Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 50 program budaya, seni rai pembukaan semula Taman Warisan Melayu
Lebih 50 program budaya, seni rai pembukaan semula Taman Warisan Melayu
Pesta 9 hari tawar pelbagai program dengan pengalaman warisan segar, inklusif
Lebih 50 program budaya, seni rai pembukaan semula Taman Warisan Melayu
Para pengunjung ke Taman Warisan Melayu (TWM), yang kini berwajah baru, bakal disajikan dengan lebih 50 program menarik, termasuk persembahan, pameran, dan bengkel.
Ini bersempena pesta sembilan hari bagi meraikan pembukaan semula pusat itu yang terletak di Istana Kampong Gelam kepada orang ramai pada 25 April.
Acara, ‘Pesta Pecah Panggung, Melangkaui Sempadan’ itu akan berlangsung dari 25 April hingga 3 Mei.
Ia akan dibahagikan kepada dua hujung minggu bertema yang sejajar dengan naratif baru TWM, iaitu ‘Dari Rantau ke Rumah’.
Hujung minggu pertama bertema, ‘Meneroka Dunia Melayu’, akan mempamerkan kepelbagaian serta warisan bersama alam Melayu.
Hujung minggu kedua pula bertema, ‘Rumah buat Masyarakat Kita’, mengupas secara mendalam makna identiti Melayu di Singapura.
Pesta tersebut merupakan sambutan budaya bagi menonjolkan kepelbagaian masyarakat Melayu yang telah membentuk sejarah kawasan Kampong Gelam di Singapura, kata TWM dan Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam kenyataan media.
Ia turut meraikan tradisi yang terus hidup serta kepelbagaian naratif perjalanan masyarakat subetnik Melayu.
Masyarakat ini telah membina dan memperkayakan landskap budaya Kampong Gelam.
Ia sekali gus menggambarkan bagaimana warisan bersifat dinamik dan melampaui sempadan generasi, di samping memuliakan adat resam turun-temurun, tambah TWM dan NHB.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) di sela-sela sesi lawatan pratonton pada 22 April, Pengarah Pesta, Encik Riduan Zalani, menyifatkan pesta tersebut sebagai pengalaman menyeluruh.
Pengalaman ini membolehkan pengunjung menghayati bagaimana identiti Melayu dibentuk oleh peredaran zaman, pengaruh sejagat dan kepelbagaian budaya.
“Kami bertungkus lumus memberikan pengalaman yang membolehkan setiap generasi, lapisan masyarakat dan kumpulan subetnik meraikan kepelbagaian masing-masing,” ujar beliau.
“Di sebalik kepelbagaian itu, kami mahu pengunjung menyedari bahawa ia sebenarnya merupakan satu kekuatan yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat,” jelas beliau, yang juga Pengarah Artistik, Nadi Singapura.
Beliau juga melahirkan harapan agar pengunjung dapat mendalami konsep, ‘Melangkaui Sempadan’.
Konsep itu memperlihatkan bagaimana setiap kumpulan subetnik dan cabang kesenian Melayu berubah dengan menerapkan pengaruh sejagat serta menyesuaikan diri dengan arus zaman.
Beliau menampilkan beberapa pameran, persembahan, bengkel dan kegiatan yang akan dijalankan dari 25 April hingga 3 Mei bagi mencapai matlamat itu.
Antaranya ialah kereta sorong bertema yang menampilkan budaya dan warisan kelompok subetnik, termasuk Jawa, Bugis, Orang Laut dan selainnya.
Ia hasil usaha sekitar 300 rakan masyarakat.
Selain itu, beliau turut melibatkan tokoh-tokoh masyarakat Melayu Singapura serta perniagaan warisan di Kampong Gelam, yang merangkumi pengusaha veteran mahupun yang baru.
Sesi pratonton media itu turut menampilkan persembahan, ‘Tari Grebeg Sabrang’, oleh Universitas Negeri Malang, Indonesia.
Persembahan itu adalah antara pengisian utama, ‘Wajah & Bayang: Paparan Seni Nusantara’, sebuah pementasan hasil kerjasama yang menyatukan anak seni dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Pihak media turut menyaksikan persembahan silat daripada pelbagai perguruan di Singapura, yang dijadual berlangsung di pesta itu.
Acara ‘Santai Sampai Pagi’ pada 2 hingga 3 Mei, yang merupakan sesi bermalam pertama anjuran TWM, juga menjadi tumpuan.
Pengunjung berpeluang menyertai kegiatan amali, menonton tayangan filem dan melawat galeri pada larut malam.
Kemasukan ke pesta ini percuma, namun beberapa kegiatan memerlukan tiket yang boleh dibayar menggunakan Pas Budaya SG.
Pesta tersebut akan menyemarakkan pembukaan semula TWM, yang akan menampilkan enam galeri tetap yang mempamerkan 279 artifak.
Antara yang ditampilkan dalam galeri tersebut adalah gambaran yang lebih luas tentang kumpulan subetnik Melayu, mengetengahkan sumbangan tokoh perintis yang terkenal serta yang baru dengan lebih mendalam, serta memberi penekanan yang lebih besar terhadap peranan dan pelbagai sumbangan wanita Melayu.
Buat julung-julung kalinya, karya seni tempahan khas oleh artis Melayu tempatan turut dipamerkan, memberikan tafsiran kontemporari yang memperluas naratif serta mempersembahkan warisan dari sudut pandang yang lebih segar.
“Jadi saya syorkan semua supaya datang dengan hati dan minda yang terbuka. Sambil para pengunjung terhibur oleh kegiatan yang disajikan, saya juga berharap mereka juga terdorong menjadi pemelihara warisan kita dalam cara unik peribadi,” ujar Encik Riduan.
SEKILAS PEMBUKAAN SEMULA TAMAN WARISAN MELAYU
Enam Galeri Kekal Yang Baharu
Galeri 1: ‘We are Playing Relatives! – meneroka tema pembentukan hubungan kekeluargaan di Singapura dan Riau-Lingga pada abad ke-18 dan ke-19, seperti melalui perkahwinan, bahasa dan amalan tradisional.
Galeri 2: ‘An Era of Changing Kings’ – meneliti wajah kompleks Semenanjung Melayu dan Singapura pada awal abad ke-20, terutama persaingan antara kalangan kerabat diraja Melayu, pihak pemerintah kolonial British, serta golongan kelas menengah bandar Melayu yang baharu.
Galeri 3: ‘Journeying to Settling’ – meneroka pengalaman peralihan budaya dalam proses penghijrahan. Ia menampilkan topi seperti Hajj sebagai pemacu peralihan di Singapura serta peranan Kampong Gelam sebagai hab perdagangan.
Galeri 4: ‘City of Dreams: Making A Mark’ - menelusuri perubahan keterlihatan dan peranan wanita Melayu pada era 1950-an dan 1960-an, terutama dalam filem dan media.
Galeri 5: ‘Our Living Heritage’ – meneroka bagaimana tradisi, ingatan dan nilai Melayu diwariskan, disesuaikan dan diteruskan dalam keluarga serta kehidupan seharian.
Galeri 6: ‘We+ Heritage’ – menggalakkan pengunjung untuk memikirkan masa depan identiti Melayu di Singapura. Para pengunjung boleh berinteraksi dengan tiga elemen berbeza.
Pesta Pembukaan Semula (25 April hingga 3 Mei)
– Perarakan Pecah Panggung lebih 300 rakan komuniti yang akan mempersembahkan gerai pelbagai tema serta persembahan kebudayaan
– ‘Kota Impian: Modern Women’ – mengetengahkan wanita Melayu perintis Singapura dalam sebuah produksi teater muzikal, diterbitkan dan dipersembahkan oleh barisan pelakon wanita sepenuhnya
– ‘Wajah & Bayang: Persembahan Seni Nusantara’ sebuah persembahan khas yang dikurasi oleh pasukan TWM, menghimpunkan pelbagai genre muzik dan gaya seni dari rantau ini, termasuk artis dari Indonesia, Malaysia dan Singapura
– ‘Santai Sampai Pagi: Bermalam di TWM’ – acara bermalam pertama yang dianjurkan oleh Pusat itu. Pengunjung boleh menikmati tayangan filem, bengkel tarian, karaoke, pertandingan pakaian tidur, serta pelbagai lagi aktiviti menarik.
