Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah S’pura perlu dapat sijil kesihatan mulai Haji 2026

Fatwa baru tetapkan individu yang tidak diberi visa haji disebabkan masalah kesihatan dibenar tangguh ibadah haji sehingga sembuh
Oct 24, 2025 | 3:00 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto BH oleh KHALID BABA

Mulai musim haji 2026, semua jemaah haji dari Singapura perlu mendapatkan sijil kesihatan dari doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik – seperti penyakit buah pinggang dan masalah jantung kronik – sebelum menunaikan haji.

Mereka juga perlu mempunyai keupayaan fizikal untuk melaksanakan ibadah haji dengan selamat.

Peraturan baru itu diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu sidang media pada 24 Oktober.

Ini susulan penetapan kriteria terkini oleh Kementerian Haji & Umrah Saudi awal Oktober, di mana semua bakal jemaah mesti disahkan tidak mengalami penyakit kronik, tidak terdiri daripada wanita hamil dalam trimester terakhir, dan tidak berkerusi roda.

Sejajar dengan itu, Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan fatwa terkini pada 24 Oktober di mana individu yang tidak diberikan visa haji disebabkan masalah kesihatan dibenarkan menangguhkan ibadah haji mereka sehingga sembuh.

Bagi mereka yang tidak berkemungkinan sembuh daripada penyakit, mereka boleh mewakilkan orang lain untuk menunaikan haji bagi pihak mereka atau badal haji, tetapi mesti dilaksanakan mengikut peraturan haji yang ditetapkan pihak berkuasa.

Namun, jika badal haji tersebut tidak dapat dilaksanakan walaupun setelah berusaha sedaya upaya, kewajipan haji bagi individu tersebut gugur, selaras dengan prinsip mengelak kemudaratan dan kesukaran dalam Islam.

Semasa bertemu media, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menjelaskan bahawa sijil kesihatan itu mandatori bagi kesemua pemohon di seluruh dunia.

“Keperluan ini juga bertujuan untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan semua yang menunaikan haji, yang merupakan ibadah yang memerlukan daya fizikal.

“Langkah ini diambil bagi memastikan semua peserta dapat melaksanakan aktiviti mereka dengan selamat dan tenang,” ujar beliau.

Jika gagal mendapatkan sijil tersebut, Kerajaan Arab Saudi berkata ia tidak akan memberikan visa haji.

Namun, setakat ini, ibadah umrah di luar musim haji tidak memerlukan sijil tersebut.

Menurut Muis, individu yang berjaya mendaftar sebelum 7 Mac 2014 akan mula menerima Surat Hasrat (LOI) mereka untuk ibadah haji pada 2026 mulai 31 Oktober, menerusi portal Muis, ‘MyHajSG’.

Mereka perlu mendapatkan sijil kesihatan mereka sebelum 21 November daripada pengamal perubatan berdaftar di sini, dan kos harus dibiayai sendiri.

Sekiranya bakal jemaah didapati tidak menepati syarat kesihatan tersebut, mereka boleh menangguhkan ibadah haji mereka.

Mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol tinggi masih layak menunaikan ibadah haji, selagi mereka dapat menguruskan keadaan mereka dan memperoleh sijil kesihatan itu.

Bakal jemaah kemudian perlu menunggu Surat Tawaran Rasmi (LOO), yang akan dikeluarkan pada 1 Disember 2025, sebelum membeli pakej mereka melalui ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik Muis selewat-lewatnya pada 15 Disember.

Senarai GSA yang dilantik Muis serta pakej haji akan diumumkan seminggu sebelum 1 Disember.

Langkah-langkah bagi bakal jemaah haji perlu lakukan setelah menerima Surat Hasrat (LOI) pada 31 Oktober.
Langkah-langkah bagi bakal jemaah haji perlu lakukan setelah menerima Surat Hasrat (LOI) pada 31 Oktober. - Foto MUIS

Muis berkata bahawa bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan (MOH), ia telah mengeluarkan panduan kepada pengamal perubatan berdaftar mengenai keperluan ini serta proses yang perlu dilalui sebelum mengeluarkan sijil kesihatan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas) yang juga merupakan Pengurus Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata:

“Kami mengalu-alukan prasyarat ini kerana ini dapat menyediakan jemaah haji Singapura dan memberitahu mereka bahawa seseorang itu sekiranya hendak pergi menunaikan ibadah haji bukan sahaja perlu bersedia dari segi kewangan (dan) mental tetapi juga dari segi kesihatan.”

Pengurus besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata syarikat beliau sebelum ini pernah mengendalikan jemaah haji yang memerlukan dialisis serta mereka yang menggunakan kerusi roda, tetapi menyedari bahawa perkara ini menimbulkan isu logistik.

Ini kerana beliau perlu mendapatkan khidmat warga di sana untuk membantu dan dengan peraturan yang semakin ketat, ia tidak begitu mudah.

“Walaupun kita rasa simpati kepada jemaah yang memerlukan khidmat lebih ini tetapi keadaan di tempat tersebut tidak mengizinkan.

“Jadi itu satu cabaran yang kita harus faham kenapa Kerajaan Arab Saudi mungkin perkenalkan beberapa peraturan baru,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai fatwa yang baru dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa itu, Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, berkata fatwa itu ditetapkan untuk “memberi jalan keluar serta pilihan” bagi mereka yang terkesan dengan penetapan itu.

Beliau menambah Jawatankuasa Fatwa turut akur terdapat cabaran untuk individu menunaikan badal haji, dan jemaah tidak perlu tergesa-gesa untuk menunaikannya.

Maka, berdasarkan penetapan dan perbincangan ulama terdahulu mengenai individu yang tidak berjaya untuk menunaikan haji fardhu atas sebab itu, ibadah haji tidak lagi menjadi satu kewajiban untuk mereka.

“Tentu sekali ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk individu yang berhadapan dengan situasi ini,” ujar beliau.

Namun, fatwa yang dikeluarkan itu memberi jaminan bahawa individu yang menghadapi situasi ini akan tetap mendapatkan ganjaran pahalanya.

“Allah swt tetap menjanjikan ganjaran dan pahala yang sempurna bagi mereka yang terhalang daripada menunaikan sesuatu amalan kerana faktor kesihatan tetapi dengan syarat, individu ini sabar dan beliau tetap menerima takdir dan ketetapan daripada Allah,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg