Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 34,000 tan sisa elektronik dikumpul dalam 4 tahun

Oct 12, 2025 | 11:42 PM
Hampir 10,000 tan sisa elektronik telah dikumpul setakat 2025, iaitu peningkatan 60 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Hampir 10,000 tan sisa elektronik telah dikumpul setakat 2025, iaitu peningkatan 60 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024. - Foto ST

Lebih 34,000 tan sisa elektronik telah dikumpul di seluruh Singapura sejak 2021, dan bagi memudahkan rakyat mengitar semula, semua balai rakyat akan menyediakan tong sisa elektronik menjelang Jun 2026.

Hampir 10,000 tan sisa elektronik telah dikumpul setakat 2025, iaitu peningkatan 60 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024, menurut pengendali program, Alba E-Waste Smart Recycling, pada 12 Oktober.

Apabila program kitar semula sisa elektronik – termasuk bateri lama, komputer riba dan perkakas besar – dilancarkan pada 2021, jumlah kutipan hingga awal 2022 mencecah 3,500 tan.

Bagi memudahkan penduduk mencari tempat kutipan sisa elektronik, aplikasi Alba Step Up telah diperbaharui dengan ciri tambahan untuk mengesan tong terdekat, selain perubahan mesra pengguna lain dan ganjaran bagi kegiatan kitar semula.

Peningkatan kepada program kitar semula sisa elektronik ini diumumkan oleh Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran, Dr Janil Puthucheary, semasa acara sempena Hari Sisa Elektronik Antarabangsa pada 12 Oktober.

Apabila semua balai rakyat dan kelab masyarakat mempunyai tong sisa elektronik menjelang pertengahan 2026, jumlah tempat kutipan di serata negara akan menjadi 1,057. 

Kini terdapat sekitar 1,000 tempat sedemikian, meningkat daripada sekitar 870 pada 2024, lapor The Straits Times (ST).

Meskipun Singapura mencatatkan peningkatan dalam jumlah kutipan sisa elektronik, Ketua Eksekutif Alba E-Waste, Encik Jakob Lambsdorff, tidak mahu syarikatnya dan orang ramai berpuas hati dengan pencapaian setakat ini.

Kadar kitar semula isi rumah di Singapura pada 2024 jatuh ke paras terendah iaitu 11 peratus.

Ini antaranya disebabkan oleh budaya kitar semula yang lemah, pencemaran dalam tong biru kitar semula, dan beberapa cabaran perniagaan.

Dengan Alba menambah jumlah tempat kutipan sisa elektronik, Encik Lambsdorff berharap kadar kitar semula akan terus meningkat. 

Pengendali itu juga bercadang untuk meletakkan tong di kawasan perumahan.

“Masih jauh perjalanan yang perlu kita tempuhi, dan kita mahu menjadikannya lebih mudah bagi orang ramai… kami percaya masih banyak ruang untuk meningkatkan kadar kutipan,” katanya.

Pada 2021, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melantik Alba untuk mengutip sisa elektronik pengguna di seluruh Singapura dan menghantarnya untuk dikitar semula bagi pihak pengeluar.

Program ini dibiayai oleh syarikat setempat yang membekal, mengeluarkan dan mengimport peralatan elektronik di sini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg