Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 370 pembantu rumah sertai program perintis jagaan, demensia
Lebih 370 pembantu rumah sertai program perintis jagaan, demensia
Program selaras dengan landskap keperluan jagaan keluarga kian berubah di S’pura
Lebih 370 pembantu rumah sertai program perintis jagaan, demensia
Lebih 370 pembantu rumah migran (MDW) telah menyertai program latihan perintis berkaitan keperluan penjagaan sejak 2025, selaras dengan landskap keperluan penjagaan keluarga yang kian berubah di Singapura.
Program yang diperkenalkan Pusat bagi Pekerja Domestik (CDE) itu merangkumi topik mengenai penjagaan demensia, golongan warga emas, tindak balas kecemasan serta penjagaan bayi dan kanak-kanak.
Pengarah Segmen Pekerja Migran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Michael Lim berkata, pihaknya mengiktiraf peranan penting pembantu rumah dalam membantu keluarga menjaga warga emas, kanak-kanak serta anggota keluarga yang memerlukan penjagaan di rumah.
“Sepanjang sedekad lalu, satu perkara yang jelas ialah hubungan yang kukuh antara majikan dengan pembantu rumah migran mampu membawa perubahan besar.
“Hubungan ini dibina atas asas komunikasi, kepercayaan dan yang lebih penting, rasa tanggungjawab bersama.
“Apabila wujud persefahaman antara kedua-dua pihak, tempat kerja menjadi persekitaran yang berlandaskan maruah dan saling menghormati,” katanya ketika berucap sempena sambutan ulang tahun ke-10 CDE pada 21 Jun.
Majlis yang berlangsung di Resorts World Sentosa itu dihadiri Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, sebagai tetamu terhormat, selain turut disertai lebih 600 pembantu rumah migran, majikan serta rakan industri.
Antara Julai 2025 dengan Januari 2026, seramai 88 pembantu rumah menyertai Program Penjagaan Demensia yang memberi pengetahuan asas serta strategi praktikal bagi membantu pesakit demensia di rumah.
Selain itu, Program Penjagaan Warga Emas melatih 139 pembantu rumah bagi memperkukuh keupayaan mereka, selain turut merangkumi topik mengenai penjagaan diri menerusi lapan sesi yang diadakan dari September 2025 hingga Mei lalu.
Bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan pula, seramai 117 pekerja dilatih dalam kemahiran pertolongan cemas menerusi Kursus Tindak Balas Pertama Penjaga.
Seramai 33 pekerja lain turut menjalani latihan penjagaan bayi dan kanak-kanak.
Secara keseluruhan, seramai 377 MDW telah mengikuti empat program perintis itu sejak 2025.
Mengalu-alukan usaha CDE dalam menyediakan sokongan tersebut, Encik Dinesh berkata:
“Kami memahami bahawa bukan mudah untuk berada jauh dari tanah air, terpisah daripada keluarga, anak-anak dan ibu bapa anda.
“Namun begitu, anda tetap menjaga insan tersayang kami seolah-olah mereka keluarga anda sendiri.
“Walaupun anda berjauhan daripada keluarga dan tanah air, anda tidak bersendirian di Singapura.
“Bersama-sama, kita boleh membina sebuah masyarakat yang memastikan para pembantu rumah migran dijaga dengan baik dan dihargai atas sumbangan yang mereka berikan kepada keluarga-keluarga di negara ini.”
Menurut CDE, program berkenaan dibuka kepada semua pembantu rumah migran dan maklumat lanjut akan diumumkan menerusi platform media sosial organisasi itu kelak.
Yuran kecil akan dikenakan bagi memastikan ia kekal dimampui dan mudah diakses.
Bagi memudahkan akses, CDE juga akan berpindah dari Pasir Panjang ke premis baru di Rex House yang terletak di 73 Bukit Timah Road.
Operasi di lokasi baru itu akan bermula pada 3 Ogos ini.
CDE ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sejak 2016 bagi membantu pekerja domestik, baik tempatan mahupun asing, tangani cabaran berkaitan pekerjaan yang mungkin mereka hadapi.
Pusat baru itu, kata CDE, mampu menampung sehingga 3,000 sesi temuduga dalam sebulan bagi membantu pembantu rumah asing yang pertama kali bekerja di Singapura dalam tempoh enam bulan pertama pekerjaan mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran baru.
Semasa pandemik Covid-19, CDE menganjurkan kegiatan dalam talian bagi memperkukuh hubungan antara pembantu rumah migran dengan majikan mereka, sambil menggesa para majikan agar mengiktiraf sumbangan dan usaha pembantu ketika tempoh mencabar tersebut.
Dalam tempoh itu, CDE juga menyediakan tapak rekreasi sementara bagi menawarkan ruang yang selamat kepada pembantu rumah migran untuk meluangkan hari rehat mereka secara bermakna.
CDE turut mempertingkatkan usahanya dalam mengendalikan peningkatan jumlah panggilan yang diterima menerusi talian bantuan 24 jamnya.
“Sepanjang tempoh 10 tahun lalu, CDE terus menyesuaikan sokongannya mengikut keperluan semasa, termasuk memastikan masyarakat pembantu rumah migran kekal berhubung ketika pandemik Covid-19, memperluaskan saluran bantuan serta memperkenalkan program baru bagi memenuhi keperluan penjagaan yang semakin berkembang.
“Menjelang dekad seterusnya, CDE akan terus membina kerjasama yang lebih erat dengan majikan, pembantu rumah migran, agensi pemerintah dan pihak berkepentingan masyarakat bagi memperkukuh sokongan kepada golongan tersebut,” kata CDE.
Semasa acara tersebut, CDE turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah menyumbang kepada usaha memperkukuh sokongan terhadap masyarakat pembantu rumah migran serta memupuk hubungan harmoni antara majikan dengan pekerja sepanjang sedekad lalu.
Antara penerima anugerah itu terdiri daripada Palang Merah Singapura, The Salvation Army, DBS Bank, Silver Ribbon (Singapore), Temasek Foundation serta Pengerusi Pengasas CDE, Encik Yeo Guat Kwang.
