Lebih sepertiga pendidik prasekolah yang ditinjau di Singapura berkata mereka tidak pernah menerima sebarang latihan formal dalam bidang perlindungan kanak-kanak.
Mereka yang ditinjau turut melaporkan tahap keyakinan rendah dan pengetahuan yang berbeza dalam mengendali kes penderaan yang disyaki.
Demikian menurut hasil tinjauan yang dikeluarkan Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS), pada 26 November.
Namun, hampir semua pendidik prasekolah yang ditinjau (97.8 peratus) mengetahui mereka perlu menyuarakan sebarang keraguan mengenai kes penderaan yang disyaki kepada penyelia mereka, meskipun ia belum disahkan.
Saranan bagi memperbaiki sistem perlindungan kanak-kanak di Singapura telah dikeluarkan pada Oktober oleh panel semakan yang dilantik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) susulan kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung, akibat penderaan.
Salah satu saranan adalah menyemak semula peranan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) dalam melaporkan kes penderaan kanak-kanak yang disyaki atau sebenar, termasuk kejadian yang berlaku di luar prasekolah.
SCS meninjau lebih 350 pendidik prasekolah antara Disember 2024 dengan Jun 2025, lapor The Straits Times (ST).
Tinjauan itu mendapati 34.7 peratus daripada pendidik berkata mereka tidak pernah menerima latihan formal dalam perlindungan kanak-kanak.
Baki responden pula berkata topik itu dibincangkan semasa latihan sebelum mereka menyertai sektor berkenaan, atau semasa melalui kursus pembangunan profesional berterusan.
Dengan kadar kemasukan prasekolah yang tinggi di Singapura, pendidik prasekolah berada di barisan hadapan untuk mengenal pasti serta melaporkan tanda-tanda penderaan dan pengabaian pada kanak-kanak kecil, kata SCS dalam kenyataan pada 26 November.
SCS turut menekankan kepentingan memberi sokongan kepada pendidik prasekolah bagi memperkukuh kemahiran dan keyakinan mereka dalam menjalankan tugas di barisan hadapan berkaitan kes penderaan.
Persatuan itu pernah menjalankan tinjauan serupa pada 2017 dengan 336 responden.
Tinjauan itu mendapati peratusan pendidik yang telah mengikuti latihan berkaitan perlindungan kanak-kanak sebelum mula berkhidmat turun daripada 63.4 peratus pada 2017 kepada 52.9 peratus pada 2025.
Dalam tinjauan 2025, responden umumnya melaporkan tahap keyakinan rendah dalam menghadapi semua jenis penderaan.
Berdasarkan skala daripada sifar (tiada keyakinan langsung) hingga lima (sangat yakin), mata purata berada dalam lingkungan 2.9 hingga 3.29, meningkat sedikit berbanding tinjauan pada 2017 yang mencatat purata antara 2.73 dengan 3.17.
Dalam tinjauan 2025, pendidik prasekolah turut menunjukkan tahap pengetahuan berbeza dalam mengurus kes penderaan yang disyaki.
Namun, kurang daripada separuh (47.9 peratus) mengetahui mereka tidak seharusnya memaklumkan kepada ibu bapa kanak-kanak mengenai kes penderaan seksual yang disyaki sebelum melaporkannya kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS).
Baki 52.1 peratus memberi jawapan salah, dengan berkata mereka akan memberitahu ibu bapa terlebih dahulu sebelum membuat laporan.
Menurut garis panduan MSF, ibu bapa tidak seharusnya dimaklumkan terlalu awal mengenai kes penderaan seksual yang disyaki.
Ini kerana isu penderaan seksual dianggap isu tabu dan wujud risiko ibu bapa menyuruh anak-anak mereka mengubah cerita tentang kejadian sebenar.
Apabila ditanya tentang apakah yang boleh meningkatkan keyakinan mereka dalam menangani isu perlindungan kanak-kanak, responden mencadangkan agar kandungan perlindungan kanak-kanak dimasukkan sebagai sebahagian daripada latihan penyesuaian tugas.
Mereka turut berkata pendidik perlu menerima latihan dalam perlindungan kanak-kanak setiap beberapa tahun.
Selain itu, penyelia prasekolah yang menyokong dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak turut membantu dalam meningkatkan keyakinan pendidik, tambah mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg