Sebanyak 414 isi rumah flat sewa yang tinggal di Blok 29 dan 31 Lorong 5 Toa Payoh telah berpindah ke rumah baru, berikutan langkah penempatan semula pemerintah yang bermula pada 2021, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 21 Januari.
Langkah penempatan semula itu, yang dikendalikan oleh Jabatan Perumahan Sewa HDB dengan sokongan daripada agensi perkhidmatan sosial dan rakan kongsi masyarakat, adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah untuk membangunkan semula estet perumahan lama.
Tapak dua blok sewa Toa Payoh dizonkan untuk kegunaan kediaman di bawah pelan induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Dalam satu catatan Facebook pada 21 Januari, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata kira-kira 90 peratus daripada isi rumah yang terjejas telah diperuntukkan flat sewa baru.
“Untuk membantu isi rumah dengan lebih baik dalam proses pemindahan mereka, HDB telah menyediakan kaunter pertanyaan di tapak tersebut berikutan pengumuman itu serta sebelum peringkat pemilihan flat seterusnya, untuk menjelaskan pilihan yang ada kepada penyewa serta menjawab soalan mereka.
“Pegawai HDB juga telah melawat flat penyewa untuk memberikan mereka keyakinan tentang proses tersebut,” kata Dr Faishal.
Menurut HDB, kira-kira 50 peratus daripada isi rumah yang terjejas telah memilih untuk berpindah ke flat sewa sedia ada di Toa Payoh.
Sementara itu, sebanyak 22 peratus berpindah ke flat sewa baru di Bidadari, 20 peratus berpindah ke flat sewa di bandar lain manakala baki 10 peratus tidak lagi memerlukan flat sewa daripada HDB.
Di bawah pelaksanaan pemindahan itu, isi rumah flat sewa boleh memilih untuk membeli flat baru daripada HDB dan mendapat keutamaan apabila mereka membeli flat baru di bawah jualan Bina Ikut Tempahan (BTO) atau Penjualan Baki Flat (SBF).
Mereka juga boleh memilih untuk mencari rumah lain atau terus menyewa flat daripada HDB di mana mereka diberi keutamaan untuk memilih flat sewa ganti di kawasan Toa Payoh, Bidadari atau bandar lain yang tersenarai.
“Tahun demi tahun, HDB telah membuat penambahbaikan secara progresif pada flat sewa, dengan mempertingkatkan reka bentuknya dan menyediakan persekitaran hidup yang lebih baik untuk penyewa.
“Kira-kira 1,400 flat sewa awam sedang dalam proses pembinaan dan akan siap dalam tempoh lima tahun akan datang. Kira-kira satu pertiga akan berada di blok bersepadu, yang terdiri daripada flat yang boleh dibeli dan disewa, manakala bakinya akan berada di blok yang khusus untuk flat sewa awam,” kata Dr Faishal.
Untuk menyediakan sokongan kewangan dan membantu penyewa flat sewa di Toa Payoh membiayai kos pemindahan, setiap isi rumah sewa menerima $2,500 dalam elaun perumahan semula. Penyewa yang berpindah ke bandar yang lebih jauh juga menerima tambahan $2,500 dalam kredit sewa.
Bagi penyewa yang bersedia untuk membeli flat pertama mereka, geran pemindahan $15,000 diberikan untuk menyokong mereka dalam perjalanan pemilikan rumah mereka. Ini adalah tambahan kepada Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) sehingga $80,000 untuk pemohon yang layak.
HDB berkata langkah pemindahan itu, yang berlangsung dari 2021 hingga 2023, memerlukan perancangan terperinci dan penyelarasan rapat dalam kalangan beberapa agensi perkhidmatan awam dan sosial.
“Pada awal 2021, sebelum permulaan penempatan semula, HDB bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi masyarakat untuk lebih memahami keperluan dan kebimbangan penyewa serta isu-isu yang mungkin timbul semasa proses penempatan semula.
“Pada Julai 2021, pegawai HDB telah pergi ke rumah penyewa dan menerangkan kepada mereka pelbagai pilihan dan faedah penempatan semula bagi mereka,” kata HDB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg