Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 80% bilik di flat awam baru untuk golongan bujang disewa

Desmond: Sambutan terhadap skim perumahan sewa baru itu sangat menggalakkan
Mar 20, 2025 | 6:35 PM
Skim Kemudahan Berkongsi Bilik Bujang (SRSF) ini terdiri daripada dua blok setinggi 11 tingkat yang mampu menampung seramai 480 penyewa.
Skim Kemudahan Berkongsi Bilik Bujang (SRSF) ini terdiri daripada dua blok setinggi 11 tingkat yang mampu menampung seramai 480 penyewa. - Foto ZAOBAO

Sekitar 400 golongan bujang telah menyewa bilik di tapak perumahan sewa awam baru, yang membolehkan golongan bujang berpendapatan rendah tinggal di bilik peribadi mereka sendiri dan mengongsi kemudahan bersama seperti tandas dan dapur.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan perkara itu pada 20 Mac, dan berkata sambutan terhadap skim perumahan sewa baru itu sangat menggalakkan.

Terletak di bekas tapak Maktab Rendah Anderson (AJC) di Ang Mo Kio Avenue 8, skim Kemudahan Berkongsi Bilik Bujang (SRSF) itu terdiri daripada dua blok setinggi 11 tingkat yang boleh menampung seramai 480 penyewa.

Sejak Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan inisiatif rintis itu pada penghujung 2023, sekitar 83 peratus daripada bilik tersebut telah disewakan, lapor The Straits Times (ST).

SRSF bertujuan memberi penyewa bujang berpendapatan rendah lebih banyak privasi, sambil menggalak kehidupan bermasyarakat melalui perkongsian kemudahan.

Di bawah SRSF, setiap penyewa mempunyai bilik tidur sendiri yang dilengkapi dengan perabot asas – seperti rangka katil, almari, meja dan peti sejuk kecil, manakala kemudahan seperti tandas, dapur dan bilik mencuci pakaian dikongsi bersama penyewa lain.

HDB melantik agensi perkhidmatan sosial, Khidmat Masyarakat New Hope (NHCS), untuk mengendalikan tapak tersebut, menguruskan urusan sewa dan menyediakan sokongan sosial kepada penyewa. 

Dalam satu hantaran Facebook, Encik Lee berkata skim penyewaan awam itu bertujuan meluaskan pilihan penyewaan awam untuk golongan bujang berpendapatan rendah, yang dikenali sebagai Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang Kendalian Pengendali (JSS-OR). 

Di bawah skim itu, individu bujang boleh memohon untuk berkongsi flat sewa separa berasingan, tanpa perlu mencari rakan serumah.

Pengendali akan memadankan mereka dengan rakan serumah berdasarkan profil, minat dan tabiat mereka.

Skim rintis yang dilancarkan pada Disember 2021 itu menawarkan flat lengkap dengan perabot untuk memudahkan urusan pemindahan.

Berikutan maklum balas positif, projek tersebut diperluaskan pada September 2023 daripada tiga kepada enam tapak – termasuk di Bedok, Bukit Panjang dan Sengkang, dengan hampir 1,000 penyewa.

Encik Lee berkata pilihan perumahan sewa itu adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah, sambil menambah bahawa hampir 5,000 lagi flat sewa awam baru akan dibina di serata negara menjelang 2030.

Daripada 2015 hingga 2024, sekitar 8,300 isi rumah sewa awam berjaya memiliki rumah sendiri dengan bantuan skim perumahan dan geran HDB, kata Encik Lee.

Pada 2024 sahaja, lebih 700 isi rumah berjaya memiliki rumah, dengan sekitar tiga daripada empat penyewa membeli flat dari HDB, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Sekitar satu daripada lima keluarga telah menempah flat di bawah Skim Keutamaan Penyewa, yang memperuntukkan sehingga 10 peratus daripada unit dua bilik fleksibel dan tiga bilik dalam skim Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) atau Jualan Baki Flat (SBF) kepada keluarga yang layak di flat sewa awam, kata Dr Faishal dalam satu hantaran Facebook pada 20 Mac.

Encik Lee berkata kesejahteraan penyewa rumah sewa awam ditingkatkan dengan menghubungkan mereka kepada rakan masyarakat dan agensi sosial.

Beliau menegaskan usaha itu akan diteruskan untuk memberi perhatian kepada mereka yang lebih memerlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg