Lebih ramai duta akan dilantik di seluruh cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk menyokong warga emas, penjaga dan pekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental.
Duta-duta ini akan membantu menangani keperluan khusus setiap demografi penduduk dengan memberikan sokongan bersesuaian agar dapat berhubung dengan masyarakat dengan lebih baik.
Inilah antara tiga inisiatif baru yang akan dilancarkan untuk menghubungkan masyarakat serta memperluas jangkauan bagi mendekati mereka dengan lebih berkesan.
Inisiatif baru tersebut dikongsi Naib Pengerusi Kumpulan Kesihatan Mental PAP, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, di NTUC Centre @ One Marina Boulevard.
Lokasi ini menjadi ruang bagi Kumpulan Kesihatan Mental PAP memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia, pada 10 Oktober, dengan kehadiran pengerusi kumpulan itu, Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, selaku tetamu terhormat.
Dr Wan Rizal yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, berkata:
“Duta-duta ini akan mempunyai pemahaman yang mendalam tentang kesihatan mental yang penting, memandangkan isu ini rumit.
“Isu kesihatan mental tidak dapat ditangani sepenuhnya, hanya dalam satu sesi bertemu penduduk.
“Di sinilah sokongan tambahan daripada duta-duta ini akan meningkatkan usaha kami untuk memberi khidmat lebih baik kepada penduduk.”
Melalui pertemuan dengan duta-duta yang terdiri daripada aktivis dan sukarelawan, masalah kesihatan mental dapat diketengahkan dengan lebih berkesan terutama sekali dalam kalangan warga emas.
“Golongan belia lebih peka terhadap isu kesihatan mental dan lebih bersedia untuk tampil ke hadapan.
“Sebaliknya, golongan warga emas menghadapi kesukaran untuk merapatkan jurang tersebut,” jelas beliau yang turut menekankan bahawa tumpuan bukan hanya pada golongan belia tetapi semua lapisan masyarakat.
“Kita ada golongan warga emas, penjaga dan pekerja yang mempunyai cabaran di tempat kerja.
“Lantas, peranan kami adalah untuk memastikan sokongan yang diperlukan untuk setiap orang disalurkan dengan betul dan bermanfaat,” tambah Dr Wan Rizal.
Dr Janil turut menekankan keperluan mendekati golongan warga emas yang mempunyai isu kesihatan mental, dan “cara memulakan perbualan tentang kesihatan mental” sebagai salah satu cabaran terbesar.
Lantas, inisiatif bagi membiasakan perbualan mengenai isu kesihatan mental juga akan kerap dijalankan, dengan tujuan menyelesakan perbualan bersama warga senja yang tidak berbahasa Inggeris.
“Perbualan tentang kesihatan mental juga sering didominasi golongan yang berbahasa Inggeris dan dalam kalangan belia, terutama di ruang dalam talian,” ujar Dr Janil.
Menurut Dr Wan Rizal, lebih banyak dialog akan diadakan dengan anggota masyarakat dengan dialog sedemikian dapat membantu mengupas isu-isu yang mereka hadapi.
Di samping itu, Kumpulan Kesihatan Mental PAP bakal menyertai lawatan ke 13 kumpulan kerja masyarakat dengan tujuan “memahami cabaran yang wujud dalam kalangan masyarakat dengan lebih baik dan meneroka cara untuk saling menyokong dan memperluas sokongan yang ditawarkan setiap kumpulan.”
Annabelle Psychology, Calm Collective Asia, Reben Perak Singapura dan Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH) adalah antara 13 kumpulan kerja masyarakat Kumpulan Kesihatan Mental PAP.
Dengan kesemua inisiatif bertujuan meningkatkan keupayaan setiap cawangan PAP dan mengukuhkan keseluruhan ekosistem kesihatan mental, Dr Wan Rizal menganggarkan inisiatif ini dilancarkan pada 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg