cashless Lah Boss’ untuk menggalakkan pembayaran secara ‘cashless’, atau tanpa wang tunai, kepada pengunjung.
“Terdapat juga lebih banyak buah-buahan eksotik yang sukar didapati dalam pasaran Singapura seperti buah longan Brazil, buah goncar, buah sentul, buah remia dan pelbagai lagi,” jelas Cik Reny.
Penerima manfaat daripada pameran Malaysia Fest 2024 kali ini ialah Masjid Al-Amin dan tiada bayaran masuk ke pameran.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman Facebook (FB) MegaXpress International atau Instagram (IG) Megaxpress International.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg