Edisi ketiga ‘Semarak Seni Silat Singapura’ (SSSS) 2026 menghimpunkan 25 pertubuhan silat dalam pertandingan silat tradisional terbesar di Singapura, sekali gus menggandakan jumlah penyertaan kepada lebih 400 pesilat.

Ini berbanding penyertaan lebih 200 pesilat daripada 20 pertubuhan silat pada 2025.

Dilancarkan pada 2023, pertandingan itu bertujuan melestari dan meraikan seni silat tradisional Melayu, di samping mengeratkan hubungan antara pelbagai perguruan silat dan generasi bagi memastikan warisan budaya yang terus diamalkan ini kekal terpelihara.

Berlangsung selama dua hari dari 28 hingga 29 November di Kelab Masyarakat Yuhua, pertandingan tersebut dianjurkan bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Yuhua dan Majlis Pentadbiran Seligi Tunggal.

Perkumpulan Silat Seligi Tunggal Nusantara diketuai Guru Utama, Encik Khaizuran Ahmad.

Majlis penyampaian pingat pada 29 November turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi Yuhua, di Boon Lay.

Dalam pada itu, pertandingan yang dibuka secara percuma kepada orang ramai itu mempertandingkan sebanyak 38 kategori merangkumi lima disiplin utama.

Disiplin tersebut merangkumi Solo Bebas Asli yang mempamerkan gerakan tangan kosong dan senjata tradisional mengikut aliran perguruan masing-masing, dan Ganda Tempur Asli yang menampilkan aksi pertarungan berpasangan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Selain itu, kategori Massal Bebas Asli menghimpunkan kumpulan seramai tiga hingga lapan orang dengan iringan muzik tradisional secara langsung atau rakaman bersama elemen teater, manakala Silat Pengantin menonjolkan kehalusan adab penghormatan kepada raja sehari, dan Solo Kreatif pula menggabungkan unsur tradisional serta kontemporari.

Para pesilat semuda lima tahun dalam kategori ‘Dini’ sehingga peserta veteran dalam kategori Terbuka bagi pesilat 36 tahun ke atas, juga beraksi dalam pertandingan mengenakan busana tradisional lengkap termasuk tanjak, bengkong, dan samping, serta penggunaan senjata gelanggang tradisional.

Selain saingan di gelanggang, acara tersebut turut diserikan dengan istiadat Mandat Guru-Guru dan Mandat Keris di samping persembahan daripada kumpulan Pencak Pokolan Seligi Johor dan Seligi Tunggal Singapura.