Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 60 hilang selepas tanah runtuh di Nepal hanyutkan 2 bas ke sungai

Jul 12, 2024 | 6:26 PM
Kemalangan disebabkan tanah runtuh berlaku di lebuh raya Narayanghat-Mugling, kira-kira 100 kilometer di kawasan barat ibu negara Kathmandu.
Kemalangan disebabkan tanah runtuh berlaku di lebuh raya Narayanghat-Mugling, kira-kira 100 kilometer di kawasan barat ibu negara Kathmandu. - Foto DRJAIN21/X

KATHMANDU – Lebih 60 orang dilaporkan hilang di Nepal selepas satu kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat menghanyutkan dua bas dari lebuh raya ke sungai pada 12 Julai, menurut pihak berkuasa.

Puluhan anggota dan pegawai pasukan mencari dan menyelamat dikerahkan untuk mencari mangsa yang terselamat dalam kemalangan di daerah tengah Chitwan, kata pegawai daerah, Encik Khimananda Bhusal kepada AFP.

Encik Bhusal berkata dua bas berkenaan membawa sekurang-kurangnya 66 orang, tetapi tiga penumpang berjaya menyelamatkan diri sebelum bas itu jatuh ke dalam sungai.

Ketiga-tiga penumpang itu kini dirawat di hospital.

“Kami tidak pasti jumlah (sebenar mangsa) kerana bas itu mungkin mengambil penumpang lain di jalan raya.

“Air sungai semakin meningkat, tetapi sehingga kini masih belum ada mangsa ditemui,” katanya.

Kemalangan itu berlaku di lebuh raya Narayanghat-Mugling, kira-kira 100 kilometer di kawasan barat ibu negara Kathmandu, pada 3.30 pagi waktu tempatan (5.45 pagi waktu Singapura).

Sebuah bas sedang bergerak dari ibu kota Kathmandu menuju ke Gaur di daerah Rautahat di selatan Nepal, manakala sebuah lagi bas dalam perjalanan ke Kathmandu dari selatan Birgunj.

Dalam satu kemalangan berasingan di jalan raya sama, seorang pemandu maut selepas satu batu besar melanggar basnya.

Beliau meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Perdana Menteri Nepal, Encik Pushpa Kamal Dahal, dalam satu catatan di wadah media sosial X, meluahkan rasa sedih dan simpati dengan kemalangan itu.

“Saya mengarahkan semua agensi pemerintah, termasuk pentadbiran dalam negara, untuk mencari dan menyelamatkan penumpang,” katanya.

Kemalangan maut adalah perkara yang agak sering berlaku di Himalaya disebabkan keadaan jalannya yang teruk, kenderaan digunakan tidak dijaga dengan baik serta pemanduan yang cuai.

Hampir 2,400 orang kehilangan nyawa di jalan raya Nepal sepanjang 12 bulan hingga April, menurut perangkaan pemerintah Nepal.

Perjalanan menggunakan jalan raya menjadi lebih berisiko ketika musim monsun tahunan kerana hujan menyebabkan tanah runtuh dan banjir di serata tempat di negara pergunungan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg