Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai warga emas terabai di S’pura pada 2024

Dec 10, 2025 | 10:00 AM
Sebanyak 359 kes penderaan warga emas dengan risiko keselamatan rendah atau sederhana (Tahap 1) dilaporkan pada 2024.
Sebanyak 359 kes penderaan warga emas dengan risiko keselamatan rendah atau sederhana (Tahap 1) dilaporkan pada 2024. - Foto fail

Lebih ramai warga emas di Singapura didapati tidak menerima makanan yang mencukupi, rawatan perubatan, atau keperluan asas lain pada 2024, lapor Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Keadaan itu disebabkan oleh peningkatan kes warga emas terabai, yang dianggap sebagai sejenis penderaan paling lazim berlaku dalam kes penderaan berisiko tinggi baru, yang meningkat daripada 16 kes pada 2023 kepada 17 kes pada 2024.

Namun, Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga MSF yang dikeluarkan pada 10 Disember, mendedahkan bilangan kes penderaan berisiko tinggi atau Tahap 2 telah merosot kepada 38 kes, berbanding 42 kes pada 2023.

Kes Tahap 1 merujuk kepada kes keganasan atau penderaan keluarga berisiko rendah hingga sederhana di Singapura, yang diuruskan oleh agensi komuniti seperti Pusat Khidmat Keluarga, berbeza daripada kes Tahap 2 berisiko tinggi yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak/Dewasa MSF/

Kes Tahap 1 biasanya melibatkan kejadian yang kurang teruk seperti penderaan lisan. Kes-kes ini melibatkan kebimbangan keselamatan yang rendah dan boleh ditangani menerusi campur tangan awal, yang dapat mencegah ia menjadi penderaan fizikal yang teruk.

Dalam hal warga emas ini, pengabaian boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti kegagalan penjaga menyediakan makanan, rawatan perubatan, pakaian atau keperluan lain yang mencukupi, sehingga menjejas kesejahteraan fizikal dan/atau mental orang dewasa yang rentan itu.

Memberi contoh, MSF menerangkan kes Peringkat 2 itu boleh melibatkan penjaga menyebabkan kecederaan fizikal yang serius terhadap warga emas seperti patah tulang, melecur atau kecederaan kepala.

MSF turut menjelaskan sebahagian warga emas berusia 65 tahun dan ke atas boleh dianggap sebagai orang dewasa yang rentan di bawah Akta Dewasa Rentan.

Golongan tersebut ditakrifkan dalam akta itu sebagai seseorang yang berumur 18 tahun dan ke atas, dan disebabkan oleh kelemahan mental atau fizikal, kecacatan atau ketidakupayaan, tidak berupaya melindungi diri daripada penderaan, pengabaian atau pengabaian diri.

Selain warga emas, orang dewasa yang rentan juga merangkumi golongan bukan warga emas, yang berusia dari 18 hingga 64 tahun, dengan kecacatan atau ketidakupayaan yang menghalang mereka daripada melindungi diri mereka sendiri.

Kemerosotan pada kes penderaan berisiko tinggi mungkin didorong oleh usaha agensi komuniti, dan penjaga warga emas dan kesihatan, yang bekerjasama dengan golongan dewasa rentan dan keluarga mereka untuk menangani punca penderaan atau pengabaian, tambah MSF.

Namun, dengan jumlah golongan dewasa rentan yang dijangka meningkat pada masa hadapan disebabkan oleh penduduk Singapura yang menua, pemerintah sedang berusaha memastikan perlindungan undang-undang dan perkhidmatan sosial kekal relevan serta mencukupi untuk kumpulan tersebut.

“Peningkatan dalam jumlah kes melibatkan orang dewasa yang rentan dijangka berlaku selaras dengan penuaan populasi kita.

“MSF akan terus memantau trend ini dengan teliti sebagai sebahagian daripada semakan berkala untuk melindungi warga emas dengan lebih baik,” kata MSF ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Daripada 38 kes yang dilaporkan pada 2024, 17 daripadanya merupakan kes pengabaian, 14 ialah kes penderaan fizikal, empat ialah kes penderaan emosi dan psikologi manakala tiga lagi ialah kes penderaan seksual.

Menurut MSF, orang dewasa yang rentan yang mengalami penderaan emosi dan psikologi boleh mengalami keyakinan diri yang rendah, kemurungan, trauma dan keresahan.

“Sesetengah daripada mereka juga mungkin mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, berasa terasing, tidak berdaya atau keliru, serta hidup dalam keadaan ketakutan,” kongsi MSF lagi.

Bagi kes penderaan warga emas dengan risiko keselamatan rendah atau sederhana (Tahap 1), jumlah kes telah meningkat kepada 359 kes pada 2024, berbanding 297 kes pada 2023.

Kes Tahap 1, antara lain, melibatkan keluarga yang menghadapi tahap tekanan penjagaan yang tinggi, yang boleh memberi kesan buruk kepada warga emas dan pengabaian warga emas yang membawa kepada kemerosotan kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg