Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai mangsa keganasan seksual dapat bantuan, sokongan dipertingkat

Mangsa diberi keutamaan di balai polis, sokongan emosi lebih baik semasa siasatan, layanan lebih berhati-hati di mahkamah
Feb 9, 2025 | 7:23 PM
Lebih ramai mangsa kes keganasan seksual kini tampil mendapatkan bantuan, dengan Talian Bantuan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual Kebangsaan menerima sekitar 11,600 panggilan pada 2023, meningkat daripada 10,800 panggilan pada 2022 dan 8,400 pada 2021.
Lebih ramai mangsa kes keganasan seksual kini tampil mendapatkan bantuan, dengan Talian Bantuan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual Kebangsaan menerima sekitar 11,600 panggilan pada 2023, meningkat daripada 10,800 panggilan pada 2022 dan 8,400 pada 2021. - Foto ST

Mangsa keganasan seksual kini mendapat lebih banyak sokongan, dengan pelbagai agensi berusaha menghapuskan halangan bagi mereka melaporkan jenayah sedemikian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mangsa yang melaporkan kes mereka kini mempunyai keutamaan di balai polis, sokongan emosi yang lebih baik semasa siasatan, dan layanan lebih berhati-hati di mahkamah, menyusuli langkah baru yang diumumkan pada Januari untuk melindungi mereka daripada soalan yang tidak wajar.

Lebih ramai orang juga mencari bantuan.

Perangkaan terkini daripada pihak berkuasa menunjukkan Talian Bantuan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual Kebangsaan menerima sekitar 11,600 panggilan pada 2023, meningkat daripada 10,800 panggilan pada 2022 dan 8,400 pada 2021, menurut laporan The Straits Times.

Talian bantuan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Talian Bantuan Anti-Keganasan Kebangsaan, telah dinamakan semula pada 2022 untuk lebih mencerminkan fungsinya dalam menyokong orang yang mengalami sebarang bentuk keganasan, termasuk kesalahan seksual.

Antara Januari 2018 dengan November 2022, terdapat 11,868 laporan serangan seksual di Singapura, dengan angka berlegar antara 2,200 dengan 2,400 setiap tahun.

Ini termasuk kes rogol, serangan seksual melalui penetrasi, pencabulan kehormatan, dan jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak dan mangsa yang mudah terdedah pada bahaya.

Program Pemulihan Serangan Seksual di bawah Care Corner Project StART, yang bermula pada 2021, membantu purata 40 orang setiap tahun.

Cik Faith Lee, penolong ketua Care Corner Project StART, berkata terdapat peningkatan dalam bilangan klien yang tampil untuk mendapatkan bantuan.

Selain rujukan daripada polis, Care Corner telah menyaksikan peningkatan bilangan rujukan diri yang meminta sokongan emosi untuk memproses kejadian serangan seksual masa lalu, serta lebih ramai klien yang mendapatkan bantuan pada peringkat awal.

“Kami fikir ini boleh dikaitkan dengan peningkatan dalam kesedaran tentang kepentingan campur tangan dan sokongan yang tepat pada masanya,” kata Cik Lee.

Sejak Januari 2023, tiga Pusat Pakar Perlindungan, yang sebelum ini berkhidmat terutamanya untuk kes keganasan keluarga, telah dimanfaatkan untuk menyediakan sokongan sosial dan emosi bagi mangsa yang terselamat daripada semua bentuk keganasan seksual.

Pusat tersebut dikendalikan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Pada April 2023, polis membentuk Komand Jenayah Seksual dan Keganasan Keluarga untuk meningkatkan standard siasatan dan menyediakan pengawasan yang lebih baik terhadap pengurusan kes jenayah seksual dan keganasan keluarga.

Mangsa jenayah seksual diberikan keutamaan apabila membuat laporan di pusat polis kejiranan, dan juga diberi ruang privet semasa temu duga.

Mangsa jenayah seksual juga ditawarkan perkhidmatan Pegawai Penjagaan Mangsa, yang memberikan sokongan emosi dan praktikal sepanjang proses keadilan jenayah.

Pasukan itu telah berkembang daripada 11 pegawai pada 2014 kepada sekitar 250 sejauh ini, kata Pasukan Polis Singapura (SPF).

Sejak Januari 2023, polis juga telah bekerjasama dengan SG Her Empowerment (SHE) untuk menyokong mangsa jenayah seksual dengan lebih baik.

Apabila mangsa jenayah seksual serius tertentu pergi ke pusat SheCares@SCWO untuk mendapatkan bantuan dalam membuat laporan, pegawai polis akan pergi ke sana bagi melakukan temu duga, demi mengelakkan ketidakselesaan dan kesulitan bagi mangsa.

Dalam langkah selanjutnya, mahkamah Singapura pada 13 Januari telah melaksanakan langkah baru yang bertujuan melindungi pengadu kesalahan seksual daripada soal siasat yang tidak wajar.

Ini menyusuli kenyataan Ketua Hakim Sundaresh Menon sebelum ini mengenai keperluan bagi hakim mengambil peranan penyeliaan yang lebih aktif dalam menguruskan kes sedemikian.

Di bawah langkah baru itu, badan kehakiman akan menggunakan senarai semak di peringkat praperbicaraan untuk membantu mengenal pasti sebarang isu perbalahan yang mungkin akan diterokai dalam pemeriksaan balas.

Ini akan membolehkan hakim untuk tidak membenarkan soalan yang tidak relevan atau menghina pengadu semasa perbicaraan.

Kes-kes yang melibatkan kesalahan seksual tertentu akan didengar oleh senarai hakim yang berpengalaman dan terlatih khas.

Pengerusi SHE, Cik Stefanie Yuen-Thio, berkata selain membawa kepakaran yang lebih diperlukan dalam mengendalikan kes traumatik seperti itu, tindakan mahkamah itu memberi isyarat kuat bahawa kes keganasan seksual adalah unik dan memerlukan pertimbangan kehakiman yang berbeza.

“Sebagai contoh, mangsa keganasan seksual mungkin tertanya-tanya sama ada mereka harus menyalahkan diri sendiri dan berasa malu, yang mungkin memberi kesan kepada cara mereka menjawab soalan dan menjejas kredibiliti mereka. Trauma itu juga boleh menjejas ingatan mereka,” kata beliau.

Talian Bantuan

  1. Talian bantuan Institut Kesihatan Mental: 6389-2222 (24 jam)
  2. Samaritans of Singapore: 1-767 (24 jam) / 9151-1767 (24 jam CareText melalui WhatsApp)
  3. Talian bantuan wanita (Aware): 1800-777-5555 (Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 6 petang)
  4. Pusat Kaunseling Care Corner: 6353-1180
  5. Touchline (Kaunseling): 1800-377-2252
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg