Sejak lorong imigresen automatik diperkenalkan untuk semua warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Changi pada Mei, terdapat peratusan lebih tinggi pelawat tidak dibenarkan masuk ke Singapura.
Dengan pelepasan imigresen automatik, pemeriksaan dilakukan lebih awal dan teknologi boleh digunakan secara lebih meluas, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.
Cik Sun berkata demikian semasa menjawab soalan parlimen daripada Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, pada 9 September, lapor The Straits Times (ST).
Encik Leong telah bertanya sama ada kemudahan lorong automatik untuk semua warga asing di Lapangan Terbang Changi telah meningkatkan risiko mereka yang bukan pelawat tulen memasuki Singapura.
Dalam jawapannya, Cik Sun berkata sistem baru itu telah menyebabkan peratusan lebih tinggi dalam kalangan pengembara yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura, namun beliau tidak memberi angka tepat.
Awal dari itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam berkata di Parlimen bahawa setiap bulan, sekitar 2,500 pelawat yang tiba di pusat pemeriksaan Singapura tidak dibenarkan masuk atas pelbagai sebab.
Encik Shanmugam menjawab soalan parlimen mengenai langkah keselamatan sempadan Singapura, menyusuli kes melibatkan pendakwah pelampau Bangladesh, Amir Hamza, yang memasuki negara ini secara haram.
Amir memasuki Singapura pada 9 Ogos dan menyampaikan ceramah kepada pekerja asing di sebuah dormitori tanpa permit.
Menurut Cik Sun, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menggunakan maklumat penumpang yang diserahkan oleh syarikat penerbangan untuk menjalankan analisis data dan penilaian risiko terhadap pelawat, sebelum mereka tiba di Singapura.
Semua pelawat yang tiba akan diperiksa berdasarkan satu senarai pemantauan orang yang berkepentingan, selain senarai mereka yang dikesan oleh ICA sebagai berisiko lebih tinggi.
Pelawat sedemikian kemudian perlu jalani pemeriksaan lebih ketat.
Lorong automatik ICA juga gunakan sistem pengenalan biometrik, kata Cik Sun.
“Pelawat berulang, termasuk mereka yang pernah melakukan jenayah di Singapura, yang cuba masuk dengan menggunakan identiti berbeza, akan dikesan oleh pangkalan data biometrik ini, kerana data biometrik mereka sudah didaftar semasa lawatan mereka sebelum ini,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg