Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak kes demensia didiagnos, dirawat sejak 2013

Kajian IMH: Demensia kurang dialami warga emas usia 60 tahun dan ke atas dalam tempoh sedekad sejak 2013
Aug 28, 2024 | 7:50 PM
Dapatan hasil kajian Kebajikan Warga Emas Singapura (WiSE) yang kedua kendalian Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati risiko demensia meningkat dengan usia, dengan lingkungan usia 85 tahun ke atas paling berisiko tinggi jika dibandingan dengan golongan usia antara 60 dengan 74 tahun.
Dapatan hasil kajian Kebajikan Warga Emas Singapura (WiSE) yang kedua kendalian Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati risiko demensia meningkat dengan usia, dengan lingkungan usia 85 tahun ke atas paling berisiko tinggi jika dibandingan dengan golongan usia antara 60 dengan 74 tahun. - Foto ST

Lebih banyak kes demensia didiagnos dan dirawat di Singapura sejak 2013, di kala kesedaran mengenai penyakit itu kian meningkat saban tahun.

Kajian itu, Kebajikan Warga Emas Singapura (WiSE), mendapati kadar jurang rawatan demensia dalam kalangan warga emas dalam kumpulan tersebut berkurangan daripada 70.6 peratus kepada 51.5 peratus antara 2013 dengan 2023.

Perangkaan 51.5 peratus kadar jurang rawatan demensia dalam kalangan warga emas di Singapura “lebih baik daripada yang dilaporkan di peringkat sejagat” iaitu sekitar 62 peratus, kata Profesor Madya Mythily Subramaniam, yang terlibat dalam kajian itu.

Dr Ng Li Ling, salah seorang daripada tiga penyelidik utama, berkata perangkaan tersebut memberi isyarat bahawa golongan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas mungkin mendapatkan diagnosis bagi demensia kerana lebih sedar berhubung perkara tersebut.

Beliau, yang juga perunding kanan di jabatan perubatan psikologi Hospital Besar Changi (CGH), menambah usaha berbilang cabang meliputi sektor kesihatan, agensi dan badan perkhidmatan sosial “telah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang demensia”.

“Latihan bagi penyedia penjagaan utama dalam membangunkan kebolehan masing-masing juga telah membolehkan kumpulan ini mengenal pasti tanda-tanda awal penurunan kognitif dan gejala demensia dengan lebih baik, dan bukannya melihatnya sebagai ‘tanda penuaan biasa’,” tambahnya.

Mereka berkata demikian semasa bertemu media di sesi taklimat yang diadakan di IMH pada 28 Ogos untuk memberi perincian mengenai kajian tersebut – yang kedua diadakan sejak 2013 – untuk menjejak trend demensia dan kemurungan dalam kalangan warga emas di Singapura.

Seramai 2,010 warga Singapura dan penduduk tetap berusia 60 tahun dan ke atas serta hampir 1,800 penjaga warga emas terlibat dalam kajian yang dijalankan antara Mac 2022 dengan September 2023 itu.

Secara keseluruhan, kajian tersebut mendapati demensia kurang dialami warga emas berusia 60 tahun dan atas di sini dalam tempoh sedekad sejak 2013.

Sekitar 10 peratus warga emas dalam kumpulan itu mengalami demensia pada 2013, berbanding 8.8 peratus pada 2023.

Namun, jumlah warga emas yang mengalami demensia di Singapura telah meningkat daripada 51,934 orang pada 2013 kepada 73,918 orang pada 2013, kebanyakannya disebabkan bilangan penduduk lebih berusia yang bertambah dalam tempoh sedekad.

Risiko mengalami demensia juga meningkat dengan usia.

Individu berusia antara 75 dengan 84 tahun menanggung risiko mengalami demensia tiga kali ganda berbanding individu berusia 60 hingga 74 tahun.

Kumpulan yang berusia 85 tahun dan ke atas pula menanggung risiko mengalami demensia 11 kali ganda berbanding individu berusia 60 hingga 74 tahun.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang pernah mengalami angin ahmar pula menanggung risiko mengalami demensia hampir tujuh kali ganda berbanding rakan seusia yang tiada sejarah angin ahmar.

Dalam pada itu, golongan warga emas yang bersara juga mungkin menanggung risiko lebih tinggi menanggung demensia berbanding golongan yang masih bekerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg