Lebih 3,400 rumah telah siap dibina di Garden District, distrik kedua di Tengah, menurut kenyataan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 26 November.
Bersama dengan flat yang disiapkan di Plantation District sejak Ogos 2023, kira-kira 8,800 flat telah siap di kesemua lapan projek bina ikut tempahan (BTO) di Tengah, hampir 40 peratus daripada anggaran 23,000 flat yang ditawarkan di Tengah setakat ini.
Penduduk Tengah juga akan menikmati peningkatan dalam kemudahan dan akses apabila lebih banyak flat siap dibina.
Ia termasuk kedai, ruang masyarakat, kelab masyarakat, prasekolah, dan pelbagai pilihan pengangkutan yang disediakan berhampiran dengan rumah.
Sehingga 15 November 2024, 2,936 isi rumah atau 89 peratus daripada 3,306 flat ditempah di empat projek perumahan di Garden District telah menerima kunci mereka, kata HDB.
Garden District di Tengah yang sebesar kira-kira 80 hektar, akan menyediakan sehingga 6,500 flat baru apabila ia siap sepenuhnya.
HDB berkata sehingga kini, tujuh projek BTO di Garden District telah dilancarkan, empat projek terdiri daripada lebih 3,460 unit yang termasuk flat fleksi dua bilik, flat tiga, empat dan lima bilik, telah pun siap.
“10 kedai presint di Garden Vines @ Tengah, yang terletak lima minit jarak berjalan kaki daripada semua projek Garden District BTO yang sedang dibina, akan disiapkan secara progresif.
“Ini termasuk rumah makan dan pasar raya yang dijangka beroperasi pada suku pertama 2025, serta kedai roti dan klinik perubatan dan pergigian,” tambah HDB.
Penduduk Garden District yang ingin ke kawasan lain di Tengah, atau Bukit Batok dan Jurong East, juga akan mendapat manfaat daripada pengangkutan yang lebih terhubung, melalui tiga perkhidmatan bas, iaitu 870, 992 atau 871, yang disediakan di perhentian bas yang terletak lima minit jarak berjalan kaki dari rumah mereka.
Sejak 25 November, penduduk Tengah dapat menaiki perkhidmatan bas City Direct 674, yang menghubungkan Tengah dengan Kawasan Pusat Bandar (CBD) secara langsung.
Bagi penduduk dengan kanak-kanak yang berada di prasekolah, mereka boleh pertimbangkan prasekolah yang terletak di projek BTO Plantation Grange dan Plantation Acres, yang mula beroperasi pada Ogos dan September.
HDB berkongsi dua prasekolah di projek BTO Plantation Village dan Plantation Grove juga dijangka akan mula beroperasi pada 2025.
SHIQIN RAMADAN
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg