Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjaga, karyawan bincang isu kesihatan mental di sidang Kelab Heal

Oct 10, 2024 | 5:18 PM
Kelab Heal menganjurkan Persidangan Penyembuhan dan Pemulihan yang dirasmikan oleh Puan Halimah Yacob (tengah) bersama Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan (kiri) dan pengasasnya, Dr Radiah Salim (kanan).
Kelab Heal menganjurkan Persidangan Penyembuhan dan Pemulihan yang dirasmikan oleh Puan Halimah Yacob (tengah) bersama Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan (kiri) dan pengasasnya, Dr Radiah Salim (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Karyawan kesihatan mental, pengamal, penjaga, pelajar dan individu yang menghadapi isu kesihatan mental berkumpul bersama pada 10 Oktober untuk mengadakan perbincangan terbuka dan berkongsi pengetahuan pada Persidangan Penyembuhan dan Pemulihan sulung Kelab Heal pada 10 Oktober.

Kelab Heal adalah sebuah organisasi kebajikan sukarela dan tidak meraih untung yang didaftar sejak 2012, berdedikasi untuk memperkasakan individu yang mempunyai keadaan kesihatan mental dan menyokong penyepaduan semula mereka ke dalam komuniti.

Persidangan sehari yang dirasmikan oleh mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang kini Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), itu diadakan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia dan bertujuan memajukan landskap kesihatan mental di negara ini.

Dalam ucapannya kepada lebih 250 peserta di dewan Institusi Lifelong Learning, Puan Halimah berkata beliau bukan sahaja teruja dengan kekuatan komuniti kesihatan mental, malah daya tahan mereka yang telah memulakan perjalanan pemulihan.

“Sedang kami mengukuhkan pergerakan ini, adalah mustahak untuk mengiktiraf peranan penting penjaga dalam proses penyembuhan dan pemulihan.

“Program yang menyediakan sokongan, pendidikan, dan sesi rehat untuk penjaga diperlukan untuk memastikan pemulihan holistik bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

“Dengan mempertingkatkan sistem sokongan penjaga, kita boleh mengukuhkan asas pemulihan, ketika penjaga sendiri dilengkapi dengan sumber dan pemahaman yang diperlukan untuk memupuk penyembuhan,” jelas Puan Halimah.

Menurut Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi, ini adalah kali pertama persidangan seperti itu diadakan untuk membawa komuniti kesihatan mental di bawah satu bumbung, dan masanya memang sesuai.

“Inisiatif ini merupakan peralihan yang penting bagi kami sebagai sebuah organisasi.

“Kelab Heal berada dalam bidang kesihatan mental selama 12 tahun, menyediakan kaunseling penting, sokongan penyepaduan semula dan jangkauan komuniti untuk individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental.

“Kami beruntung mendapat kerjasama rakan kongsi korporat untuk menjalankan ceramah dan latihan, meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental dan mempromosikan persekitaran yang saling menyokong di tempat kerja,” kata beliau.

Dr Khairul menambah, misi teras Kelab Heal dalam penjagaan kesihatan mental adalah memperbetul anggapan masyarakat tentang stigma berkaitan dengan kesihatan mental.

Memberikan peluang kepada pesakit kesakitan mental menyumbang semula sebagai pekerja atau sukarelawan adalah antara cara Kelab Heal memperkasa mereka, kata Dr Radiah Salim, pengasas dan mantan presiden Kelab Heal.

“Sejak mula lagi, Kelab Heal memberi fokus pada pembangunan – kesihatan mental, penjaga dan masyarakat – mereka yang pernah jadi klien kami, sudah dapat menyumbang dalam kapasiti yang sama.

“Ini penting untuk pembangunan mereka dan juga pesakit lain kerana mereka lebih memahami cara mengatasi isu-isu yang dihadapi pesakit lain,” ujar Dr Radiah.

Seorang pekerja tetap atau Pakar Sokongan Rakan Sebaya Kelab Heal, Encik Muhammad Siddiq Jumala, 34 tahun, berkata beliau adalah antara pesakit yang pernah mengalami gangguan mental semasa umurnya 26 tahun.

Puan Halimah Yacob yang hadir untuk merasmikan Persidangan Penyembuhan dan Pemulihan anjuran Kelab Heal, sedang melawat antara lapan reruai yang ada di persidangan itu pada 10 Oktober. Bersama beliau, Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan (dua dari kanan).
Puan Halimah Yacob yang hadir untuk merasmikan Persidangan Penyembuhan dan Pemulihan anjuran Kelab Heal, sedang melawat antara lapan reruai yang ada di persidangan itu pada 10 Oktober. Bersama beliau, Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan (dua dari kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau, yang sudah menjalani pemulihan dan kini membantu pesakit lain, berkata:

“Saya masih dalam pemulihan, kerana saya rasa pemulihan itu adalah satu perjalanan seumur hidup. Ada banyak sokongan yang saya dapat rasakan di sini, dan dengan pengalaman saya sendiri, saya gunakan ia untuk membantu orang lain yang dalam situasi yang sama.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg