Di sebalik setiap pameran di Taman Warisan Melayu (TWM), wujud satu proses yang jarang dilihat oleh pengunjung.

Perbincangan, rundingan dan penciptaan bersama antara artis dengan institusi yang berlaku di belakang tabir sering kali terlepas pandang.

Bagi Penolong Kurator Taman Warisan Melayu (TWM), Cik Syafiqah Jaaffar, 34 tahun, peranannya bukan sekadar memilih karya untuk dipamerkan, malah membentuk naratif yang menghubungkan warisan dengan realiti masyarakat hari ini.

Lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata pendekatan tugasnya masa kini menuntut pemikiran lebih terbuka dan berlandaskan kerjasama dengan pihak lain, terutama dengan pembukaan semula TWM yang diberi nafas baharu pada 25 April ini.

Namun, minat terhadap warisan dan seni bukan sesuatu yang datang secara tiba-tiba.

TWM dibuka semula pada 25 April, selepas satu proses membaik pulih bangunan yang menyimpan khazanah Melayu itu.

TWM, awalnya, ditutup sejak 30 Oktober 2022 untuk kerja baik pulih, ubah elok, dan pembangunan semula secara menyeluruh.

Penutupan itu bertujuan menaik taraf kemudahan bangunan bersejarah tersebut serta memperbaharui kandungan pamerannya.

“Bagi kami di TWM, kita bekerjasama dengan para seniman dalam satu proses ‘co-creation’ atau ciptaan bersama.

“Dari situ, kita menghasilkan naratif yang lebih terangkum dengan suara yang lebih pelbagai antara institusi, artis dengan pengunjung yang datang,” jelas beliau.

Menurutnya, peranan beliau sebagai kurator hari ini tidak lagi terhad kepada menyusun karya dalam ruang galeri.

Ia kini melibatkan usaha membina naratif yang merangkumi pelbagai perspektif daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Dalam satu episod podcast NoTapis baru-baru ini, Cik Syafiqah, berkongsi pendekatan menjadikan pameran bukan sekadar ruang paparan bahan pameran, sebaliknya satu wadah dialog yang lebih bersifat terangkum.

Dalam melaksanakan peranan tersebut, tugas harian seorang kurator juga sering kali lebih sulit daripada yang disangka.

Sebagai seorang kurator beliau perlu mengimbangi kebebasan kreatif artis dengan kekangan institusi seperti ruang, masa dan keperluan pameran.

Selain pameran, Cik Syafiqah berkata TWM juga berusaha menghidupkan warisan melalui pelbagai program seperti sesi panel, bengkel dan kegiatan interaktif yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara lebih mendalam dengan seni dan sejarah.

Pendekatan itu bertujuan menjadikan warisan sesuatu yang boleh dialami dan difahami, bukan sekadar dilihat.

Bagi Cik Syafiqah, antara perkara yang sering disalah faham tentang institusi warisan adalah tanggapan ia sekadar ruang untuk memaparkan artifak lama.

“Fungsi TWM sebenarnya lebih daripada sekadar sebuah muzium.

“Kami membayangkannya di masa depan sebagai satu pusat di mana kegiatan budaya, seni dan warisan ada ruang untuk dilestarikan dengan cara yang pelbagai,” katanya.

“Jika kita tidak kenal sejarah kita, kenal siapa diri kita, bagaimana kita dapat maju?

“Kalau kita ada krisis identiti, ini boleh menjadi panduan kami,” ujarnya.

Dengan pembukaan semula TWM, tumpuan muzium itu kini bukan sahaja pada pameran, malah, bagaimana institusi tersebut dapat terus melibatkan masyarakat dalam jangka panjang.

Selain mendekati seniman dalam pameran di TWM, Cik Syafiqah berharap anak-anak seni lain terpanggil untuk menyumbang kepada naratif MHC dalam masa akan datang.

Dalam usaha itu, beliau berharap warisan tidak hanya dilihat sebagai sesuatu dari masa lalu, tetapi sebagai sesuatu yang terus hidup dan berkembang bersama masyarakat.

“Selain kegiatan yang diadakan pada pembukaan rasmi TWM nanti, kami akan teruskan siri program yang kami pernah adakan sebelum ini.

“Antaranya, termasuk siri ceramah tentang topik khas dan juga persembahan seni yang pelbagai seperti tarian atau kegiatan teater.

“Pada masa depan juga, kami akan membuka sesi pembelajaran asas muzium yang anda nanti-nantikan,” katanya.