Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 80 pelajar timba ilmu kewartawanan digital di Google
Lebih 80 pelajar timba ilmu kewartawanan digital di Google
Lebih 80 pelajar berpeluang melawat pejabat Google Singapura pada 23 November dan mendengar perkongsian pakar industri mengenai cara berita dilaporkan dan disampaikan pada masa kini.
Peluang itu diraih sempena pelancaran pertandingan cetusan idea ‘Tomorrow’s News, Today’, yang mencabar pelajar menghasilkan idea inovatif bagi kandungan dan pengalaman berita yang mampu menarik minat golongan muda.
Pertandingan anjuran bersama SPH Media dan Google itu merupakan sebahagian daripada kerjasama kedua-dua pihak untuk membangunkan beberapa bidang, termasuk keupayaan kecerdasan buatan (AI), penghasilan dan pengedaran kandungan serta penglibatan ramai.
Pada hari pertama acara itu, pemimpin industri dan pakar daripada The Straits Times (ST) dan Google berkongsi pengetahuan dengan pelajar yang membentuk kumpulan seramai empat hingga lima orang.
Mereka didedahkan kepada trend dan amalan terkini dalam industri media, termasuk penghasilan kandungan video, grafik interaktif serta penggunaan AI secara selamat, untuk memahami dengan lebih mendalam proses penghasilan berita pada masa kini.
Peserta kemudian akan mempersembahkan idea dan penyelesaian berita mereka menerusi video selama tiga minit, diikuti pembentangan selama dua minit di hadapan panel hakim pada 12 Januari 2027, di SPH News Centre di Toa Payoh North.
Pertandingan itu terbuka kepada pelajar politeknik, maktab rendah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), dan berjaya menarik penyertaan 18 kumpulan daripada 10 institusi pendidikan posmenengah.
Kumpulan yang muncul juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai $3,000 serta peluang menjalani penempatan kerja dalam industri bersama SPH Media hingga enam bulan.
Kumpulan yang menduduki tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan menerima hadiah wang tunai $2,000 dan $1,000.
Antara peserta ialah pelajar ITE Kolej Barat, Cik Naayla Precious Muhammad Khairul Anwar, 21 tahun, yang mengajak empat rakan sekursusnya menyertai pertandingan itu selepas mendapat tahu mengenainya daripada seorang pensyarah.
Pelajar jurusan perakaunan itu, yang juga anggota kelab media, berkata:
“Acara ini sangat menyeronokkan dan bermaklumat. Saya berpeluang mendengar perkongsian daripada pakar industri dan mendekati mereka sendiri untuk mendapatkan nasihat. Saya rasa banyak yang telah saya pelajari.”
Cik Naayla menambah bahawa perkongsian daripada pasukan kewartawanan video ST amat berguna baginya.
“Saya sering terlibat dalam penghasilan video dan penyampaian di hadapan kamera menerusi kegiatan kokurikulum (CCA) video di sekolah.
“Jadi, peluang mempelajari secara langsung daripada mereka tentang penghasilan kandungan dan cara penyampaian amat berharga bagi saya,” katanya.
Sementara itu, pelajar Politeknik Temasek (TP), Cik Chloe Khoo, 19 tahun, berkata sesi perkongsian yang diadakan membantu kumpulannya menjana idea bagi pertandingan tersebut.
“Perkongsian itu memberi saya gambaran lebih mendalam tentang cara SPH Media beroperasi.
“Saya amat tertarik dengan perkongsian mengenai grafik digital kerana ia merupakan antara perkara yang kami pelajari di sekolah.
“Menarik untuk melihat bagaimana grafik bergerak (motion graphics) digunakan dalam penyampaian berita,” kata pelajar jurusan reka bentuk komunikasi itu.
Berucap kepada pelajar di acara tersebut, Pengarah Urusan SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, berkata generasi muda hari ini mempunyai kelebihan kerana membesar dalam era teknologi digital yang membolehkan mereka menghasilkan dan menyebarkan kandungan dengan mudah.
“Anda merupakan generasi bertuah kerana membesar dengan kamera, kemudahan penyuntingan dan akses kepada khalayak global, semuanya dalam satu peranti.
“SPH Media mengalu-alukan anda untuk menyertai usaha kami dan bekerjasama dalam mencari, menyemak fakta serta menyampaikan berita yang boleh dipercayai kepada generasi anda, dengan menggunakan alat dan format baharu,” katanya.
Pengarah Urusan Kerjasama Berita Asia Pasifik (APAC) Google, Cik Kate Beddoe, pula berkata kerjasama itu bertujuan memupuk generasi baharu penghasil kandungan berita di Singapura.
“Kami teruja dapat bekerjasama dengan SPH Media untuk memupuk generasi baharu penghasil berita di Singapura.
“Dengan menyediakan latihan dan akses kepada alat AI Google, kami membantu pelajar bekerjasama dengan pihak industri untuk membangunkan pengalaman berita masa depan,” katanya.
Bagi pelajar Maktab Rendah Victoria, Encik Russell Tan Yao Yang, 18 tahun, acara itu memberinya pemahaman yang lebih mendalam tentang perkembangan industri media.
“Saya sedang mempertimbangkan kerjaya dalam industri media dan terdapat banyak perubahan yang sedang berlaku apabila industri ini beralih daripada media cetak kepada wadah seperti media sosial.
“Saya rasa penting untuk memastikan berita bukan sahaja terus bermaklumat, malah turut menarik minat khalayak,” katanya.