Kadar kitar semula domestik pada 2024 jatuh ke paras terendah iaitu 11 peratus, berbanding 12 peratus pada 2023 dan 2022.
Ini berlaku walaupun ada inisiatif seperti pengedaran kotak kitar semula kepada semua rumah pada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memaklumkan kepada ST bahawa pengurangan kitar semula kertas dan kadbod adalah punca utama penurunan ini.
Kadar kitar semula domestik 2024 diumumkan oleh NEA pada 23 Julai bersama perangkaan sisa tahunan, menunjukkan kemerosotan pada kadar kitar semula keseluruhan Singapura.
Pada 2024, kadar kitar semula keseluruhan Singapura adalah 50 peratus, menurun daripada 52 peratus pada 2023. Kadar pada 2014 pula ialah 60 peratus.
Kadar keseluruhan ini merangkumi sisa sektor domestik, seperti isi rumah, kedai, stesen minyak, pusat penjaja, institusi pendidikan, dan tempat ibadah, serta sektor bukan domestik yang meliputi premis komersial dan industri.
NEA juga berkata penurunan kadar kitar semula keseluruhan disebabkan oleh pengurangan sisa dari kerja runtuhan bangunan, batu buangan yang diasingkan daripada besi, dan pemprosesan kayu yang terhad pada 2024.
Kemerosotan banyak dalam kitar semula kertas dan kadbod, dengan kadar kitar semula kertas jatuh dari 52 peratus pada 2018 kepada 32 peratus pada 2024, turut menyumbang kepada kadar kitar semula yang lebih rendah.
Jumlah sisa kertas dan kadbod yang dihasilkan pada 2024 mencapai 1.27 juta tan, tertinggi dalam dekad lalu, akibat peningkatan e-dagang dan pandemik Covid-19.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, berkata kos pengumpulan dan pengangkutan yang lebih tinggi, serta harga bahan api yang tidak menentu, mengurangkan insentif untuk kitar semula.
Pencemaran kekal menjadi cabaran besar bagi kitar semula domestik di Singapura.
Apabila bahan yang tidak boleh dikitar semula seperti makanan dibuang ke dalam tong kitar semula campuran, ia mencemarkan keseluruhan bahan tersebut dan menyebabkan ia terpaksa dibuang.
Kadar pencemaran di tong tersebut dianggarkan sekitar 40 peratus.
Dr Janil mengumumkan pemerintah akan mempertingkatkan proses kitar semula kertas dengan kerjasama industri bagi mengatasi ekonomi kitar semula yang lemah dan memudahkan kitar semula kadbod besar.
NEA juga telah mengeluarkan garis panduan untuk mengurangkan sisa pembungkusan dalam e-dagang dan merancang infrastruktur pemisahan kitar semula kertas di kawasan perumahan.
Usaha menurunkan pencemaran dalam tong kitar semula campuran turut dijalankan dengan pemasangan mesin kitar semula kertas di kawasan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), yang memberi insentif kepada penduduk.
Kitar semula sisa makanan pada 2024 pula meningkat kepada 18 peratus, berbanding 13 peratus pada 2014.
Keperluan pelaporan baru untuk pengeluar sisa makanan besar bermula Mac 2024, dengan pengeluar di bangunan baru wajib memisahkan dan melaporkan sisa mereka.
NEA akan memperluas keperluan ini mulai 2027, dengan rawatan sisa makanan di Tuas Nexus untuk menghasilkan biogas.
Perangkaan sisa 2024 dikeluarkan sempena pembukaan kemudahan Mottainai Food Tech di Jurong. Syarikat pemula Singapura ini mengitar semula sisa makanan dan ia mengitar semula 100 tan sisa makanan setiap tahun.
Dr Janil memuji usaha syarikat ini dan menyeru individu dan perniagaan untuk mengurangkan pembaziran dengan langkah mudah, seperti mengelakkan penggunaan sekali pakai dan mengitar semula dengan betul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg