Terdapat lonjakan dalam bilangan golongan muda yang ditahan di Penjara Changi kerana terlibat dalam kegiatan kongsi gelap, di bawah undang-undang yang membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara.
Angka daripada Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) menunjukkan seramai 65 individu berusia 29 tahun dan ke bawah ditahan di bawah Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara) (CLTPA) pada 31 Disember 2024, dengan lapan antara mereka adalah remaja.
Terdapat 46 tahanan berusia 29 tahun dan ke bawah pada 2023, dan 45 tahanan pada 2022.
Dalam ketiga-tiga tahun tersebut, sebilangan besar banduan ditahan kerana terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.
CLTPA dikuatkuasakan untuk jenayah serius apabila pendakwaan tidak boleh dilakukan, seperti apabila saksi enggan memberi keterangan di mahkamah kerana takut akan ancaman tindakan balas.
Di bawah Akta ini, Menteri Ehwal Dalam Negeri boleh menahan atau meletakkan seseorang di bawah pengawasan polis, jika mereka terlibat dalam kegiatan jenayah seperti kongsi gelap, pinjaman wang tanpa lesen, pengedaran dadah, penculikan dan jenayah terancang, jelas jurucakap polis kepada The Straits Times (ST).
Individu tersebut boleh ditahan sehingga 12 bulan dan Perintah Tahanan (DO) hanya boleh dibenarkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri untuk menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam, dengan penguatkuasaan di bawah Akta ini digunakan hanya apabila diperlukan.
“Pendekatan kami dalam menangani (kegiatan kongsi gelap) termasuk penguatkuasaan di bawah Kanun Keseksaan, serta usaha mendekati belia berisiko dan CLTPA hanya digunakan sebagai usaha terakhir.
“CLTPA adalah undang-undang penting bagi polis untuk menangani kegiatan jenayah serius yang mengancam keselamatan dan keamanan di Singapura, namun tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh rangka kerja jenayah biasa, khususnya kegiatan samseng dan kongsi gelap,” kata jurucakap polis.
Dari 2022 hingga 2024, lebih daripada 1,300 anggota yang disyaki terlibat dalam pertubuhan haram telah ditahan.
Sehingga 31 Disember 2024, terdapat 100 tahanan di bawah CLTPA daripada pelbagai peringkat umur, dengan 99 individu ditahan kerana kegiatan kongsi gelap.
Menurut polis, kurang daripada 10 individu yang berumur 19 tahun dan ke bawah ditahan di bawah Akta tersebut sepanjang tiga tahun lalu.
Polis memantau kegiatan samseng dalam kalangan belia dengan teliti, disertai dengan pendidikan pencegahan untuk menghalang golongan belia daripada terlibat dalam kegiatan samseng, kata jurucakap polis.
Manakala bagi belia yang telah terjerumus dalam kegiatan samseng, polis mengadakan inisiatif pemulihan seperti Program ‘Streetwise’.
Namun, bagi mereka yang telah melakukan kesalahan jenayah serius dan melibatkan kegiatan kongsi gelap, polis berkata mereka akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Polis menambah terdapat langkah keselamatan untuk memastikan CLTPA digunakan dengan saksama.
Sebagai contoh, persetujuan pendakwa raya mesti diperoleh sebelum DO dikeluarkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Setiap perintah juga perlu disemak oleh sebuah jawatankuasa penasihat bebas, yang dipengerusikan oleh seorang hakim daripada Mahkamah Agung dan terdiri daripada ahli masyarakat terkemuka seperti peguam kanan, kata jurucakap polis.
Pada 2024, CLTPA dilanjutkan selama lima tahun lagi oleh Parlimen, kali ke-15 selepas ia dilaksanakan pada 1955 untuk menangani masalah samseng di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg