Pelajar yang ingin belajar bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga boleh melakukan demikian di satu lagi pusat mulai 2027.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, mengumumkan bahawa Program Khas Bahasa Melayu, yang juga dikenali sebagai Malay (Special Programme) atau M(SP), itu akan diperluas ke Maktab Rendah Kebangsaan (NJC).

Pelaksanaan program tersebut di NJC menjadikannya pusat yang kelima untuk menawarkan program tersebut, dengan pusat lain yang menawarkan program itu termasuk Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Sekolah Menengah Bukit Batok, Sekolah Menengah Tampines dan Sekolah Menengah Zhonghua.

Encik Lee berkata demikian semasa berucap di Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) ke-14 di Singapore Expo pada 1 Ogos.

Turut hadir di simposium tersebut ialah Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; dan Ketua Kumpulan Prasekolah bagi Jawatankuasa Menggalak Pembelajaran Bahasa Cina (CPCLL), Encik Xie Yao Quan, yang juga Anggota Parlimen SMC Jurong Central.

Selain di lima pusat itu, M(SP) turut ditawarkan di 12 sekolah menengah. Namun bagi pelajar yang sekolah mereka tidak menawarkan program itu, mereka boleh mengikutinya di pusat yang terdekat dengan sekolah mereka.

M(SP) merupakan program Bahasa Ketiga bagi pelajar yang tidak mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.

Ia antara lain membolehkan pelajar mempelajari bahasa Melayu dan memahami aspek sosiobudaya masyarakat Melayu di Singapura dan rantau ini.

“Bahasa ibunda menghubungkan kita dengan budaya, warisan dan nilai kita, serta menjadi asas kepada kepelbagaian masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan bahasa.

“Dengan setiap generasi baharu, kita mesti terus memupuk aspek penting ini yang membentuk jati diri kita,” ujar Encik Lee.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan usaha memperluas Program Elektif Bahasa Cina (CLEP) dan Program Elektif Bahasa Tamil (TLEP) yang boleh memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar di peringkat menengah dan pra-universiti.

Perluasan ketiga-tiga program tersebut merupakan satu usaha untuk menyokong pelajar yang berminat untuk mendalami bahasa ibunda dengan menyediakan peluang dan laluan untuk berbuat demikian.

“Perluasan program ini selaras dengan komitmen Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran bahasa dan memupuk pemahaman silang budaya dalam kalangan pelajar,” kata Penolong Pengarah bahagian bahasa ibunda MOE, Cik Nur’Hanim Mohamed.

Guru bahasa Melayu di NJC, Cik Artina Selamat, juga berkongsi bahawa terdapat permintaan bagi program tersebut dari tahun ke tahun.

“Ramai pelajar memilih untuk menyertai program ini kerana mereka akur dengan kerelevanan bahasa dan budaya Melayu dalam pergaulan harian dan kerjaya mereka pada masa akan datang,” kongsi beliau

Menurut Cik Artina, perluasan program itu ke NJC juga sangat bermanfaat kerana NJC sudah mempunyai program dan rangkaian pelajar bahasa Melayu yang aktif dengan Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) dan Persatuan Budaya Melayu, yang dapat menambah nilai kepada pengalaman pelajar M(SP).

MTLS 2026 memaparkan pelbagai aktiviti interaktif dengan perkongsian tentang pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa Ibunda menerusi pedagogi digital, penghayatan budaya serta ekspresi kreatif.

Pengunjung berpeluang meneroka 41 reruai yang terdiri daripada sekolah dan rakan masyarakat, termasuk reruai interaktif Berita Harian (BH) yang menampilkan akbar Gen G dan majalah Cilik Cerdik.