Lebih 600 anggota pelbagai agensi menyertai latihan kesediaan kecemasan pada 11 dan 12 November di stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Woodlands North.

Latihan Exercise Quicksilver 12 selama dua hari itu dijalankan bagi menilai kesediaan operasi, keupayaan tindak balas serta penyelarasan antara agensi dalam mengurus insiden keselamatan awam di stesen berkenaan.

Ia dilaksanakan menjelang pembukaan RTS Link, kata polis dalam satu kenyataan pada 14 November.

RTS Link, yang mampu membawa lebih 600 penumpang dalam setiap kereta api, akan menghubungkan stesen Woodlands North di Singapura dengan Bukit Chagar di Johor Bahru, dengan tempoh perjalanan sekitar lima minit.

Laluan itu dijangka dibuka pada Februari 2027, menurut kenyataan bersama oleh Operasi RTS, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia, pada 2 Oktober.

Exercise Quicksilver 12 melibatkan beberapa siri simulasi insiden keselamatan bagi menguji penyelarasan, keupayaan membuat keputusan serta kecekapan pengerahan agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat.

Anggota daripada Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), LTA, Certis Cisco dan SMRT turut mengambil bahagian dalam latihan tersebut.

Semasa latihan itu, pegawai SPF bertindak balas terhadap simulasi melibatkan insiden tebusan di stesen berkenaan menerusi pemeriksaan ke atas bagasi mencurigakan serta rondaan keselamatan.

Melalui perbincangan dan penyelarasan bersama pegawai ICA, satu tangkapan telah dibuat bagi menyelesaikan insiden kecemasan simulasi tersebut.

SCDF turut dikerahkan bagi memadamkan kebakaran sebuah kenderaan dengan menggunakan jet air.

“Latihan sebegini menyerlahkan komitmen bersama agensi-agensi terlibat dalam memelihara keselamatan dan keamanan awam, khususnya di prasarana pengangkutan yang kritikal,” kata polis.

“SPF akan terus bekerjasama rapat dengan agensi pemerintah berkaitan serta pihak berkepentingan utama bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi, meningkatkan kesediaan operasi dan memastikan tindak balas yang pantas, terselaras serta berkesan terhadap insiden keselamatan awam,” tambahnya.

Sebelum ini pada Oktober, satu latihan lapangan rentas sempadan telah diadakan secara bersama di depoh RTS Link Wadi Hana di Johor Bahru, melibatkan agensi keselamatan, kawalan sempadan dan pertahanan awam dari Singapura serta Malaysia.

Latihan itu merangkumi operasi pemadaman kebakaran bersama, penilaian awal perubatan (triaj), pemindahan mangsa serta tindak balas kecemasan rentas sempadan, menurut kenyataan bersama oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura dan Majlis Keselamatan Negara Malaysia.

“Dengan keupayaan (RTS Link) untuk menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala, usaha memastikan keselamatan serta keamanan penumpang, prasarana dan operasi RTS Link merupakan keutamaan bersama bagi kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.