Semakin ramai belia berisiko yang meninggalkan alam persekolahan lebih awal telah merujuk kepada pertubuhan masyarakat yang menawarkan laluan alternatif untuk melanjutkan pengajian.

Belia berusia antara 16 dengan 21 tahun tersebut mendapatkan peluang kedua menerusi pertubuhan masyarakat bukan mencari untung seperti Starfish Singapore dan Impart Singapore.

Kedua-dua pertubuhan itu menyediakan sesi pembelajaran akademik secara tersusun dan berkala khusus untuk belia yang meninggalkan sistem pendidikan aliran utama, dengan matlamat membantu mereka menduduki peperiksaan nasional.

Ketika ditemui Berita Harian di hab perusahaan sosial, The Foundry, pada 28 Oktober, Pengasas Bersama Starfish, Cik Yariyati Mohamed, 53 tahun, mendedahkan pertubuhannya kini membantu 60 pelajar pada 2026 berbanding hanya sekitar 20 sedekad lalu.

Meskipun Starfish telah menerima sekitar 90 hingga 100 permohonan setiap tahun, Cik Yariyati berkongsi mereka perlu memilih pelajar yang menunjukkan ketulusan dan keinginan untuk mengubah nasib diri sendiri.

“Jika kami mendapati seseorang itu hanya memohon kerana diminta oleh pihak lain untuk mencuba program ini, tanpa menunjukkan komitmen yang tulus, kami mungkin tidak akan menerimanya.

“Kami mahu pemohon yang sedar bahawa mereka berdepan cabaran, tetapi mempunyai motivasi untuk mencuba dan bersedia menerima sokongan.

“Mereka perlu menunjukkan kesungguhan itu semasa sesi temu duga,” jelas Cik Yariyati, seorang guru Matematik yang mengajar di sebuah sekolah swasta di Singapura.

Menurutnya, antara faktor belia berhenti sekolah ialah masalah kewangan yang memaksa mereka mencari pendapatan bagi menyara keluarga.

Sejak kebelakangan ini, ujar beliau, isu kesihatan mental seperti keresahan sosial turut menjadi hambatan bagi pelajar untuk terus kekal dalam institusi pendidikan sepenuh masa.

Pertubuhan Starfish, yang ditubuhkan bersama oleh Cik Yariyati dan dua rakan pengasas, Encik Andrew Schauf, dan Cik Ritu Manchanda, pada 2015, menjadi satu pilihan tambahan bagi pelajar yang memerlukan bantuan pendidikan dalam persekitaran berbeza.

Di bawah ‘Projek Starfish’ program utama pertubuhan itu, kelas diadakan setiap Isnin dari 9.30 pagi hingga 3 petang selama 10 bulan.

Pelajar akan mengikuti kurikulum tersusun yang merangkumi asas pembelajaran dari Menengah 1 hingga Menengah 4, di samping menerima sokongan seperti bantuan pendaftaran peperiksaan, buku penilaian percuma dan sesi konsultasi tambahan.

Daripada 60 pelajar yang mengikuti program itu, lebih 95 peratus menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’.

Sepertiga berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), sepertiga melangkah ke alam pekerjaan manakala bakinya mungkin menjalani Perkhidmatan Negara (NS) atau memilih mendapatkan pendidikan swasta, kata Cik Yariyati.

Dalam pada itu, latar belakang pelajar yang mendapatkan bantuan daripada Impart adalah serupa dengan mereka yang menghampiri Starfish.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Impart, Encik Narasimman Tivasiha Mani, berkata:

“Sejak lima tahun lalu, kami melihat peningkatan jumlah belia yang mengalami pengasingan sosial sehingga mereka menarik diri daripada sistem persekolahan dan perkhidmatan aliran utama.”

“Antara punca awal yang lazim termasuk pengalaman buruk di sekolah seperti dibuli dan dipinggirkan, tekanan akademik yang amat tinggi, cabaran kesihatan mental, keresahan sosial serta ketidakstabilan suasana di rumah atau kewangan keluarga.”

Pada 2026, sebanyak 88 peratus daripada belia yang mengikuti cabang pendidikan Impart berjaya menduduki peperiksaan nasional.

Baki 12 peratus itu bakal mendudukinya pada 2027, kata Encik Narasimman.

Cabang pendidikan Impart melibatkan beberapa program seperti sesi pembelajaran berkumpulan yang dikendalikan oleh tutor atau sukarelawan, sesi pembelajaran secara individu yang dikendalikan oleh sukarelawan, pengurusan kes dan penjagaan holistik di luar bilik darjah, dan pengalaman pembelajaran.

“Dengan adanya lebih banyak laluan pendidikan alternatif, termasuk laluan vokasional yang lebih sesuai dengan keupayaan mereka, belia yang kurang sesuai dengan sistem pendidikan aliran utama mungkin mempunyai lebih banyak peluang untuk mencapai kejayaan, membina keyakinan diri dan menyemarakkan semula minat mereka terhadap pembelajaran,” tambah beliau.

Pakar yang dihubungi BH menyatakan bahawa kelayakan formal kekal penting sebagai tanda ukur penguasaan ilmu, namun ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya kayu ukur bagi menilai kemajuan individu.

Naib Provos Bersekutu untuk Pembelajaran Melibatkan Masyarakat di Institut Teknologi Singapura (SIT), Profesor Madya Dr Intan Azura Mokhtar, berkata laluan alternatif wajar membawa kepada kemahiran yang diiktiraf serta boleh dimanfaatkan.

Dr Intan menambah, kemahiran amali, pembelajaran berasaskan tempat kerja dan pengalaman berteraskan masyarakat perlu diiktiraf menerusi laluan yang sentiasa terhubung dengan peluang melanjutkan pengajian serta peningkatan kemahiran.

Menurutnya, pertubuhan masyarakat sering berjaya mendekati golongan belia kerana mereka dapat menyesuaikan pendekatan dengan lebih fleksibel, mengutamakan hubungan peribadi serta mengambil kira latar belakang dan keadaan setiap individu, berbanding sistem formal.

Selain itu, Zamil Penyelidik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Norazrina Mustafa, berkata bagi pelajar yang tercicir daripada pendidikan formal, adalah penting untuk menjadikan pembelajaran lebih bermanfaat untuk diri mereka.

Ini dapat dilakukan dengan menyediakan laluan yang mudah diakses dan lebih fleksibel.

Laluan ini perlu mengambil kira tanggungjawab lain dalam kehidupan mereka, di samping menunjukkan dengan lebih jelas bagaimana peluang pembelajaran dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan minat dan azam masing-masing.

“

“Jika kami mendapati seseorang itu hanya memohon kerana diminta oleh pihak lain untuk mencuba program ini, tanpa menunjukkan komitmen yang tulus, kami mungkin tidak akan menerimanya. Kami mahu pemohon yang sedar bahawa mereka berdepan cabaran, tetapi mempunyai motivasi untuk mencuba dan bersedia menerima sokongan.”
Cik Yariyati Mohamed, Pengasas Bersama Starfish Singapore.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti