Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF mohon maaf, tidak berniat tuding jari, salahkan agensi

MSF telah hubungi agensi-agensi khidmat sosial lain bagi kenal pasti semua kes penderaan kanak-kanak yang disyaki
Nov 5, 2025 | 8:53 PM
Megan Khung, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, telah didera selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia pada 2020.
Megan Khung, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, telah didera selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia pada 2020. - Foto fail

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah memohon maaf kepada Beyond Social Services (BSS) dan agensi lain atas ‘salah faham’ dalam respons awalnya terhadap kes Megan Khung.

Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee berkata demikian dalam ucapannya di Parlimen pada 5 November, menjawab beberapa soalan mengenai kes penderaan tersebut.

Ini termasuk soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou yang bertanya tentang laporan media awal mengenai kes tersebut yang seperti “menyalahkan” agensi perkhidmatan sosial yang terlibat.

Encik Cai berkata: “Berhubung dengan kes tersebut, laporan awal oleh media seolah-olah menyalahkan agensi perkhidmatan sosial.

“Selain itu, beberapa pekerja sosial turut bersuara di media sosial mengenai cara laporan itu dibuat.

“Bagaimanakah kita boleh melaporkan atau berkomunikasi dengan lebih baik apabila tragedi seperti ini berlaku, selain terus menggalakkan rasa tanggungjawab?”

Pada awal April, akhbar The Straits Times melaporkan MSF berkata laporan BSS tidak menggambarkan tahap kecederaan Megan sepenuhnya, berbanding bukti yang dikemukakan dalam dokumen mahkamah ketika ibu Megan dan pasangannya didakwa.

Ini mengakibatkan campur tangan yang tidak mencukupi oleh agensi berkaitan, tambah MSF ketika itu.

Sebagai respons, Encik Lee menegaskan bahawa tiada, dan tidak sepatutnya wujud, niat untuk menuding jari.

Namun, pada masa yang sama, orang ramai berhak mengharapkan kebertanggungjawaban dan pembentangan fakta.

“Di mana wujudnya salah faham – tentang tuduhan atau menyalahkan (mana-mana pihak) – kami telah memohon maaf kepada agensi yang berkenaan, termasuk Beyond Social Services, atas salah faham yang telah berlaku.

“Itu bukan niat kami, tetapi jika ia dianggap sedemikian, kami juga telah memohon maaf,” ujarnya.

Sementara itu, AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, juga menyoal jika MSF akan menetapkan garis masa yang jelas, mekanisme audit dan semakan, serta jangkaan untuk laporan awam.

“Ini supaya agensi-agensi dapat dipertanggungjawabkan mengikut piawaian yang konsisten, dan agar keluarga mendapatkan keyakinan dan kepercayaan, khususnya dalam kes penderaan kanak-kanak yang disyaki, supaya kes-kes tersebut tidak terlepas pandang atau tertangguh dalam proses laporan,” kata Encik Zhulkarnain.

Dalam pada itu, Encik Lee menjelaskan bahawa MSF telah mula berhubung dengan agensi-agensi perkhidmatan sosial lain yang bukan pengurus kes perlindungan kanak-kanak bagi mengenal pasti semua kes penderaan kanak-kanak yang disyaki.

Beliau berkata Perkhidmatan Perlindungan (PSV) kini menjalankan semakan amalan secara berkala bersama perunding luar untuk menilai ketepatan penilaian kes serta pematuhan terhadap protokol.

Namun, MSF merancang untuk meningkatkan kekerapan semakan tersebut, meluaskan skop audit, dan melaksanakannya menjelang 2026.

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Pekerja, Encik Andre Low, turut mengemukakan soalan mengenai usaha meningkatkan bilangan karyawan kerja sosial.

Beliau bertanya sama ada terdapat pendekatan menyeluruh pemerintah untuk menarik lebih ramai tenaga kerja sosial, termasuk melalui insentif atau menjadikan kerjaya itu lebih menarik.

Menjawab soalan itu, Encik Lee mengakui wujud risiko keletihan atau ‘burnout’ dalam kalangan pegawai.

Oleh itu, katanya, pelbagai langkah diperlukan, termasuk menjaga kebajikan pegawai, memberikan masa rehat daripada tugas barisan hadapan, sokongan kesihatan mental, serta latihan berterusan.

“Secara keseluruhan, sektor sosial masih memerlukan lebih ramai bakat, termasuk pekerja sosial, pengurus kes, kaunselor dan lain-lain,” ujar beliau.

Jumlah pegawai perlindungan kanak-kanak di CPS, kini dikenali sebagai PSV, telah meningkat dua kali ganda daripada sekitar 45 pegawai pada 2019 kepada lebih 90 pada 2024, dan angka itu terus bertambah.

Peningkatan dalam bilangan pegawai telah mengurangkan purata jumlah kes yang ditangani setiap pegawai daripada kira-kira 40 kes kepada 35 kes pada masa ini.

Kakitangan sokongan juga telah diperkenalkan untuk menangani tugas-tugas sampingan, membolehkan pegawai perlindungan untuk menumpukan perhatian kepada penyiasatan sosial dan penyeliaan.

Bagi sektor perkhidmatan sosial yang lebih luas, purata jumlah kes yang ditangani kekal stabil pada sekitar 18 hingga 21 kes bagi setiap pekerja, walaupun ia boleh merangkumi antara 12 dengan 30 kes bagi setiap pekerja bergantung pada pusat.

“Berhubung dengan kes tersebut, kes Megan, laporan awal oleh media seolah-olah menyalahkan agensi perkhidmatan sosial. Selain itu, beberapa pekerja sosial turut bersuara di media sosial mengenai cara laporan itu dibuat.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou.

“Ini supaya agensi-agensi dapat dipertanggungjawabkan mengikut piawaian yang konsisten, dan agar keluarga mendapatkan keyakinan dan kepercayaan, khususnya dalam kes penderaan kanak-kanak yang disyaki, supaya kes-kes tersebut tidak terlepas pandang atau tertangguh dalam proses laporan.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

“Adakah terdapat pendekatan keseluruhan pemerintah untuk meningkatkan jumlah karyawan kerja sosial, sama ada melalui insentif atau menjadikan kerjaya itu sesuatu yang lebih menarik untuk dipertimbangkan oleh individu?”
Anggota Parlimen (AP) Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Pekerja (WP), Encik Andre Low.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg