Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih kesedaran mungkin punca laporan kes dera kanak-kanak naik pada 2024

MSF minta sokongan keluarga, orang awam lebih berjaga, perhati tanda dera agar kes dapat ditangani segera
Dec 10, 2025 | 10:00 AM
Kes dera kanak-kanak, MSF, pelajar sekolah rendah
Jumlah kes penderaan kanak-kanak baru dengan kadar kebimbangan keselamatan risiko rendah hingga sederhana (Tahap 1) meningkat daripada 2,787 kes pada 2023 kepada 3,292 kes pada 2024. - Foto GETTY IMAGES

Mendidik murid sekolah rendah tentang keselamatan diri dan perlindungan daripada penderaan mungkin telah menyumbang kepada lebih banyak kes penderaan kanak-kanak berumur dari tujuh hingga 12 tahun yang dilaporkan pada 2024.

Ia seiring dengan latihan berterusan dan kewaspadaan profesional, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

“Dengan kanak-kanak berada jauh dari sekolah semasa tempoh cuti sekolah akhir tahun, kami meminta anggota keluarga, jiran, rakan kongsi masyarakat dan orang ramai agar terus berjaga-jaga dan memerhatikan tanda-tanda penderaan kanak-kanak dalam masyarakat,” kata MSF dalam satu kenyataan pada 10 Disember, merujuk pada Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga MSF yang dikeluarkannya.

Dalam pada itu, bagi kes penderaan Tahap 1 baru, yang mempunyai kadar kebimbangan keselamatan risiko rendah hingga sederhana, sebanyak 1,380 kes melibatkan kanak-kanak berumur dari tujuh hingga 12 tahun telah dilaporkan pada 2024 – meningkat daripada 1,154 kes pada 2023.

Bagi kes penderaan berisiko tinggi atau Tahap 2 yang baru pula, terdapat 834 kes yang dilaporkan pada 2024, berbanding 742 kes pada 2023, berdasarkan laporan tersebut.

Jumlah kes penderaan bagi kanak-kanak berusia antara 0 dengan enam tahun pula adalah sebanyak 1,037 kes, manakala terdapat 875 kes melibatkan kanak-kanak berusia antara 13 dengan 18 tahun.

Secara keseluruhan, jumlah kes baru penderaan kanak-kanak Tahap 1 meningkat daripada 2,787 kes pada 2023 kepada 3,292 kes pada 2024, mencerminkan trend peningkatan yang berterusan sejak 2021.

Jumlah kes baru Tahap 2 turut meningkat daripada 2,011 kes pada 2023 kepada 2,303 kes pada 2024.

Peningkatan dalam kes baru Tahap 2 pada 2024 didorong terutama oleh peningkatan kes di mana penderaan fizikal merupakan jenis penderaan utama.

Daripada 2,303 kes Tahap 2, sebanyak 1,171 kes melibatkan penderaan fizikal; 537 kes merupakan kes pengabaian; 331 kes penderaan seksual; manakala 264 ialah kes penderaan emosi dan psikologi.

Meskipun kes penderaan seksual meningkat kepada 331 kes pada 2024, berbanding 272 kes pada 2023, jumlahnya lebih rendah berbanding 2022, dengan 351 kes dilaporkan.

Perangkaan awal juga menunjukkan kes penderaan kanak-kanak pada separuh pertama 2025 adalah lebih rendah berbanding jangka masa yang sama pada 2024.

Namun, MSF mendapati peningkatan dalam kes penderaan berisiko tinggi pada Oktober 2025, berbanding tempoh sebelumnya.

Dalam pada itu, apabila persekitaran rumah kekal tidak selamat untuk kanak-kanak, meskipun dengan sokongan MSF dan agensi masyarakat, pemindahan kanak-kanak terbabit mungkin diperlukan sebagai langkah terakhir, ujar MSF.

Justeru, kanak-kanak itu akan ditempatkan buat sementara waktu di bawah penjagaan luar rumah seperti penjagaan berasaskan keluarga atau institusi penjagaan, sehingga selamat bagi mereka kembali ke pangkuan keluarga.

Pada 2024, MSF melaporkan terdapat 1,454 kanak-kanak yang ditempatkan di bawah penjagaan luar rumah.

Jumlah itu adalah kurang berbanding 2023, di mana terdapat 1,503 kanak-kanak yang memerlukan bantuan sama.

Salah satu sebab kemerosotan itu berlaku ialah pengenalan dan peningkatan pemeriksaan keselamatan oleh pegawai pemeriksaan keselamatan pada 2024, yang membantu pegawai perlindungan melakukan lawatan ke rumah dan panggilan video bagi memantau keselamatan kanak-kanak di rumah.

Langkah perlindungan tambahan itu telah membolehkan MSF meningkatkan pemeriksaan keselamatan bagi keluarga, sekali gus membolehkan lebih ramai kanak-kanak kekal di rumah sementara campur tangan diberikan untuk menangani risiko yang dikenal pasti.

Dua dalam tiga kanak-kanak yang memerlukan penjagaan luar rumah ditempatkan di bawah penjagaan berasaskan keluarga seperti penjagaan titipan, iaitu seramai 530 kanak-kanak dan penjagaan oleh saudara pula melibatkan seramai 386 kanak-kanak.

Kanak-kanak berusia antara 13 dengan 18 tahun membentuk kumpulan terbesar dalam kalangan mereka yang memerlukan penjagaan luar rumah.

Daripada sejumlah 304 kanak-kanak itu, sekitar tiga dalam lima kanak-kanak ditempatkan di bawah penjagaan berinstitusi, manakala hanya seorang dalam lima kanak-kanak ditempatkan di bawah penjagaan titipan dan penjagaan oleh saudara, masing-masing.

Sekilas dapatan Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga

Pada 2024, sebanyak 5,787 kes berisiko rendah dan sederhana (Tahap 1); dan 2,373 kes berisiko tinggi (Tahap 2) telah dilaporkan kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Penderaan kanak-kanak

Kes risiko rendah dan sederhana (Tahap 1) baru

  1. Sebanyak 3,292 kes penderaan secara keseluruhan
  2. Sebanyak 1,037 kes kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun
  3. Sebanyak 1,380 kes kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun
  4. Sebanyak 875 kes kanak-kanak berumur 13 hingga 18 tahun

Kes risiko tinggi (Tahap 2) baru

  1. Sebanyak 2,303 kes penderaan secara keseluruhan
  2. Sebanyak 824 kes kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun
  3. Sebanyak 834 kes kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun
  4. Sebanyak 645 kes kanak-kanak berumur 13 hingga 18 tahun

Jenis penderaan berisiko tinggi (Tahap 2)

  1. Sebanyak 1,171 kes penderaan fizikal
  2. Sebanyak 537 kes pengabaian
  3. Sebanyak 331 kes penderaan seksual
  4. Sebanyak 264 kes penderaan emosi dan psikologi

Penderaan pasangan

  1. Sebanyak 2,136 kes baru secara keseluruhan

Penderaan warga emas dan orang dewasa rentan

  1. Sebanyak 359 kes penderaan warga emas berisiko rendah dan sederhana (Tahap 1) baru
  2. Sebanyak 38 kes penderaan berisiko tinggi (Tahap 2) baru warga emas yang juga orang dewasa yang rentan

Jenis penderaan warga emas yang juga orang dewasa rentan

  1. Sebanyak 17 kes pengabaian
  2. Sebanyak 14 kes penderaan fizikal
  3. Sebanyak empat kes penderaan emosi dan psikologi
  4. Sebanyak tiga 3 kes penderaan seksual

Penderaan orang dewasa rentan bukan warga emas

  1. Sebanyak 32 kes penderaan berisiko tinggi (Tahap 2) baru
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg