Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 950,000 isi rumah HDB terima rebat U-Save, S&CC pada Jul

Jun 28, 2024 | 6:47 PM
Rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) akan membantu mengimbangi kenaikan harga gas dan elektrik dari Julai hingga September.
Rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) akan membantu mengimbangi kenaikan harga gas dan elektrik dari Julai hingga September. - Foto fail

Lebih 950,000 isi rumah Singapura yang tinggal di flat HDB akan menerima rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Julai, di tengah-tengah kenaikan harga gas dan elektrik.

Dalam satu kenyataan pada 28 Jun, Kementerian Kewangan (MOF) berkata rebat itu adalah pengagihan suku tahunan kedua bagi tahun kewangan 2024.

Ia sebahagian daripada skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) kekal dan Pakej Jaminan, yang menyaksikan tambahan dana $1.9 bilion dimasukkan ke dalamnya bagi Belanjawan 2024.

Rebat itu membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menampung perbelanjaan kos sara hidup mereka, tambah MOF.

Dalam pengagihan kali ini, mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik HDB akan menerima sejumlah $285 dalam rebat U-save.

Mereka yang tinggal di flat tiga bilik akan mendapat $255, manakala penghuni flat empat bilik bakal menerima $225.

Isi rumah HDB lima bilik pula akan mendapat $195.

Mereka yang tinggal di flat eksekutif atau berbilang generasi akan menerima rebat terendah, $165.

Rebat itu akan membantu mengimbangi kenaikan harga gas dan elektrik dari Julai hingga September, lapor The Straits Times.

Perubahan harga gas diumumkan City Energy – pengeluar dan peruncit gas paip – pada 28 Jun, manakala perubahan harga elektrik pula diumumkan oleh pengendali grid SP Group.

Tarif elektrik akan meningkat 0.3 peratus daripada suku sebelumnya, yang diterjemahkan kepada tarif 29.88 sen setiap kilowatt jam (kWj) untuk isi rumah sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST), meningkat daripada 29.79 sen pada masa ini.

Ini adalah satu sen lebih rendah daripada tarif pada suku pertama 2024, dengan SP Group mengaitkan kenaikan itu kepada kenaikan dalam kos tenaga.

Dengan tarif baru itu, bil elektrik bulanan purata untuk keluarga yang tinggal di flat HDB empat bilik akan naik 35 sen sebelum GST, meningkat daripada $118.03 kepada $118.38.

Tarif gas akan meningkat 0.30 sen setiap kWj, dengan isi rumah membayar 23.42 sen setiap kWj sebelum GST, bukan 23.12 sen sebelumnya.

Termasuk GST, tarif yang disemak semula berjumlah 25.53 sen.

Bagi rebat S&CC, mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik akan menerima rebat sebulan, manakala setiap isi rumah lain akan mendapat rebat setengah bulan.

Tiada tindakan diperlukan untuk menuntut rebat itu, kata MOF, kerana rebat U-Save dikreditkan terus ke dalam akaun utiliti isi rumah dengan SP Services.

Rebat S&CC akan dikreditkan secara langsung oleh majlis bandaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg