Lebih banyak asatizah, masjid dan badan Melayu/Islam (MMO) kini terlibat dalam usaha pencegahan dadah serta pemulihan bekas pesalah, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Berucap di Forum Rangkaian Pemulihan Badan Melayu/Islam (MMORN) 2025 pada 25 Oktober di ibu pejabat Perkhidmatan Penjara Singapura, Dr Faishal berkata peningkatan penyertaan golongan asatizah, masjid dan MMO menunjukkan kekuatan sokongan masyarakat terhadap usaha pemulihan.
“Bilangan asatizah yang menjadi sukarelawan dengan Fitrah (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga) telah meningkat lebih dua kali ganda, daripada 54 orang pada 2019 kepada sekitar 120 orang hari ini. Mereka termasuk Pegawai Dakwah (MRO) dari pelbagai rakan kongsi masjid,” kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
Menurut beliau, perkembangan ini adalah satu kemajuan yang penting kerana relawan asatizah bukan sahaja membimbing dari segi keagamaan, malah menjadi contoh kepada mereka yang sedang berusaha berubah.
“Relawan asatizah berperanan sebagai suri teladan kepada banduan di bawah jagaan mereka, serta memberikan bimbingan agama untuk mengukuhkan perjalanan pemulihan dan integrasi semula mereka,” katanya.
“Mereka juga merupakan pendukung masyarakat yang menyebarkan mesej peluang kedua serta membina budaya penerimaan terhadap bekas pesalah dan keluarga mereka,” tambahnya.
Dr Faishal turut menarik perhatian terhadap peningkatan ketara jumlah masjid yang terlibat dalam program pemulihan.
“Lebih banyak masjid juga tampil, daripada hanya segelintir pada 2019 kepada 44 masjid hari ini. MRO masjid bukan sahaja menjadi sukarelawan dalam program di penjara, tetapi juga dalam program masyarakat seperti acara Dadah Itu Haram (DIH),” ujarnya.
Antara inisiatif itu ialah acara berbasikal Harapan Hasanah, anjuran Masjid Hasanah bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan masjid Daerah Barat, yang menyaksikan peserta termasuk bekas pesalah berbasikal ke 70 masjid di seluruh negara bagi menyebarkan mesej Dadah Itu Haram.
Selain itu, lebih banyak MMO kini bergabung dalam usaha pencegahan dan pemulihan.
“Bilangan pertubuhan dan agensi M³ (M Kuasa Tiga), yang menyumbang kepada usaha ini meningkat daripada 15 pada 2018 kepada lebih 25 hari ini. Saya gembira melihat semakin banyak kerjasama antara rakan kongsi kita,” kata Dr Faishal, sambil merujuk kepada acara korban tahunan MMORN yang kini melibatkan lebih banyak pihak, berbanding sebelum ini.
Beliau juga menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai setakat ini harus menjadi dorongan untuk terus mempertingkatkan usaha selanjutnya.
“Kadar residivisme dua tahun bagi pesalah Melayu kini 26.7 peratus – kira-kira seorang dalam empat akan kembali ke penjara dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan. 10 tahun lalu, kadar ini sekitar seorang dalam tiga.
“Ini petanda kukuh bahawa sokongan masyarakat dan intervensi yang dilaksanakan berkesan. Kejayaan ini seharusnya mendorong kita untuk terus melakukan yang lebih baik,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem sokongan, Dr Faishal turut menyentuh mengenai tiga projek, ‘Next Lap’, dibentuk pada 2024 bagi memperkukuh ekosistem sokongan sedia ada.
Projek itu melibatkan MMO seperti Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim (IMSSA) dan New Life Stories.
“Kumpulan ini meneliti cara memperkukuh bantuan kepada keluarga pesalah, pesalah yang kekurangan sokongan sosial, serta memperhebat usaha pencegahan dalam kalangan belia. Hasil dapatan mereka akan membantu memperkukuh rangka sokongan yang lebih menyeluruh dan mampan,” jelasnya.
“Saya juga menggalakkan semua pihak untuk berkongsi pandangan dan saranan mereka, serta terlibat sama membentuk cadangan bersama kumpulan ini,” katanya lagi.
Dr Faishal menyeru lebih ramai rakan masyarakat untuk menyumbang idea dan bekerjasama membentuk langkah seterusnya.
“Pemerintah kekal komited bekerjasama rapat dengan rakan masyarakat, menyokong program dan inisiatif berkesan tinggi. Bersama-sama, kita mampu membina masyarakat Melayu/Islam yang berjaya dan berdaya tahan,” katanya.
Menutup ucapannya, beliau menekankan bahawa kekuatan masyarakat terletak pada semangat saling membantu.
“Dalam usaha membantu orang lain, mereka sebenarnya menjadi versi diri yang lebih baik dan mengukuhkan perjalanan perubahan diri mereka. Inilah hasil yang harus kita usahakan – membina persekitaran yang mengekalkan kitaran kebaikan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg