Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat S’pura kini boleh tebus baucar $300 terbaru CDC

Jun 25, 2024 | 7:06 PM
Ini kali pertama dua pengagihan baucar CDC dilakukan dalam satu tahun yang sama.
Ini kali pertama dua pengagihan baucar CDC dilakukan dalam satu tahun yang sama. - Foto ST

Setiap isi rumah Singapura kini boleh menggunakan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) berjumlah $300 untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

Sama seperti agihan sebelum ini, baucar tersebut boleh ditebus secara digital melalui go.gov.sg/cdcv.

Baucar itu dibahagikan kepada dua – separuh boleh digunakan di gerai penjaja serta kedai di kawasan perumahan dan separuh lagi di pasar raya. Kesemua perniagaan itu haruslah yang menyertai skim tersebut.

Baucar CDC yang terakhir sebelum ini bernilai $500 dan dilancarkan pada 3 Januari 2024 oleh Perdana Menteri Lawence Wong, yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Ia memberi bantuan tambahan $200 kepada isi rumah berbanding baucar CDC sebelumnya pada 2023.

Baucar $500 yang diberi pada Januari 2024 bersama baucar $300 yang diberi Jun ini bermakna setiap isi rumah Singapura mendapat bantuan berjumlah $800 pada 2024.

Ini kali pertama dua pengagihan baucar CDC diadakan dalam satu tahun yang sama.

Semasa membentangkan Belanjawan 2024 pada Februari, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan bahawa rakyat Singapura akan mendapat gabungan wang tunai, baucar dan rebat, di bawah Pakej Jaminan yang menerima rangsangan $1.9 bilion.

Ia bagi membantu mereka mengharungi kos sara hidup yang meningkat dan prospek ekonomi tidak menentu.

Antara yang diagihkan ialah baucar CDC tambahan sebanyak $600 – separuh akan diagih pada Jun 2024, sementara baki $300 pada Januari 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, melancarkan pengagihan baucar CDC terbaru itu di Kelab Masyarakat West Coast pada 25 Jun.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Penyepaduan Perkhidmatan Sosial, dan Anggota Parlimen GRC West Coast, serta lima mayor CDC.

Encik Gan berkata jumlah bantuan yang diberikan dalam Pakej Jaminan bernilai lebih $10 bilion.

Secara keseluruhannya, setiap isi rumah telah menerima baucar CDC bernilai $1,300 hingga kini.

Beliau menambah bahawa sekitar 1.3 juta isi rumah sudah menebus baucar CDC yang diagihkan pada Januari 2024.

Daripada baucar yang ditebus itu, lebih $500 juta telah dibelanjakan di kedai, pusat penjaja dan pasar raya yang mengambil bahagian.

Secara keseluruhan, isi rumah Singapura telah menggunakan baucar CDC bernilai lebih $1 bilion dalam empat pengagihan baucar itu.

“Skim baucar CDC adalah bukti komitmen pemerintah untuk membantu rakyat Singapura menangani keprihatinan tentang kos sara hidup.

“Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa pemerintah memahami keprihatinan anda dan bersedia membantu anda apabila perlu,” ujar Encik Gan.

Skim baucar CDC diperkenal pada Jun 2020 semasa pandemik Covid-19 untuk membantu keluarga berpendapatan rendah membiayai perbelanjaan harian mereka, selain menyokong peniaga dan penjaja tempatan yang terjejas oleh pandemik itu.

Ia diperluas kepada semua isi rumah pada Disember 2021 sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Singapura atas perpaduan mereka semasa pandemik tersebut, di samping menyokong perniagaan tempatan mengharungi pandemik itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg