Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 9 juta SMS sahih pemerintah dihantar melalui ‘gov.sg’

Jul 5, 2024 | 5:56 PM
Langkah tersebut menyelaras hampir semua khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh pemerintah Singapura dengan menggunakan satu ID penghantar iaitu gov.sg.
Langkah tersebut menyelaras hampir semua khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh pemerintah Singapura dengan menggunakan satu ID penghantar iaitu gov.sg. - Foto ST

Lebih sembilan juta mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) pemerintah telah dihantar kepada orang ramai melalui pengenalan atau ID penghantar ‘gov.sg’ sepanjang dua minggu lalu.

Ia adalah sebahagian daripada langkah baru bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti mesej teks yang sahih daripada pemerintah.

Langkah tersebut, yang dilancarkan mulai 18 Jun sebelum berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Julai, menyelaras hampir semua SMS yang dihantar pemerintah.

Ia menggunakan hanya satu ID penghantar, bagi melindungi orang ramai daripada penipuan penyamaran pegawai pemerintah.

Kini, agensi pemerintah hanya akan menggunakan ID penghantar tersebut dan bukan lagi ID penghantar agensi masing-masing.

Ia dibangunkan oleh Produk Pemerintah Terbuka (OGP), sebuah divisyen Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) yang membina teknologi untuk manfaat awam, lapor The Straits Times.

Dalam jawapannya kepada pertanyaan media pada 5 Julai, jurucakap OGP berkata sejauh ini, ia melibatkan lebih 100 agensi pemerintah.

Pengecualian terhad dibuat bagi komunikasi daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengenai Perkhidmatan Negara (NS) dan perkhidmatan kecemasan, yang akan mempunyai ID penghantar agensi masing-masing.

Menurut jurucakap OGP, beberapa kempen berterusan sedang dijalankan di seluruh negara bagi mendidik orang ramai mengenai langkah baru itu.

Kempen tersebut termasuk risalah pendidikan yang diedarkan di kelab masyarakat (CC) dan acara pendampingan masyarakat, skrin iklan digital di kawasan perumahan awam dan iklan media sosial.

Orang ramai digalakkan supaya melayari laman web, sms.gov.sg untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai langkah baru itu.

Sebanyak 509 kes penipuan penyamaran pegawai pemerintah dilaporkan sepanjang tiga bulan pertama 2024.

Sepanjang 2023, terdapat 1993 kes penipuan sedemikian dilaporkan, berdasarkan perangkaan polis.

Bagi 2024, kes penipuan tersebut paling banyak melibatkan penyamaran pegawai daripada lima agensi pemerintah, iaitu Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg