Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 3,400 graduan SUSS dirai dalam majlis konvokesyen terbesar

Hasil kajian SUSS dapati 60 peratus golongan belia sedang cari peluang pekerjaan baru, dengan keselamatan kewangan dan kestabilan kerjaya jadi keutamaan
Oct 8, 2025 | 6:18 PM
Lebih 3,400 graduan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) memulakan lembaran baru semasa Majlis Konvokesyen yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura.  
Lebih 3,400 graduan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) memulakan lembaran baru semasa Majlis Konvokesyen yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura.   - Foto SUSS

Lebih 3,400 graduan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) memulakan lembaran baru apabila diraikan dalam Majlis Konvokesyen 2025 .

Ini merupakan jumlah terbesar sejak universiti itu ditubuhkan pada 2005, menurut SUSS dalam satu kenyataan.

Bertemakan Membina Masa Depan Kita (Shaping Our Tomorrow), majlis yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura itu turut menyorot perjalanan yang bakal dilalui para graduan dalam alam pekerjaan yang kian berubah.

Dalam ucapannya pada hari pertama majlis itu, Presiden SUSS, Profesor Tan Tai Yong, menonjolkan keutamaan berbeza antara golongan belia dengan pihak majikan.

“Kedua-dua pihak memberi penekanan yang berbeza terhadap kemahiran dan penerapan ilmu,” jelas beliau.

Kenyataan itu berasaskan dapatan kajian terkini oleh SUSS yang melibatkan lebih 1,000 belia dan 250 majikan.

Tambahan pula, 60 peratus dalam golongan belia sedang mencari peluang pekerjaan baru, dengan keselamatan kewangan dan kestabilan kerjaya muncul sebagai keutamaan, kata SUSS.

“Ramai pekerja muda bersikap terbuka terhadap peluang baru, namun tetap mengutamakan kestabilan kerjaya,” kata beliau.

Dengan itu, beliau menggesa para graduan agar berusaha merapatkan jurang tersebut melalui komunikasi yang berkesan antara kedua-dua pihak, berfikir secara kritikal, serta mencari penyelesaian yang mampu membawa impak sebenar.

“Terjemahkan impian anda kepada tindakan yang berkesan dengan merapatkan jurang kefahaman, berkomunikasi secara terbuka, berfikir secara mendalam, dan mencari penyelesaian yang dapat memberi manfaat nyata kepada masyarakat,” ujar beliau.

Majlis sesi pertama itu disempurnakan oleh Canselor SUSS, Puan Halimah Yacob, dan turut dihadiri oleh tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.

Menurut SUSS, majlis konvokesyen kali ini turut memperkenalkan 264 graduan pertama dari Sekolah Kerja Sosial dan Pembangunan Sosial (SWSD), serta 73 pelajar perintis program Sarjana Sains dalam Pengurusan.

Dalam pada itu, SUSS juga menerima sumbangan sebanyak $14,000 daripada Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmChamSG) bagi menyokong dua anugerah konvokesyen SUSS bagi empat tahun akan datang — Anugerah Pencapaian AmChamSG dan Anugerah AmChamSG.

Mengakhiri ucapannya, Profesor Tan menyeru agar setiap graduan membawa nilai-nilai empati, tanggungjawab dan keberanian dalam menempuh masa depan.

“Pendidikan bukan sekadar tentang ilmu, tetapi tentang kebijaksanaan untuk hidup dengan makna,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg