Keluarga berpendapatan pertengahan di Singapura terus menghadapi cabaran kewangan di tengah-tengah kos sara hidup lebih tinggi, dengan para Anggota Parlimen (AP) menggesa agar lebih banyak sokongan disediakan untuk golongan tersebut, terutama mereka dengan tanggungjawab penjagaan.
Para AP, dalam hari pertama perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 26 Februari, mengalu-alukan langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan – seperti sokongan di bawah Skim Keluarga Besar, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Rebat U-Save – yang dapat membantu meringankan tekanan kos sara hidup.
Namun pada masa sama, mereka menambah bahawa lebih banyak boleh dilakukan.
Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) berkata walaupun langkah sokongan dalam Belanjawan dialu-alukan, “kita mesti menyedari bahawa sesetengah keluarga terus mengalami tekanan kewangan besar sedang mereka mengharungi kos sara hidup lebih tinggi, dan pasaran pekerjaan yang mencabar di peringkat sejagat”.
Encik Lim Biow Chuan (Mountbatten) pula berkongsi keluhan penduduknya yang bimbang tentang kos produk pengguna yang semakin meningkat setiap kali mereka pergi ke pasar, pasar raya dan pusat penjaja.
“Ini walaupun pemerintah telah memberikan baucar CDC dan pembayaran tunai melalui Pakej Jaminan kepada penduduk.
“Pembayaran daripada Pakej Jaminan nampaknya tidak mengurangkan keprihatinan rakyat Singapura tentang kos hidup yang meningkat.
“Bagi penduduk berpendapatan pertengahan, mereka perlu mengurangkan perbelanjaan kerana mereka mendapat tahap bantuan lebih rendah daripada skim pemerintah,” kata beliau.
Para AP memberi beberapa saranan dalam mengurangkan tekanan yang dihadapi golongan ‘sandwic’ itu, antaranya bagi pemerintah mempertimbangkan tokokan Medisave tambahan bagi keluarga besar yang bukan hanya ada ramai anak, malah perlu menjaga ibu bapa lanjut usia, seperti disarankan Cik Pereira.
Cik Pereira turut menyarankan sebuah skim subsidi pengangkutan, terutamanya untuk menampung sebahagian tambang bas sekolah anak-anak.
“Meskipun sudah ada subsidi bagi golongan berpendapatan rendah, keluarga berpendapatan pertengahan menghadapi cabaran dalam menampung kos pengangkutan harian dalam cara yang selamat dan mampan.
“Kita juga telah melihat bagaimana tambang bas sekolah telah meningkat sejak beberapa tahun lalu dan pengendali bas sekolah terus menghadapi cabaran tenaga manusia dan tekanan kos juga,” kata beliau.
Turut memohon bagi subsidi pengangkutan ialah Encik Liang Eng Hwa (Bukit Panjang), yang berharap pemerintah dapat mempertimbangkan subsidi sekali sahaja sekiranya Majlis Pengangkutan Awam (PTC) menyarankan kenaikan tambang pengangkutan awam lagi.
“Ia akan membantu meringankan kos pengangkutan awam bagi penumpang dan diharap membantu mendorong lebih ramai lagi bergerak ke arah masyarakat yang kurang bergantung pada kereta,” kata beliau.
Beberapa AP turut mengemukakan saranan dalam menyokong golongan penjaga, termasuk keluarga yang bukan hanya perlu menanggung anak-anak, malah juga menjaga ibu bapa yang lanjut usia.
Meskipun terdapat beberapa sokongan sedia ada – seperti Geran Penjagaan di Rumah (HCG) dipertingkat bagi penjaga warga emas di rumah – Cik Pereira menarik perhatian bahawa terdapat warga emas yang tidak tinggal bersama anak-anak dan cucu mereka, namun anak-anak mereka yang bekerja tetap memberi nafkah kepada ibu bapa lanjut usia mereka.
Beliau bertanya apakah sokongan boleh disediakan kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah per kapita (PCHI) melebihi $4,800, memandangkan kelayakan maksimum PCHI $4,800 telah diumumkan bagi sokongan seperti HCG.
“Jika tidak, bolehkah kita memastikan ibu bapa atau datuk nenek yang bergantung pada penjaga tetapi mempunyai alamat kediaman berbeza boleh dirangkumkan dalam pengiraan PCHI bagi subsidi sedemikian?” tanya beliau.
Selain sokongan kewangan, Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) berkata sokongan boleh diberikan dalam bentuk tambahan cuti ibu bapa dan cuti penjagaan keluarga untuk golongan penjaga.
“Sedang generasi ‘baby boomer’ meningkat usia dan isu kesihatan timbul, anak-anak dan penjaga yang bekerja akan memerlukan lebih banyak cuti penjagaan keluarga untuk menghantar ibu bapa lanjut usia mereka ke janji temu perubatan dan sebagainya,” kata beliau.
“Saya faham dasar bagi cuti ibu bapa tambahan untuk menjaga anak-anak… berbeza mengikut syarikat.
“Cuti ibu bapa sedemikian bukan hanya membolehkan ibu bapa yang bekerja membawa anak-anak ke doktor apabila mereka sakit, malah boleh memberikan masa bagi ibu bapa yang bekerja menghadiri acara dan sambutan prasekolah, atau sekadar meluangkan masa bermakna bersama anak-anak semasa cuti sekolah rasmi, contohnya,” tambah beliau.
Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast) pula menggesa agar lebih banyak sokongan disediakan untuk golongan individu yang menjaga ahli keluarga dengan keperluan khas, seperti menghubungkan mereka kepada sumber-sumber, menawarkan sokongan emosi atau menyediakan khidmat jagaan gantian sementara (respite care).
“Saya menggesa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) supaya mempertimbangkan memberi penjaga geran suku tahunan sebanyak $200, serupa dengan Skim Ihsan Senja melalui Kredit LifeSG atau sebaliknya.
“Meskipun jumlah itu kelihatan sederhana, ia memberi tanda pengiktirafan yang bermakna dan membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi ramai penjaga,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg