Dengan hampir dua dekad pengalaman dalam bidang kaunseling dan kerja sosial, Encik Muhammad Abu Sufian Hanafi memahami betapa rumitnya isu rumah tangga.
Beliau percaya bahawa pasangan suami isteri boleh mendapat manfaat besar daripada kaunseling yang bukan sekadar berpandukan bimbingan agama semata-mata.
Sepanjang 17 tahun dalam bidang ini, beliau telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pendekatan kaunseling sedia ada dan berhasrat untuk memperkasakannya dengan mengambil kira konteks budaya.
Beliau merupakan salah seorang daripada tiga sarjana Melayu/Islam peringkat Doktor Falsafah (PhD), di bawah naungan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), yang akan menjalankan kajian berkaitan isu kekeluargaan, pendidikan dan sosial dalam kalangan masyarakat.
Encik Sufian menerima Biasiswa Liem Yok Bien bagi pengajiannya yang akan memberi tumpuan kepada kaunseling untuk pasangan Muslim di Singapura.
Melalui kajian ini, beliau berharap dapat menghasilkan pendekatan kaunseling yang lebih relevan dari segi budaya demi memperkukuh institusi keluarga Melayu/Islam dan memperkasa masyarakat secara keseluruhan.
Minat Encik Sufian dalam bidang kaunseling bermula sejurus selepas beliau menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda dalam Kerja Sosial.
Sebagai seorang pekerja sosial muda yang bertugas di pusat khidmat keluarga, beliau mula terdedah kepada pelbagai kes berkaitan hubungan kekeluargaan dan rumah tangga.
Melihat sendiri perubahan positif dalam kehidupan mereka yang dibantu, beliau berasa bersyukur kerana diberi peluang memainkan peranan dalam proses pemulihan tersebut.
Sepanjang kerjayanya, Encik Sufian telah banyak memberikan khidmat kepada pasangan Muslim yang menghadapi pelbagai cabaran rumah tangga.
Beliau mendapati bahawa keperluan pasangan Muslim amat unik kerana pengaruh agama dalam gaya hidup dan struktur keluarga mereka.
Inilah yang mendorong beliau untuk meneliti secara mendalam fenomena ini dan menghasilkan bahan yang berguna buat kaunselor generasi akan datang.
“Pasangan Muslim lebih cenderung mendapatkan khidmat kaunselor Muslim kerana mereka mahukan seseorang yang benar-benar memahami kepercayaan dan latar budaya mereka - bukan sekadar mendengar, tetapi juga menjiwai,” kata kauselor berusia 41 tahun itu.
Beliau juga menekankan banyak pasangan bukan sahaja mencari sokongan emosi, tetapi juga bimbingan kerohanian dalam menghadapi cabaran hidup moden.
Oleh itu, menurutnya para kaunselor perlu mampu mengimbangi kededua aspek tersebut secara beretika dan berkesan – sesuatu yang masih kurang diberikan perhatian dalam kaunseling arus perdana.
Beliau melihat bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura kini memiliki tahap pendidikan yang tinggi, dan ini seharusnya disusuli dengan usaha memperkukuh kecerdasan emosi dan sosial.
Menurutnya, aspek ini penting untuk membina hubungan yang sihat dan harmoni dalam sesebuah keluarga.
Sebagai individu pertama dalam keluarganya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, Encik Sufian mahu menjadi inspirasi kepada tiga anaknya.
Beliau ingin membina keyakinan dalam diri mereka untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi, sambil menyumbang ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat.
Dalam perjalanan akademiknya, beliau amat menghargai pengorbanan dan sokongan isteri yang sanggup memikul tanggungjawab keluarga apabila beliau sibuk dengan urusan pengajian.
Begitu juga restu ibu bapa, yang menurutnya, menjadi pembuka jalan kepada keberkatan dalam menuntut ilmu.
Kepada golongan karyawan, terutamanya dari masyarakat yang kurang diwakili, Encik Sufian menasihati agar tidak mudah berputus asa.
“Jangan takut untuk mencipta laluan sendiri. Berfikirlah secara kreatif, ikhlaskan niat, dan sumbangan anda kepada masyarakat pasti akan meninggalkan kesan,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg