Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mengapa baucar, bukannya tunai: PM Wong jawab soalan hangat Belanjawan 2025

Feb 25, 2025 | 7:23 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tiba di Bangunan Parlimen, bagi menyampaikan ucapan Belanjawan pada 18 Februari.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tiba di Bangunan Parlimen, bagi menyampaikan ucapan Belanjawan pada 18 Februari. - Foto ST

Jika Belanjawan 2025 dilihat sebagai murah hati, itu hanya kerana pemerintah telah menguruskan kewangannya dengan bertanggungjawab dan baik, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 25 Februari.

Dalam satu klip video sepanjang 100 saat yang dimuat naik ke akaun media sosialnya, Encik Wong menjawab empat pertanyaan yang diterima sejak menyampaikan penyata Belanjawan itu pada 18 Februari.

Mengenai sama ada Belanjawan 2025 adalah Belanjawan pilihan raya, beliau berkata adalah hakikat rancangan perbelanjaan terbaru pemerintah itu bertepatan dengan tahun di mana Pilihan Raya Umum akan diadakan.

Pemerintah mampu menyediakan satu set langkah sokongan dalam Belanjawan ini kerana ia telah menguruskan sumber-sumbernya dengan betul, dan kerana ia melakukan segala yang termampu bagi membantu rakyat Singapura menghadapi tekanan kos dan memperbaiki kehidupan mereka, kata Encik Wong dalam video yang dimuat naik sehari sebelum perbahasan Belanjawan di Parlimen, lapor The Straits Times.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, juga menjawab soalan sama ada langkah-langkah dalam Belanjawan 2025 bersifat sementara.

“Saya tahu perkara-perkara utama dalam Belanjawan itu telah menarik perhatian ramai, tetapi jika anda melihat pakej SG60 itu serta langkah-langkah sokongan bagi kos sara hidup, ia hanya membentuk kira-kira 5 peratus daripada Belanjawan keseluruhan kami,” katanya.

Sebahagian besar perbelanjaan pemerintah adalah ke arah program berstruktur dan berjangka panjang, dengan Belanjawan tahun ini (2025), menyaksikan pemerintah mengambil langkah-langkah selanjutnya dalam mengukuhkan ekonomi dan sistem sokongan masyarakat Singapura, tambahnya.

Mengenai soalan mengapa baucar dan bukannya wang tunai, Encik Wong berkata terdapat langkah sokongan tunai dalam Belanjawan itu, dan pihak berkuasa telah memutuskan untuk memberikan baucar SG60 dan bukannya wang tunai, memandangkan negara ini mempunyai pengalaman beberapa tahun dengan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Maklum balas terhadap baucar CDC itu adalah sangat positif, dan memberikan sokongan dalam bentuk baucar juga memberi manfaat kepada ramai penjaja dan peniaga yang mengambil bahagian, tambahnya.

Mengenai bagaimana orang ramai boleh melihat jumlah keseluruhan yang mereka dapat daripada Belanjawan ini, Encik Wong menunjukkan rakyat Singapura kepada kalkulator sokongan di laman web SupportGoWhere pemerintah di https://supportgowhere.life.gov.sg.

Encik Wong berkata beliau pasti lebih banyak soalan akan dibangkitkan oleh Anggota Parlimen (AP) apabila Parlimen membahaskan Belanjawan dari 26 hingga 28 Februari, dan beliau akan menjawab soalan-soalan itu dalam ucapan rumusannya pada 28 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg