Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai guru prasekolah kini ikuti latihan tingkat kemahiran

Langkah bagi pastikan golongan itu bersedia sokong kanak-kanak kecil berkeperluan khas, pelajari cara urus bilik darjah
Sep 12, 2024 | 12:13 PM
Pendidik Sokongan Pembelajaran, Cik Annie Lim, mengajar murid di PCF Sparkletots @ Braddell Heights pada 3 September.
Pendidik Sokongan Pembelajaran, Cik Annie Lim, mengajar murid di PCF Sparkletots @ Braddell Heights pada 3 September. - Foto ST

Lebih ramai guru prasekolah kini menjalani latihan agar lebih bersedia menyokong kanak-kanak kecil berkeperluan khas atau mempelajari pengurusan bilik darjah. 

Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak (NIEC) berkata bilangan guru prasekolah yang menghadiri kursus untuk meningkatkan kemahiran semasa bekerja meningkat lebih dua kali ganda.

Daripada 2,400 pelajar pada 2019, bilangan mereka yang mendaftar dalam kursus untuk pendidik sedia ada dalam sektor itu melonjak kepada 6,200 pada 2023.

Kursus itu merangkumi bidang seperti kepimpinan, pembelajaran luar dan keperluan khas dan kebanyakannya dijalankan di Kampus NIEC City di Bras Basah, serta Politeknik Ngee Ann dan Politeknik Temasek.

NIEC menerima 2,500 pelajar setiap tahun ke dalam kursus kelayakan diploma sepenuh masa dan dua pertiga daripada mereka adalah baharu dalam sektor tersebut.

Secara khusus, institut itu menyaksikan peningkatan minat bagi mengajar anak kecil, daripada peringkat bayi hingga umur tiga tahun.

Pada separuh pertama 2024, pengambilan pelajar meningkat 20 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Peluang latihan itu adalah sebahagian daripada usaha Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) untuk menarik dan mengekalkan bakat dalam sektor tersebut.

Ia susulan langkahnya menambah pengambilan guru bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di prasekolah.

Ini termasuk menaikkan gaji dan membimbing pendidik dalam melakarkan perkembangan kerjaya mereka, lapor The Straits Times (ST).

Cik Annie Lim, 36 tahun, seorang pendidik sokongan pembelajaran dengan pengendali prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF), mengambil diploma kepakaran NIEC dalam sokongan pembelajaran awal kanak-kanak pada September 2023.

“Campur tangan awal adalah penting. Anda boleh melihat perbezaan antara seorang kanak-kanak yang telah menghadiri prasekolah dengan seorang yang tidak, dan juga seorang kanak-kanak yang mendapat sokongan di peringkat prasekolah dan seorang yang tidak,” kata Cik Lim.

“Dalam soal menyokong kanak-kanak, adalah baik untuk mempunyai banyak alat kerana setiap kanak-kanak itu berbeza... Maka penting untuk melengkapkan diri dengan kemahiran dan strategi terkini,” tambah beliau.

Seorang lagi pendidik, Cik Christine St Knight, 30 tahun, menempuh laluan panjang selepas menamatkan pengajian di Politeknik Nanyang pada 2019 bagi memenuhi impiannya menyertai sektor prasekolah.

Pendidik bayi, Cik Christine St Knight, melibatkan bayi dalam masa bermain di PCF Sparkletots @ 337 Canberra pada 4 September 2024.
Pendidik bayi, Cik Christine St Knight, melibatkan bayi dalam masa bermain di PCF Sparkletots @ 337 Canberra pada 4 September 2024. - Foto ST

Beliau memohon pekerjaan di banyak prasekolah dan akhirnya diberi peluang menjadi penolong guru di prasekolah PCF Sparkletots di Jurong.

Semasa di sana, beliau mendaftar bagi sijil lanjutan NIEC supaya boleh menjadi pendidik tahun awal sepenuhnya.

“Semasa kursus itu, saya belajar cara memerhati kanak-kanak, menyediakan kegiatan yang sesuai dengan peringkat umur mereka dan juga menggunakan teknik yang betul semasa penjagaan rutin,” katanya.

Cik Jasawant Kaur, 54 tahun, pengetua pusat kanan prasekolah, berkata interaksi antara pemimpin pusat dengan pendidik adalah kunci dalam memahami peranan dan aspirasi guru.

Seorang lagi pengetua pusat dari ACE @ Work Childcare, Cik Kurtrina Foo, 28 tahun, berkata adalah penting untuk mewujudkan budaya menyokong dalam kalangan pendidik bagi pengendali prasekolah yang lebih kecil.

Dengan itu, kakitangan boleh saling membantu apabila ada yang mengikuti kursus pembangunan profesional.

Beliau menambah bahawa perancangan lebih awal perlu untuk menampung jadual guru dan mengadakan bengkel atau program latihan dalaman yang boleh memberi manfaat kepada semua pendidik di pusat itu dan bukannya hanya bergantung kepada latihan luar.

“(Dengan cara ini), semuanya berlaku dalam waktu kerja yang dijadualkan, supaya guru kami tidak akan berasa terlalu tertekan,” kata Cik Foo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg